Khamis, 11 April 2019 | 11:00am

Cari jalan tingkat kerjasama dua negara

Isu air antara Malaysia dan Singapura perlu diselesaikan dan kita menyambut baik persetujuan kedua-dua negara bagi mencari penyelesaian terbaik.

Andai republik itu terpaksa membayar lebih tinggi untuk air dijual kepadanya dari Johor sekalipun, kita yakin ia mampu untuk membayarnya. Apa yang penting sekarang ialah jangan kerana isu air dan isu-isu lain, menghalang kerjasama ekonomi di antara dua negara berjiran.

Carilah jalan untuk merancakkan lagi pelaburan dan perdagangan dua hala. Malah, Malaysia dan Singapura boleh meningkatkan lagi hubungan antara rakyat dengan rakyat. Ini termasuk langkah membenarkan akhbar kedua-dua negara dijual melepasi tembok Johor. Ini bermakna, akhbar Singapura bebas dijual di negara kita dan begitu juga sebaliknya.

Mentaliti lama takut kepada pandangan kritikal harus diketepikan. Banyak kisah-kisah rakyat di Singapura ingin diketahui oleh rakyat negara ini melalui paparan berita dan begitu juga sebaliknya.

Dengan kebebasan ini, membantu menyampaikan maklumat untuk kepentingan bersama. Dalam dunia digital sekarang ini, akses maklumat tidak harus disekat termasuk di media cetak melangkaui sempadan.


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersalam bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong selepas mengadakan sidang media berkaitan perbincangan di bawah rangka kerja Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Kesembilan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, kelmarin. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Levi langkah tambah pendapatan

Mulai 1 Jun ini, levi pelepasan bagi semua penumpang udara ke luar negara, iaitu RM20 ke negara ASEAN dan RM40 ke negara lain, akan dikenakan dalam usaha menggalak pembangunan pelancongan domestik, tetapi jemaah haji dan umrah kali pertama dikecualikan.

Langkah ini berupaya menambah pendapatan kerajaan setelah ia menanggung hutang banyak yang ditinggalkan kerajaan terdahulu. Kutipan ini mungkin lebih besar memandangkan jumlah keluar masuk penumpang agak ramai di lapangan terbang di seluruh negara.

Levi seumpama ini biasa dikenakan oleh kebanyakan negara tetapi selalunya sudah dimasukkan dalam kadar tambang, menyebabkan penumpang tidak terasa.

Berita Harian X