Ahad, 20 Januari 2019 | 10:01am

Jaringan keselamatan sosial perlu bersepadu

MASIH ramai tidak memahami konsep jaringan keselamatan sosial yang wujud sejak penubuhan negara ini.

Perlindungan sosial ini hadir dalam pelbagai bentuk seperti insurans sosial, kebajikan sosial dan perlindungan pada hari tua.

Di Malaysia, jaringan keselamatan sosial disediakan beberapa agensi kerajaan, termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) dan Jabatan Kebajikan Negara (JKM). Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menyediakan khidmat kebajikan sosial kepada pelbagai kumpulan sasar.

PERKESO di bawah Kementerian Sumber Manusia, menyediakan perlindungan insurans sosial dan program berkaitan dengan menyasarkan golongan pekerja dan tanggungan mereka.

Perlindungan pada hari tua dikendalikan KWSP dalam bentuk tabungan dan faedah persaraan untuk ahlinya, iaitu pekerja sektor swasta dan pekerja tidak berpencen sektor awam.

JKM yang ditubuhkan sejak 1946 pula memberi fokus antara lain meningkatkan kesejahteraan dan pembangunan masyarakat, dengan menyasarkan golongan seperti kanak-kanak, orang kelainan upaya (OKU), warga emas, orang miskin, golongan terdedah risiko (wanita, ibu bapa tunggal, mangsa keganasan rumah tangga dan keluarga miskin) serta mangsa bencana alam.

Perlindungan keselamatan sosial di Malaysia mengalami evolusi ketara dalam memenuhi peranannya untuk memberi perlindungan kepada golongan sasar dan menyokong pembangunan negara. Ia sejajar evolusi keselamatan sosial di seluruh dunia.

Perlindungan keselamatan sosial pekerja, termasuk yang bekerja sendiri, penting dalam meningkatkan produktiviti, menyediakan peluang sama rata dalam pasaran buruh dan mengekalkan tenaga kerja stabil serta fleksibel. Ia juga berfungsi sebagai asas penting dalam perpaduan sosial.

PERKESO dan KWSP menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja di negara ini melalui caruman mandatori. Kedua-duanya turut menambah baik faedah ditawarkan kepada pencarum masing-masing.

Evolusi keselamatan sosial

PERKESO mula beroperasi sejak 48 tahun lalu untuk mentadbir Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Ia juga menjalankan aktiviti pencegahan kemalangan melalui program peningkatan kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam kalangan pekerja dan majikan.

Untuk manfaat pencarum, PERKESO meminda Akta 4 sebanyak 12 kali bagi menambah baik faedah disediakan untuk memastikan jaringan keselamatan sosial menjangkau lebih ramai rakyat Malaysia.

Sebagai contoh, kadar bayaran berkala dinaikkan, jumlah faedah pengurusan mayat bertambah, kadar pencen meningkat, elaun layanan sentiasa juga dinaikkan dan tempoh kelayakan diselaraskan bagi melayakkan lebih ramai rakyat mendapat manfaat dari skim PERKESO.

PERKESO juga memperkenalkan rawatan dialisis, manakala balu dan duda yang berkahwin semula layak mendapat pencen PERKESO.

Mulai tahun ini, pekerja asing di Malaysia dilindungi PERKESO melalui Skim Bencana Pekerjaan di bawah Akta 4. Banyak lagi langkah diambil PERKESO yang tidak hanya bertumpu kepada bayaran pampasan untuk membantu pencarum.

Program ‘return to work’

Selain aktiviti pencegahan kemalangan, PERKESO menumpukan usaha memulihkan pekerja ditimpa kemalangan atau penyakit, supaya kembali ke alam pekerjaan dan hidup berdikari. Ia direalisasikan melalui program return to work yang kini menjadi Amalan Terbaik antarabangsa.

Untuk melindungi mereka yang bekerja sendiri, Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 dikuat kuasa. Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 pula melindungi pekerja yang kehilangan pekerjaan.

Ini antara usaha PERKESO dalam meluaskan perlindungan keselamatan sosial dengan menjangkakan isu yang bakal menjejaskan golongan pekerja pada masa hadapan seperti revolusi perindustrian, kitaran ekonomi global serta perubahan sosial dan demografi.

Walaupun institusi keselamatan sosial berusaha gigih meningkatkan perkhidmatan dan bantuan kepada golongan sasar, hakikatnya ekosistem keselamatan sosial di negara ini tidak bersepadu.

Masih wujud jurang dalam liputan keselamatan sosial. Contohnya, pekerja dalam sektor informal serta suri rumah belum dilindungi sebarang insurans sosial, walaupun Kaji Selidik Tenaga Buruh 2017 oleh Jabatan Perangkaan menunjukkan pekerja yang bekerja sendiri dan suri rumah adalah 24 peratus daripada jumlah penduduk dalam umur bekerja. Perlindungan rakyat Malaysia di hari tua juga tidak mencukupi.

Dalam sesetengah kes, seorang warga negara mendapat kemudahan bertindih daripada beberapa agensi kerajaan. Dalam keadaan lain, seseorang individu yang layak, tetap tidak mendapat kemudahan diperlukan disebabkan sistem tidak bersepadu.

Sistem tidak bersepadu menjadikan ekosistem perlindungan keselamatan sosial tidak teratur, seterusnya menyebabkan pengagihan kekayaan dan bantuan tidak saksama kepada golongan memerlukan.

Ia menimbulkan situasi di mana mereka yang benar-benar memerlukan bantuan, mendapati tidak memenuhi syarat kelayakan bantuan sosial.

Saya yakin keadaan ini dapat diatasi jika perubahan dilaksanakan dalam landskap perlindungan keselamatan sosial di negara ini.

Tidak dinafikan keperluan mendesak di Malaysia untuk mewujudkan satu ekosistem keselamatan sosial yang tidak mengecualikan mana-mana individu atau golongan memerlukan.

PERKESO, dengan kerjasama pihak berkepentingan lain, bertekad menyelaraskan sistem perlindungan keselamatan sosial di Malaysia dan menjadikan satu ekosistem komprehensif di negara ini.

Kurang pemahaman

Pemahaman terhadap keselamatan sosial dalam kalangan orang ramai harus ditingkatkan dengan menjadikannya sebahagian sistem pendidikan.

Sesetengah universiti di negara ini ada menawarkan kursus berkenaan, mungkin inilah masanya Malaysia memperkenalkan subjek keselamatan sosial pada peringkat sekolah pula supaya rakyat lebih memahami isu berkaitan dan peka mengenai hak mereka kepada perlindungan sosial.

Perlindungan sosial memberi manfaat kepada golongan kanak-kanak dan belia, wanita, pencari kerja, OKU, gelandangan, warga emas, majikan dan masyarakat.

Majikan memperoleh manfaat daripada tenaga kerja sihat dan mahir, manakala masyarakat meraih faedah daripada tahap produktiviti tinggi, peluang pekerjaan yang banyak dan tahap kesihatan baik. Sementara kemakmuran, penyertaan sosial dan kehidupan yang lebih baik dinikmati semua.

Penulis merupakan Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Berita Harian X