Sabtu, 13 Julai 2019 | 11:00am
KEADAAN lantai bas yang reput. - Foto Nor Amalina Alias

JPJ wajar serap balik PUSPAKOM

SEORANG murid lelaki, Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12, murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok, Machang maut di tempat kejadian selepas terjatuh dari bas sekolah yang sedang bergerak, dipercayai akibat terpijak lantai bas yang reput di Kampung Kandis.

Sangat aneh bagaimana sebuah bas yang lantainya reput masih boleh berada di jalan raya?

Mengikut undang undang, semua kenderaan perkhidmatan awam, termasuk bas hendaklah menjalani ujian berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) setiap enam bulan. Pemeriksaan berkala ini adalah untuk menentukan sama ada sesebuah kenderaan itu kompeten dan selamat untuk kegunaan dan berada di jalan raya.

Apakah ini berlaku disebabkan isu integriti? Sama ada integriti membabitkan syarikat bas, pemandu bas atau agensi penguatkuasaan? Bahkan Bahagian Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ada kuasa membuat kawal selia tetapi jarang menjalankan penguatkuasaan mengejut terhadap apa-apa ‘kebocoran’ dan ini juga termasuk kegagalan pemeriksaan yang dilakukan oleh PUSPAKOM terutama sekali bas sekolah.

Anggota JPJ mesti menahan dan periksa bas sekolah ‘on the spot’ untuk mengelak kesalahan teknikal sama berulang. Apa yang diketahui kini hanya bas ekpres dilakukan penguatkuasaan tetapi tidak pada bas sekolah dan bas kilang.

Sepatutnya, pemeriksaan kenderaan perkhidmatan awam (SPA) terutama bas diberi perhatian yang lebih oleh pihak PUSAKOM dan JPJ sebelum ia dibenarkan berada di jalan raya kerana bas yang digunakan oleh murid sekolah, keselamatan mereka perlu diutamakan.

Apabila membuat pemeriksaan dengan PUSPAKOM, bas terbabit hendaklah memenuhi segala syarat dan peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalanraya 1987 agar ia dapat diluluskan tanpa mencari jalan yang tiada integriti. Lapor jika ada permintaan rasuah daripada agensi penguat kuasa.

Di dalam isu Wan Muhammed Adam Mohd Suria ini, selain daripada agensi penguat kuasa, syarikat perkhidmatan awam, guru pengiring dan murid juga perlu mengambil langkah keselamatan, terutama apabila menaiki bas rombongan ke sesuatu destinasi.

Selain kelemahan kawal selia dan penguatkuasaan, masih banyak rungutan orang ramai yang berurusan dengan pihak berkuasa, mengadu bahawa isu integriti termasuk rasuah masih tidak terkawal dengan baik serta ada anggota serta pegawai yang hidup lebih daripada kemampuan. Harap tohmahan ini tidak betul.

Jika tergadai integriti, maka ia akan memberi kesan amat besar terhadap integriti individu dan sesebuah institusi.

JPJ pula mestilah kerap mengadakan sekatan jalan raya bagi mengingatkan pengguna bahawa kenderaan yang berada di jalan raya berada dalam keadaan baik dan mengikut peraturan.

Agensi penguatkuasaan juga patut melapor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika ada sesiapa yang ingin menyogok. Kesalahan pemberi adalah sama dengan yang menerima rasuah dan kesalahan di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) menetapkan perbuatan memberi atau menawarkan rasuah sama beratnya dengan kesalahan menerima rasuah.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum sama berat dengan kesalahan Seksyen 17(a) iaitu menerima rasuah dengan penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali nilai suapan jika suapan dapat dinilai atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

Sudah menjadi kebiasaan, setiap kali ada kemalangan pelbagai cadangan dan langkah penguatkuasaan yang diutarakan oleh pihak berkaitan bagi mengelakkan tragedi berulang.

Cuma ia adalah tindakan ‘hangat hangat tahi ayam’ yang tiada kesudahan dan titik noktah.

Semua ini memerlukan iltizam politik yang kuat, agensi penguat kuasa yang efektif dan sokongan serta kerjasama masyarakat agar mematuhi peraturan keselamatan jalan raya. Ketua hendaklah tunjuk contoh yang baik untuk diikuti pegawai bawahan.

Sebelum ini JPJ ada menubuhkan jawatankuasa menumpukan kepada kes rasuah dan usaha penambahbaikan secara keseluruhan badan penguatkuasa itu. Kita tunggu hasil kajian itu. Seksyen 41 (APJ 1987) patut juga dipercepatkan kaji semula bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan kepada pesalah yang menyebabkan kematian, termasuk lesen memandu digantung seumur hidup.

Bagi langkah jangka pendek satu Jawatankuasa Khas bagi mengkaji sistem dan prosedur kerja di keseluruhan kelemahan bahagian PUSPAKOM, termasuk isu kecekapan dan integriti.

Bagi jangka panjang, kerajaan patut mengkaji semula keberkesanan PUSPAKOM ditubuhkan pada 1994 yang menjadi anak syarikat milik penuh DRB-HICOM Bhd bertujuan melakukan semua pemeriksaan mandatori terhadap kenderaan awam dan perdagangan, serta kenderaan persendirian untuk pembiayaan sewa beli, tukar milik, khas dan insurans.

​​​​​​Apakah kerajaan perlu menyerap kembali PUSPAKOM ke dalam JPJ untuk mengutamakan perkhidmatan kepada masyarakat dan bukan lebih kepada perniagaan atau menubuhkan satu lagi syarikat untuk mewujudkan persaingan serta mengurangkan monopoli. Sama-samalah kita fikirkan demi masa depan.

Penulis merupakan Pemegang ‘professorial chair’ dalam Jenayah dan Kriminologi, Institut Jenayah & Krimininologi, HELP Universiti.

Berita Harian X