Sabtu, 23 Februari 2019 | 11:00am

Cegah rasuah: Apa lagi belum kita lakukan?

DUA bulan pertama 2019 masih seperti tahun sebelumnya, terus mendendangkan berita ‘panas’ penahanan dan pendakwaan kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, seolah-olah tiada surutnya.

Sekadar mengulangi apa yang orang ramai sudah tahu, rasuah masih menjalar dari organisasi ke organisasi, syarikat ke syarikat hinggalah ke lorong belakang. Realitinya ia membabitkan pegawai segenap peringkat.

Dalam soal pencegahan rasuah, tidak keterlaluan jika saya luahkan soalan “apa lagi yang belum kita lakukan?”

Jika diimbau lebih 30 tahun dahulu, kerajaan pernah memperkenalkan Dasar Pandang ke Timur pada 1982, bertujuan mendidik rakyat khususnya penjawat awam, agar mempelajari dan meniru budaya murni masyarakat Jepun.

Masyarakat Jepun ketika itu diiktiraf dunia sebagai bangsa yang kuat jati diri dan integriti. Sejak itu, pelbagai langkah diambil kerajaan dalam usaha membentuk penjawat awam berintegriti, serta mempunyai tahap akauntabiliti tinggi. Namun, entah di mana silapnya, selepas lebih tiga dekad, apa yang ingin dicapai seolah-olah tidak membuahkan hasil. Lihat sahaja di Facebook dan YouTube, masih banyak tular gambar atau video berkaitan penumpang transit aliran ringan (LRT) tidak memberi tempat duduk kepada wanita mengandung atau orang tua.

Agenda antirasuah nasional

Jika dilihat perkara semudah itu pun mereka abaikan, jadi adakah orang yang bersikap sedemikian akan peduli hal kempen mencegah rasuah?

Kini kerajaan kembali tekad memulakan agenda antirasuah nasional bermatlamatkan ‘negara dikenali kerana integriti dan bukan kerana rasuah’. Pada 29 Januari lalu, kerajaan melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 sejajar usaha merealisasikan manifesto ke arah negara bebas rasuah dan berintegriti.

Pelbagai inisiatif, termasuk aspek pencegahan diperkenalkan. Misalnya, Kementerian Pendidikan bersetuju memantapkan kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperkukuh elemen integriti dan antirasuah dalam sistem pendidikan negara. Ini bertujuan membentuk jati diri pelajar bermula di prasekolah sehingga peringkat lebih tinggi.

Jabatan Standard Malaysia (Standards Malaysia) dengan kerjasama SPRM pula melancarkan sistem piawaian dikenali Malaysian Standard MS ISO 37001:2016 Anti-Bribery Management Systems (ABMS).

Ia memberi panduan dan membantu menambah baik sistem pengurusan antirasuah dalam sesebuah organisasi, sekali gus menjadi satu panduan pencegahan rasuah kepada semua pihak.

Kerajaan pula memperkenalkan peraturan perisytiharan harta bagi memastikan Ahli Parlimen berintegriti dan tidak terbabit rasuah. Buat masa ini, SPRM hanya sebagai pelaksana dan ia belum dimaktubkan dalam Akta SPRM 2009. Akta SPRM 2009 turut dimantapkan, undang-undang baharu Seksyen 17A Akta SPRM 2009 memperuntukkan kesalahan rasuah oleh organisasi komersial diperkenalkan.

Peruntukan ini dikenali sebagai ‘liabiliti korporat’. Melalui Seksyen 17A Akta SPRM 2009, organisasi komersial juga mempunyai liabiliti dan boleh dihukum sekiranya pekerja atau kakitangannya terbabit jenayah rasuah.

Utama soal kebersamaan

Itu baru sebahagian dan banyak lagi sudah atau akan diperkenalkan. Namun segala inisiatif mahupun agenda seumpama ini tidak akan membawa apa-apa kesan jika tiada kebersamaan memastikan rasuah dibanteras.

Justeru, kesedaran sokongan dan peranan semua pihak amat diperlukan bagi menyokong segala aktiviti dan memastikan usaha mencapai matlamat.

Inilah peluang rakyat kembali memperbetulkan keadaan. Agenda seumpama ini tidak boleh diserahkan bulat-bulat kepada SPRM atau agensi berkaitan seperti Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) sahaja. Ia perlu disambut baik semua pihak.

Dalam hal ini, saya sarankan diambil semangat pasukan bola sepak Liverpool, You’ll Never Walk Alone yang menitikberatkan kebersamaan, kesatuan dan persahabatan. Walaupun pasukan lain ada budaya sebegitu, bagi saya ia tidak mampu menyaingi Liverpool.

Berbalik isu kebersamaan ini, mesej jelasnya ialah semua pihak perlu tekad bersatu hati. Setiap dilaksanakan kerajaan perlu dipandang serius rakyat. Saya berbesar hati jika semua pihak tidak 'berkira' dalam soal memberi bajet kepada agensi melakukan kerja pencegahan rasuah.

Sudah sampai masanya kerajaan mendedahkan kepada rakyat hasil kajian isu rasuah dari universiti tempatan atau mana-mana agensi sejak puluhan tahun dahulu yang dapatannya mungkin memeranjatkan kita.

Penulis adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Berita Harian X