Isnin, 31 Disember 2018 | 11:00am

Kembalikan matlamat asal tanpa jejaskan MRSM

PENGUMUMAN kerajaan menetapkan 65 peratus kuota kemasukan Tingkatan Satu ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi sesi 2019 diperuntukkan kepada pelajar keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) mengejutkan ramai ibu bapa, terutama mereka yang bercita-cita menempatkan anak masing-masing ke MRSM.

Seperti biasa, media sosial menjadi tempat luahan ibu bapa menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap keputusan kerajaan itu memandangkan bukan sedikit usaha yang dicurahkan, terutama di pihak si anak demi memastikan hasrat untuk belajar di sekolah berprestij itu terlaksana.

Kebanyakan mereka mempersoalkan syarat kelayakan minimum Gred A dalam mata pelajaran Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang tidak lagi diberikan keutamaan untuk kemasukan kali ini, bagi memastikan kuota 65 peratus berkenaan dapat dipenuhi pelajar dari kumpulan B40.

Asalkan tidak memperoleh Gred D dalam mana-mana subjek, anak dari kumpulan B40 layak untuk ke MRSM, berbanding syarat minimum 3A yang ditetapkan kepada semua pelajar sebelum ini, untuk permohonan masuk ke sekolah berasrama penuh terbabit.

Ia sekali gus mengetepikan hak calon dari kategori keluarga berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40) dan 20 peratus tertinggi (T20), biarpun memperoleh keputusan cemerlang 6A.

Lebih mengejutkan apabila keputusan kemasukan diterima, sebanyak 70 peratus atau 5,400 daripada 7,760 pelajar ialah daripada golongan B40 dan selebihnya, iaitu 20 peratus daripada M40, manakala 10 peratus lagi daripada T20 yang bakal memasuki 54 MRSM di seluruh negara.

Paling mengecewakan ibu bapa yang anak mereka tidak terpilih disebabkan bukan saja kecemerlangan akademik yang tidak diambil kira dalam pemilihan kali ini, tetapi juga segala penat lelah pelajar terbabit dalam pelbagai aktiviti dan kegiatan dalam dan luar sekolah, juga tidak dapat membantu kemasukan mereka.

Bagi mereka, segala usaha yang dilakukan si anak untuk mendapat 6A ditambah dengan tanggungjawab yang dipegang sebagai ketua pengawas, ketua pengakap dan mewakili sekolah dalam pelbagai acara hingga ke peringkat daerah, negeri dan kebangsaan adalah sia-sia.

Sejarah asal penubuhan

Melihatkan cara luahan dan kekecewaan ibu bapa terbabit, kita boleh agak kebanyakan mereka golongan berkerjaya dan tinggal di bandar, selain mempunyai perancangan tersusun untuk pendidikan dan jaminan masa depan anak masing-masing.

Malangnya ramai yang lupa atau mungkin tidak ingat akan sejarah asal penubuhan MRSM yang akhirnya menjadi antara sekolah berasrama penuh berprestij di negara ini yang turut dilihat sebagai sekolah elit.

MRSM pertama ditubuhkan pada 1972, iaitu MRSM Seremban dengan objektif pengenalannya untuk menambahkan bilangan Bumiputera profesional yang mampu berdaya saing dalam bidang sains dan teknologi yang dikhususkan kepada golongan kurang berkemampuan, terutama dari luar bandar.

Pada awal penubuhannya, Lembaga Peperiksaan meletakkan MRSM sebagai sekolah persendirian memandangkan operasi sekolah ini berasingan daripada sistem pendidikan yang ditetapkan Kementerian Pelajaran.

Apabila kerajaan memutuskan untuk mengembalikan semula tujuan asal penubuhan sekolah berasrama penuh ini nampaknya ramai yang tidak boleh menerimanya, sedangkan hakikat yang boleh dilihat kewujudannya hari ini sudah agak lari daripada landasan asal apabila hanya 30 peratus pelajar luar bandar berpeluang ke sekolah itu.

Syarat minimum masuk MRSM dipersoal

Penulis tertarik dengan satu perkongsian di Facebook yang ditulis seorang guru, Muhammad Irfan menerusi halaman dalam kumpulan Kami Guru Malaysia membabitkan isu kemasukan ke MRSM dan sekolah berasrama penuh (SBP).

Guru terbabit berpendapat bahawa matlamat asal penubuhan MRSM dan SBP ini bukan sahaja sudah jauh tersasar, tetapi perlu diperbetulkan secara menyeluruh dengan tidak hanya melihat dari sudut peratusan kemasukan semata-mata.

Sekolah elit

Secara sedar atau tidak, sekolah yang tujuan asalnya diwujudkan untuk golongan berpendapatan rendah dan luar bandar ini semakin dielitkan hingga ke peringkat akar keseluruhannya.

Menurut guru berkenaan, cadangan yang dikemukakan dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga secara beransur sudah berubah mengikut gaya hidup golongan elit, termasuk kutipan ‘sumbangan’ yang disifatkan semakin mahal bagi golongan pertengahan dan miskin.

Sehubungan itu, katanya, pihak kementerian diminta turun membuat penilaian memandangkan majoriti pelajar di MRSM kini daripada golongan B40, sedangkan ada sesetengah MRSM mengenakan bayaran yuran mencecah RM1,500 hingga RM2,000 hasil tangan elitis dulu.

Malah, ada yang menganggap institusi pendidikan itu sudah bertukar menjadi sekolah ‘persendirian’ versi kerajaan, memandangkan pelbagai bayaran tambahan dikenakan ketika pendaftaran kemasukan.

Sebilangan MRSM pula menawarkan program dua sijil bagi pendidikan pra-universiti, iaitu Sijil Pelajaran Malaysia dan Cambridge International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) yang mula diperkenalkan pada 2011 dengan MRSM Tun Abdul Razak di Pekan, Pahang sebagai perintis program.

Tak salah kembalikan kuota

Bukan sedikit bayaran diperlukan bagi menduduki peperiksaan IGCSE itu kerana ia mencecah ribuan ringgit dan sudah pasti akan membuatkan ibu bapa golongan B40 ini berfikir banyak kali untuk menerima tawaran berkenaan.

Jika tiada sebarang usaha melihat semula perkara itu, ia dibimbangi akan menyebabkan ramai golongan B40 terpaksa menolak tawaran kemasukan kecuali dengan bantuan biasiswa penuh.

Kita juga tidak mahu lihat ada pelajar yang terpaksa belajar separuh jalan dan mengambil keputusan berhenti dari sekolah terbabit, gara-gara tidak mampu menanggung yuran pengajian dan bayaran asrama tinggi yang menjadi bebanan ibu bapa mereka.

Bagi sesetengah pihak, tidak salah mengembalikan kuota supaya lebih ramai golongan B40 dan luar bandar diberi peluang mendapat pendidikan di sekolah berasrama penuh itu.

Tetapi ramai yang mempersoalkan kelonggaran syarat minimum menjadikan kemasukan mereka seolah-olah seperti main ‘tangkap muat’ untuk sekadar memenuhkan kuota yang diperlukan.

Biarpun kerajaan mahu mengembalikan semula matlamat asal penubuhan MRSM, ramai berpendapat penanda aras bersesuaian amat diperlukan supaya ia tidak akan menjejaskan atau merendahkan kualiti kecemerlangan dan prestij dibina selama ini.

Berita Harian X