Rabu, 1 Mei 2019 | 10:40am
PENCEMARAN bahan toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang. - Foto Adi Safri

Tangani darurat kemusnahan sungai negara

Malaysia bergantung sepenuhnya kepada sumber air permukaan. Oleh kerana kita terletak di kawasan tropika lembab dengan curahan hujan tinggi, negara berasa selesa dengan sumber bekalan air.

Sama ada ia diambil daripada sungai, ditakung ke dalam tasik buatan, diproses atau dibekalkan untuk pelbagai kegunaan.

Apabila pembangunan semakin pesat dan ketika musim kemarau, negara mengalami gangguan bekalan air. Kita mula mencari sumber tambahan daripada air bawah tanah hampir permukaan.

Sumber air telaga cetek yang berhubungan dengan air permukaan juga turut terjejas ketika musim kemarau.

Anak sungai mendapat bekalan dari air hujan dan mata air di kaki gunung. Sungai mengalir berasaskan graviti, anak-anak sungai bercantum menjadi sungai dan sungai besar, akhirnya mengalir hingga ke laut.

Kuasa aliran sungai bergantung luas lembangan, perbezaan tinggi antara hulu dan muara, serta panjangnya suatu sistem sungai.

Sungai ialah sistem tabii yang berupaya menjalankan beberapa fungsi asas. Ia mengalirkan air dari hulu ke lautan. Bersamanya ia menghakis permukaan bumi dan mengangkut lumpur, lodak, pasir serta kerikil.

Di kawasan landai, apabila tenaga aliran menjadi lemah, bahan angkutannya diendapkan di dasar sungai. Ketika musim tengkujuh, kuantiti air meningkat dan tenaga aliran menjadi tinggi. Sungai akan membanjiri dataran rendah dan mengendapkan bahan angkutannya.

Beginilah sungai menjalankan sistem pembersihan lembangan dan menyuburkan dataran limpahnya. Sungai yang besar dapat menjalankan fungsi dengan lebih cekap, sementara sungai kecil berfungsi secara terhad.

Bencana pencemaran bahan toksik di Sungai Kim Kim seperti ‘puncak ketulan ais dalam lautan’. Banyak sungai kecil berhampiran bandar dan kawasan industri sudah tercemar oleh buangan bahan kimia dan kumbahan industri.

Sungai bersaiz sederhana seperti Sungai Klang dan Sungai Langat juga, sedang tercemar oleh bahan buangan domestik dan industri.

Jelasnya, sebahagian besar sungai bersaiz kecil dan sederhana yang mengalir melalui kawasan perbandaran sudah tercemar teruk dan ada yang nazak.

Sedihnya dari sungai seperti ini kita mengambil air mentah dan memprosesnya untuk bekalan air minuman.

Pendekatan pengurusan sungai semasa nampaknya kurang berkesan. Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) hanya diberi mandat memperbaiki sistem perparitan dan mengurus bencana banjir.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) pula memantau kualiti air secara berkala atau jika ada aduan. Kedua-dua jabatan tidak berupaya atau mempunyai kuasa mengawal pencemaran.

Sungai mengalir tidak mengikut sempadan daerah atau negeri, sedangkan mandat mengurus kebanyakan agensi mengikut fungsi dan sempadan daerah.

Masalah sungai kita mengalami pencemaran dan setengahnya sudah tidak dapat menjalankan fungsinya (rosak atau mati) sudah berlaku lama.

Sistem pengurusan bersifat sektoral jelas gagal atau tidak berupaya membendung sungai terus mengalami kerosakan.

Kebergantungan tinggi kita kepada sungai sebagai sumber bekalan air mentah merumitkan keadaan. Pengajaran demi pengajaran, sama ada isu pencemaran, bencana banjir dan gangguan bekalan air sepatutnya sudah mengajar kita bagaimana cara terbaik mengurus sistem sungai.

Sungai sebagai satu sistem tabii yang penting untuk kehidupan perlu difahami oleh semua pihak.

Agensi bersepadu mampu tangani pencemaran sungai

Di kebanyakan negara, mereka memberikan perhatian serius dengan mewujudkan agensi Pihak Berkuasa Pengurusan Sungai Bersepadu untuk setiap sungai utama. Ia ternyata amat berkesan apabila sungai yang dahulunya sudah tercemar berjaya dipulihkan.

Namun kita masih belum serius, masih bertarik tali antara satu sama lain serta masih mengharapkan nasib, satu hari nanti sungai akan pulih seperti dahulu kala.

Malaysia memerlukan perubahan set minda untuk mengurus sungai. Kita perlu wujudkan Pihak Berkuasa Pengurusan Sungai bukan hanya untuk mengawal pencemaran atau untuk mengurus bekalan air, tetapi untuk mengurus pembangunan di lembangan sungai secara bersepadu.

Badan ini perlu menjaga kepentingan semua pihak dan diberikan kuasa mengatasi kuasa majlis daerah, pihak pemilik tanah serta agensi pelaksana pembangunan.

Dengan menggunakan konsep ‘pengurusan bersama’, badan ini boleh bertindak sebagai pasukan perancang, pemantau dan agensi penguat kuasa.

Pencemaran sungai dan kerosakan fungsi sungai sudah sampai tahap kritikal. Jika tidak dibendung dan diurus secara bersepadu, negara bakal berhadapan dengan darurat kemusnahan sungai.

Akibatnya kita akan kehilangan sumber bekalan air bersih, bencana banjir dan kemarau bertambah kerap serta kehilangan sumber kehidupan penting seperti tanah yang subur dan sumber keselamatan makanan.

PENULIS merupakan Felo Penyelidik Utama, LESTARI Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Berita Harian X