Khamis, 23 Mei 2019 | 10:00am

Perangi rasuah: Apa sudah dicapai dalam setahun?

RAMAI masih skeptikal dengan semua usaha dilaksanakan kerajaan untuk memerangi rasuah. Pada ramai pihak, mereka masih tidak dapat melihat perubahan. Mungkin kerana orang yang dituduh bersalah, masih bebas dan mampu pula tersenyum riang.

Usaha memerangi rasuah membabitkan banyak perkara dan jauh lebih luas daripada hanya dilihat dalam konteks menyiasat, menangkap dan menghadapkan penjenayah ke muka pengadilan. Kalaupun itu sahaja yang dilaksanakan, undang-undang masih mempunyai prosesnya tersendiri dan tidak semua kes dengan mudah boleh memasukkan orang salah ke penjara.

Sebab itu, untuk Malaysia lebih berjaya, kita harus meletakkan prinsip governans yang betul sebagai kerangka utama dalam usaha merancang pelaksanaan program atau inisiatif lebih berkesan. Apakah contoh prinsip governans yang baik? Akauntabiliti adalah antara prinsip penting dan perlu ada. Ketelusan adalah satu lagi ciri prinsip governans yang baik.

Keberkesanan dalam pelaksanaan program dan menentukan hasil yang efisien adalah dua lagi prinsip. Apapun yang dilaksanakan, perlu ada ciri keadilan dan pembabitan semua pihak. Apakah contoh inisiatif dilaksanakan kerajaan yang menunjukkan ada akauntabiliti dalam kerajaan?

Penubuhan Pusat Governans Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) adalah contoh utama. Ia ditubuhkan pada 1 Jun 2018, sebagai sebuah pusat yang merancang semua hal ehwal berkaitan governans, integriti dan antirasuah dalam negara. Pusat ini bertanggungjawab memantau 20 daripada 60 janji Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkaitan governans, integriti dan antirasuah.

Penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) adalah satu lagi bukti menunjukkan akauntabiliti kerajaan yang ditubuhkan pada 8 Jun 2018 dan dipengerusikan Perdana Menteri.

NACP, penubuhan JAR

Penyediaan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 adalah satu lagi bukti bagaimana kerajaan bertindak dengan penuh akauntabiliti. Dengan inisiatif terkandung, kerajaan membuka ruang untuk rakyat menilai secara adil apa yang dirancangkan dalam lima tahun ini.

Pelan dilancarkan 29 Januari lalu itu adalah sebuah pelan bertindak sebagai satu suntikan vaksin diperlukan negara yang tenat dan sakit daripada penyakit barah rasuah. Ia memberi fokus kepada enam bidang permasalahan utama yang menjadi penyakit rasuah dalam negara.

Pertama: Tadbir Urus Politik - ini punca utama yang menghasilkan masalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kedua: Pentadbiran Sektor Awam - 63.30 peratus maklumat rasuah diterima antara 2013 hingga Jun 2018 bermula di sektor ini.

Ketiga: Perolehan Awam - 42.84 peratus kes rasuah berdasarkan maklumat sama berlaku dalam bidang perolehan awam.

Keempat: Perundangan Dan Kehakiman - Kes rasuah perlu diselesaikan segera, jika tidak rakyat akan hilang keyakinan kepada usaha untuk meletakkan orang yang bersalah ke muka pengadilan.

Kelima: Penguatkuasaan Undang-undang - iaitu 23.92 peratus maklumat rasuah diterima dalam lima tahun kebelakangan ini dilakukan anggota penguat kuasa.

Keenam: Tadbir Urus Korporat - iaitu ekosistem sektor swasta juga harus bersih.

Pelan ini mengenal pasti 115 inisiatif untuk dilaksana bagi memperbetulkan masalah di atas dan dirancang untuk dicapai dalam tiga fasa: 30 inisiatif (dalam tempoh setahun), 31 inisiatif (dalam tempoh dua tahun), 54 inisiatif (dalam tempoh lima tahun).

Daripada 115 itu, ada 22 inisiatif dianggap quick wins sebagai keutamaan untuk dilaksanakan segera bagi menangani isu rasuah dalam negara. Begitu juga dengan penubuhan Jawatankuasa Anti Rasuah (JAR) yang diwujudkan bagi tujuan melaksanakan semua keputusan kerajaan berkaitan governans, integriti dan antirasuah.

Jawatankuasa dipengerusi Ketua Setiausaha Negara (KSN) ini penting bagi menentukan setiap inisiatif dirancang mempunyai susulan sepatutnya. Dalam konteks menentukan keberkesanan kepada semua inisiatif dirancang, satu Arahan Perdana Menteri No 1 Tahun 2018 dikeluarkan.

Arahan pantau keberkesanan

Arahan ini penting sebagai mekanisme untuk menjelaskan governans yang terkandung dalam JKKMAR dan JAR serta memberi punca kuasa untuk perkara dilaksanakan dan dipatuhi. Arahan Perdana Menteri No 1 Tahun 2018 dengan tajuk ‘Pemantapan Governans, Integriti dan Anti Rasuah Dalam Pengurusan Pentadbiran Kerajaan Malaysia: Mekanisme Pengurusan Governans, Integriti dan Anti Rasuah Kebangsaan’ berkuatkuasa 5 Oktober 2018.

Selain perkara pokok disebutkan di atas, ada beberapa perkara akar yang juga cukup penting untuk menyokong usaha reformasi institusi dalam negara.

Sebagai contoh Biro Pengaduan Awam akan dijadikan ombudsman Malaysia yang akan berperanan untuk meneliti aduan rakyat bagi hal yang tidak diambil tindakan oleh jabatan kerajaan.

Begitu juga Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) akan dijadikan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) kerana 86 peratus kes aduan diterima SIAP adalah mengenai masalah tadbir urus dalam polis.

Semua ini hanya sebahagian daripada puluhan inisiatif baik yang sudah dimulakan dalam setahun lalu dan sudah pasti, akhirnya akan mencapai matlamat ke arah memberi kebaikan kepada rakyat dan kepada pembangunan negara.

Penulis merupakan Timbalan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X