Isnin, 17 Disember 2018 | 11:00am

Elak unsur politik cemari kuota haji

KELMARIN, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Fuziah Salleh, mengumumkan keputusan kerajaan tidak lagi memberi kuota haji khas kepada menteri dan Ahli Parlimen bagi membolehkan lebih ramai rakyat dapat menunaikan ibadat itu pada masa hadapan.

Isu kuota khas haji kepada pemimpin politik memang sering menjadi bahan sembang, namun selalunya ia senyap begitu sahaja dan terus berakar umbi.

Justeru, keputusan dibuat kerajaan baharu amat dialu-alukan kerana ia dapat memastikan keadilan dalam sistem penggiliran menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Penetapan kuota haji khas kepada menteri dan Ahli Parlimen ibarat menafikan hak rakyat untuk mendapat pertimbangan adil giliran mengerjakan ibadat itu.

Walaupun slot khas untuk golongan VIP mungkin tidak besar, perlu diambil kira nasib rakyat marhain yang sabar menanti giliran atau mengikut Fuziah, ada yang terpaksa menunggu sehingga 100 tahun sebelum sampai giliran berangkat ke Makkah.

Menyedihkan kerana rata-rata bakal haji dalam senarai menunggu itu benar-benar lanjut usia. Dengan kata lain, tidak tahu, sama ada mereka sempat atau tidak untuk ke Tanah Suci, andai giliran tiba selepas dua atau tiga dekad lagi.

Diharap keputusan mengenai kuota haji ini sedikit melegakan masyarakat Islam, khususnya 9.3 juta pendeposit Tabung Haji (TH) yang ketika ini turut 'terganggu' dengan kemelut melanda agensi yang bertanggungjawab mengendalikan urusan berkaitan haji.

Semua pasti bersetuju, isu kuota haji Malaysia perlu ditadbir secara telus, khususnya memastikan sistem penggiliran bagi 30,200 kuota haji semasa diagihkan secara adil.

Fuziah juga mengakui kepentingan rakyat secara keseluruhan khususnya bakal haji, antara pertimbangan kerajaan dalam memutuskan pemberhentian amalan pemberian kuota khas kepada menteri dan Ahli Parlimen.

Katanya kuota diberikan kepada pihak tertentu, walaupun jumlahnya hanya 50, kadang-kadang ada yang dijual kepada mereka yang mahukan kuota haji dan akhirnya mengambil hak orang yang layak.

Ketika ini, penetapan penggiliran dibuat berdasarkan konsep first come, first serve atau berpandukan giliran pendaftaran haji dibuat pendeposit TH.

Berdasarkan syarat, pendeposit layak mendaftar haji dengan baki minimum akaun simpanan RM1,300 bersama TH, namun tidak dibenarkan bagi mereka yang baru menunaikan ibadat itu dalam tempoh lima tahun.

Bercakap soal ketelusan, kepentingan golongan politik yang meracuni isu kuota haji negara selama ini wajar dihapuskan.

Sebelum ini, banyak kita dengar jumlah tertentu dalam kuota haji tahunan diberikan kepada menteri atau Ahli Parlimen, yang kemudian diagihkan kepada sesiapa sahaja yang diingini atas dasar kepentingan politik.

Penghantaran 5,711 jemaah haji atas tajaan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sepanjang tempoh 2011 hingga 2017, antara dikaitkan dengan amalan itu apabila peserta diberi kelebihan laluan ‘hijau’ melalui kuota khas, tanpa perlu menunggu seperti bakal haji lain.

Timbul persoalan berapa peratus sebenarnya daripada kuota haji setiap tahun diagihkan mengikut sistem giliran dan berapa peratus pula melalui laluan ekspres. Namun, yang pasti bukan keseluruhan kuota haji setiap tahun diagihkan mengikut sistem penggiliran yang telus.

Ramai melihat peningkatan kuota haji berbanding 30,200 ketika ini langkah terbaik mengurangkan tempoh menunggu yang lama bagi jemaah haji Malaysia, namun ia bergantung pada pertimbangan dan kelulusan Kerajaan Arab Saudi.

Bagi kerajaan dan TH, peranan pentadbir untuk memastikan pengagihan sistem giliran haji secara adil perlu diberi keutamaan.

Adil bukan hanya bermaksud mematuhi sistem giliran sedia ada, tetapi mungkin boleh dicari mekanisme bersesuaian supaya keutamaan penentuan giliran dapat diberikan kepada bakal haji yang sudah lanjut usia dan memenuhi syarat.

Berita Harian X