Khamis, 1 November 2018 | 12:13pm

Isu ICERD: Biar rakyat tentukan

ISU berkaitan cadangan Malaysia menandatangani Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) hangat dibicarakan pelbagai pihak, terutama yang mewakili kepentingan Melayu dan Bumiputera.

Ia tercetus apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator P Waytha Moorthy mengumumkan kerajaan akan mengesahkan ICERD pada suku pertama tahun depan, namun kemudian disusuli pula kenyataan kerajaan tidak akan terburu-buru berbuat demikan.

Kumpulan yang membantah khuatir pengesahan Malaysia ke atas konvensyen berkenaan membawa implikasi negatif kepada keadaan demografi rakyat negara ini terutama Bumiputera dan Melayu kerana berpendapat, penduduk asal tidak lagi akan dilindungi keistimewaan seperti diperuntukkan dalam kontrak sosial.

PESERTA himpunan membantah ICERD di hadapan bangunan Parlimen, semalam. - NSTP/Asyraf Hamzah

Mereka yang lantang menyuarakan bantahan terdiri daripada pelbagai pertubuhan politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili kepentingan Melayu dan Bumiputera, selain tokoh perundangan dan kehakiman seperti bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.

Hujah bagi membantah cadangan itu kerana definisi dan skop ICERD dilihat bertentangan serta bercanggah dengan Perkara 153 Perlembagaan yang memberi tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan penduduk asal Malaysia atau Bumiputera, juga yang biasanya dianggap sebahagian daripada kontrak sosial.

Berdasarkan maklumat dipaparkan, ICERD dibuka untuk ditandatangani dan disahkan mulai 21 Disember 1965 dan mula berkuat kuasa pada 4 Januari 1969, namun sehingga hari ini, Malaysia antara 15 negara yang tidak mengesahkannya, termasuk Brunei dan Israel.

Ada juga inisiatif dilancarkan bagi mengumpul sokongan umum untuk membantah cadangan berkenaan dan kemuncaknya, satu memorandum bantahan diserahkan kepada Timbalan Menteri di JPM (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Dr Md Farid Md Rafik di bangunan Parlimen, semalam.

Gerakan mengumpul bantahan itu dijayakan beberapa NGO, termasuk Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Memorandum berkenaan antara lain mengandungi gesaan agar kerajaan berhenti mengeluarkan kenyataan mengelirukan mengenai ICERD, tidak sesekali menggugat hak orang Bumiputera serta Melayu dan tidak sesekali mencabar kedaulatan raja serta Perlembagaan Malaysia.

Walaupun Waytha Moorthy menegaskan pengesahan ICERD oleh Malaysia nanti akan dipastikan tidak menjejaskan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, ia tetap gagal menghadirkan kelegaan dalam kalangan golongan yang membantah.

Semalam, penegasan mengenai perkara itu diulangi Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberi jaminan ICERD hanya akan ditandatangani selepas kerajaan berunding dengan semua kaum di Malaysia. Kata Perdana Menteri, usaha berkenaan perlu kerana masyarakat di negara ini yang hidup dalam keadaan majmuk amat sensitif kepada perkara tertentu, sekali gus memerlukan langkah libat bagi mendapat persetujuan berhubung konvensyen berkenaan, sebelum kerajaan membuat keputusan muktamad.

Jaminan Dr Mahathir itu melegakan kerana memang sewajarnya cadangan yang sensitif seperti isu ICERD dirujuk untuk mendapatkan pandangan rakyat terlebih dahulu, selain dipastikan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia, iaitu undang-undang tertinggi yang sudah lama menyatukan rakyat kita.

Berita Harian X