Ahad, 3 Februari 2019 | 11:26am
- Gambar hiasan

Ular dalam tular

“Hitam manis hitam manis, yang hitam manis, pandang tak jemu pandang tak jemu...”. Mungkin kewujudan lagu malar segar nyanyian R Azmi ini tidak diketahui oleh gadis muda yang bernama Haneesya Hanee, tetapi bak kata-kata pujangga, nasihat orang lama itu ada nilainya.

Walaupun pada mula Haneesya meluahkan kekecewaan di media sosial terhadap kegilaan masyarakat kita dengan kecantikan yang dinilai pada kulit putih dan cerah, akhirnya, ibarat dendangan R Azmi, kemanisan empunya badan itu yang membawa rezeki dalam menobatkan dirinya sebagai pemenang pertandingan Dewi Remaja 2018.

Namun, sayang seribu kali sayang, media sosial yang menjadi pentas untuk Haneesya memperkenalkan dirinya kepada orang ramai turut menjadi tempat runtuhnya impian apabila gelaran dewi ditarik balik akibat tularnya sebuah rakaman video yang memperlihatkan Haneesya sedang berseronok dalam pusat hiburan.

Pandangan sinis pasti berasakan kekok bagi pertandingan yang memperagakan kecantikan fizikal serta paras rupa wanita menetapkan syarat akhlak, tetapi kalau demikian dijanjikan kepada peserta, maka biar perkara itu diselesaikan di antara mereka. Lagipun itu bukan apa yang saya ingin utarakan dalam penulisan kali ini.

Gunting dalam lipatan

Kalau kita menonton dari sudut rakaman video berkenaan, yakin bahawa ia bukan dirakam pihak asing, pihak ketiga atau orang yang tidak dikenali, tetapi dirakam rakan atau insan yang bersama Haneesya pada malam itu. Bagaimana ia tersebar, sama ada dengan sengaja atau tidak, melihatkan ia tular tak sampai beberapa hari selepas pertandingan, tidak terkejut kalau mangsa berasakan ada gunting dalam lipatan.

Zaman ini ialah zaman media sosial, masing-masing mahu mengejar tular dalam muat naik, dengan matlamat untuk menjadi selebriti segera. Ini bukan sesuatu yang aneh, masyarakat kita hari ini amat berkait dengan media sosial. Mengejar tular bukan sesuatu yang unik dalam ruang lingkup dunia hiburan, tetapi ia turut dikejar dalam dunia perniagaan, arena pengiklanan, malah dalam dunia politik sekalipun.

Satu-satu muat naik yang tular pasti dapat membantu jualan, menaikkan jenama atau berjaya mempengaruhi cara kita membuang undi. Masakan tidak, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjadi menteri paling muda di Asia kalau tidak kerana penggunaan media sosial yang berkesan.

Pemusatan maklumat dan gaya hidup yang berteraskan media sosial ini membuatkan munculnya golongan selebriti media sosial yang dipanggil sebagai social media influencer. Mereka ini mempunyai pengikut yang begitu ramai hinggakan dapat membentuk satu model perniagaan khusus kepada akaun media sosial mereka.

Kita juga dapat lihat usahawan era ini seperti Aliff Syukri, Dr Vida dan Nur Sajat membina jenama dan perniagaan mereka mengelilingi identiti akaun media sosial persendirian.

Masing-masing berusaha meningkatkan jumlah pengikut dan pengaruh dengan muat naik yang diharap tular. Tidak kira dengan lagu, tarian atau apa-apa gimik kreatif yang dapat difikirkan kerana mereka tahu pengaruh di media sosial amat berkesan.

Kongsi aktiviti harian

Ini bukan perkara baharu. Kim Kardashian antara pelopor kepada bidang ini, berkongsi aktiviti harian dengan pengikut, dalam bentuk yang begitu peribadi, membuatkan pengikut mereka berasakan kaedah ini lebih dekat dan tulen, berbanding poster billboard di tepi lebuh raya.

Sebab yang sama juga, mengapa kita cukup suka apabila Tun Dr Mahathir Mohamad berkongsi swafoto bersama-sama Tun Siti Hasmah Ali di Instagram atau melonjak seronok apabila Syed Saddiq berkongsi gambar memeluk kucing.

Namun, dalam kegilaan mengejar tular ada keadaan ia membawa padah. Daripada penyebaran sebuah video atau gambar yang tidak diterangkan dalam konteks menyeluruh hinggalah ke khabar angin yang membawa kerugian.

Saya teringat akan tularnya satu gambar memperlihatkan sekumpulan anak muda yang duduk di dalam LRT dan membiarkan seorang wanita mengandung berdiri. Habis kecoh gegak-gempita dunia Twitter, sampai ia dijelaskan tuan punya badan bahawa wanita mengandung itu dapat duduk di kerusi berkenaan tidak lama selepas gambar itu diambil kerana pada awalnya anak muda itu tidak sedar kerana asyik bermain telefon.

Memang menjadi naluri manusia merekod dan menyimpan kenangan manis, berseronok atau detik kegembiraan.

Menjadi naluri manusia juga berkongsi saat kegembiraan dengan orang lain. Lazim sekarang apabila kita membabitkan diri dalam apa sahaja aktiviti dirasakan seronok, tidak kira makan di restoran cantik, bercuti atau berjumpa kawan di kedai kopi sekalipun, perkara pertama kita buat ialah mengeluarkan telefon masing-masing dan merakam pengalaman itu.

Tetapi harus kita ingat, kadang-kadang perkara yang kita rekod itu walaupun pada asalnya untuk simpanan peribadi yang hanya patut dikongsi dengan mereka yang berkaitan, apabila berlaku kecurangan dalam kepercayaan, berlaku kemungkaran terhadap maruah dan imej kita.

Jangan mudah muat naik rakaman peribadi

Apa yang hendak saya sampaikan dalam penulisan kali ini ialah hati-hati dalam kita merekod atau menyimpan kenangan berbentuk peribadi. Jangan kita mudah memuat naik atau berkongsi simpanan ini tanpa memikirkan perasaan orang yang turut terbabit dalam rakaman kita itu.

Mungkin hasrat itu baik pada mulanya, kita hanya mahu berkongsi dengan orang tertentu, tetapi pada zaman yang serba pantas ini, kesilapan itu boleh tersebar lebih marak daripada kebakaran hutan musim kemarau.

Beringat-ingat pada diri sendiri dan pada rakan, bahawa ada perkara yang boleh kita kongsi dan ada pula yang lebih baik disimpan dalam kenangan dalam hati dan bukan dalam telefon pintar. Takut-takut nanti kerana terlalu seronok hendakkan tular, adanya ular dalam tular.

Penulis adalah bekas personaliti televisyen

Berita Harian X