Khamis, 25 Oktober 2018 | 11:00am
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Asyraf Hamzah
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Asyraf Hamzah

Bajet 2019 tuntut pengorbanan, belanja berhemat

Bajet 2019 yang bakal dibentangkan Jumaat depan pasti dinanti-nantikan seluruh rakyat kerana akan mencatat sejarah sebagai pembentangan pertama oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengetuai Jemaah Menteri sudah memberi beberapa petunjuk mengenai belanjawan kali ini, terutama ketika pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), minggu lalu.

Ramai yang meneka bajet kali ini menumpukan kepada bagaimana untuk menambah baik kos sara hidup rakyat dan mengurangkan hutang negara, pada masa sama mampu mengukuhkan pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk tahun mendatang.

Bagaimanapun, Perdana Menteri sendiri membayangkan bahawa belanjawan negara kali ini sebagai ‘bajet korban’ yang menuntut pengorbanan semua pihak, tetapi sangat berhemat, berikutan keadaan ekonomi negara yang tidak memberangsangkan.

Bagaimanapun, kerajaan turut menekankan bahawa bajet ini juga bukan cubaan untuk berjimat cermat sehingga tidak mahu dibebani langsung, sebaliknya bakal menyaksikan lebih banyak cukai baharu akan diperkenalkan sebagai sumber tambahan pendapatan kerajaan.

Selain diramalkan beberapa cukai baharu bakal dilaksanakan, pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai tidak menolak kemungkinan tambahan pendapatan akan diperoleh daripada beberapa cukai sedia ada yang mungkin akan ditingkatkan atau dikembangkan.

Ini termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap semua urus niaga internet atau dalam talian, memandangkan perkembangan perniagaan alaf baharu berkenaan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan usahawan dan pengguna sendiri.

Peniaga di luar negara

Secara prinsipnya, kerajaan sudah sedia mengenakan cukai terhadap urus niaga internet menerusi cukai jualan, tetapi pelaksanaan terhadapnya masih menjadi persoalan.

“Isunya bagaimana untuk melaksanakan cukai ini jika sekiranya peniaga terbabit tidak berada di Malaysia dan tambahan pula jika penyedia perkhidmatan internet (ISP) yang digunakannya berada di luar negara,” katanya.

Selain itu, kerajaan mempunyai banyak pilihan untuk meningkatkan pungutan cukai.

Antaranya daripada sintax atau ‘cukai dosa’ yang membabitkan tambahan cukai terhadap minuman keras, rokok dan aktiviti perjudian.

Ini termasuk juga potongan terhadap kemenangan aktiviti perjudian yang selama ini diabaikan seperti hasil memenangi tiket loteri yang tidak pernah dikenakan cukai atas alasan pemenang sudah membayarnya ketika membeli tiket.

Malah, tidak keterlaluan untuk memperkenalkan cukai hasil daripada keuntungan modal atas jual beli saham, biarpun ramai pemerhati menyifatkan sebagai tindakan ‘zalim’ jika keuntungan hasil jual beli saham turut dikenakan cukai.

Turut berpotensi untuk dikenakan cukai ialah harta yang dipindahkan kepada pewaris yang pernah dikenakan pada sekitar 1970-an dan 1980-an.

Ramai yang melihat pengenalan semula cukai berkenaan akan menambahkan beban, terutama kepada keluarga yang terpaksa menjual rumah atau harta mereka.

Kurangkan belanja pentadbiran

Cabarannya sekarang cukai yang mana bakal dikutip kerajaan dalam usaha menambahkan pendapatan negara? Bagaimanapun, sumber pendapatan penting dalam belanjawan kali ini kaedah untuk mengurangkan kos, termasuk belanja pentadbiran.

Ini disebabkan kerajaan terpaksa membayar hampir RM80 bilion dalam bentuk gaji penjawat awam setiap tahun, manakala kira-kira RM20 bilion lagi dalam bentuk pencen kepada bekas kakitangannya.

Kesediaan kerajaan untuk melaksanakan Bajet Asas-Sifar (ZeroBased Budgeting) dalam usaha mengamalkan tadbir urus baik jika dapat dilaksanakan mampu mengurangkan banyak kos dalam pentadbiran.

Kejayaannya bergantung kepada sejauh mana kesediaan kakitangan kerajaan dalam menyediakan belanjawan, sekali gus mendedahkan mereka kepada keperluan untuk berjimat cermat dan menghayati ekonomi negara yang berada dalam keadaan genting sekarang.

Mereka tidak lagi boleh mengharapkan bonus atau kenaikan elaun kerana semua itu mampu mengurangkan beban kerajaan, selain penjimatan sebanyak RM2 bilion selepas lebih 14,000 kakitangan yang sudah tamat kontrak diberhenti.

Biarpun memahami situasi sukar yang dihadapi kerajaan kini, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengharapkan masih ada ‘kasih sayang’ kerajaan terhadap penjawat awam yang menjadi tunggak pentadbiran negara.

Presidennya, Datuk Azih Muda mencadangkan apa yang paling penting ialah kerajaan perlu memahami cara membantu menangani masalah yang dihadapi rakyat, termasuk peningkatan harga barangan dan kos sara hidup.

CUEPACS sebelum ini pernah menyarankan kerajaan untuk mempertimbangkan bonus sebanyak dua bulan gaji bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat yang turut menjejaskan kakitangan awam.

Kali terakhir kakitangan awam menerima imbuhan yang benarbenar dinamakan bonus ialah pada 2012 kerana selepas itu, apa yang diterima mereka hanya sagu hati atau bantuan kewangan khas.

“Kami faham dengan perubahan semasa yang berlaku dan ini bukan masanya untuk meminta itu dan ini. Cuma apa yang diharapkan kerajaan memahami kehidupan kakitangan awam yang kebanyakan kumpulan modal miskin,” katanya.

Kesatuan itu berpandangan, jika kadar upah tidak bertambah, penjawat awam gred rendah akan terus berada dalam kesukaran menampung kos hidup disebabkan tekanan kenaikan harga barang.

Berita Harian X