Ahad, 25 Ogos 2019 | 11:00am

Memperkasa ekonomi Bumiputera

TAHAP kemiskinan di Malaysia kini bertambah baik. Golongan berpendapatan rendah semakin sedikit. Itulah kenyataan yang selalu kita dengar sama ada dari televisyen, radio, media sosial atau topik perbualan seharian.

Terdetik di hati, benarkah semua kenyataan ini atau retorik pendapat semata-mata? Apabila diteliti, saya yakin, sesungguhnya kenyataan itu sememangnya benar. Memetik penulisan Kauthar Rozmal pada 15 Oktober 2018, peratusan golongan miskin menurun daripada 44.9 peratus pada 1995 kepada 43.3 peratus pada 2016.

Namun, realiti semasa statistik ini tidak melambangkan apa yang sebenarnya berlaku. Mengapa demikian? Beliau memetik kenyataan yang dipaparkan oleh Khazanah Research Institute (KRI) bahawa pendapatan golongan berpendapatan tinggi meningkat dua kali ganda daripada RM10,000 pada tahun pertama kepada RM20,000 pada tahun kedua, manakala pendapatan golongan miskin meningkat tiga kali ganda iaitu daripada RM1,000 kepada RM3,000.

Bagaimanapun, hakikatnya pada tahun pertama berpendapatan tinggi memperoleh pendapatan 10 kali ganda berbanding golongan berpendapatan rendah. Jika dilihat memang ada peningkatan pendapatan bagi golongan berpendapatan rendah, namun, peningkatan ini dilihat amat tidak seimbang jika dibandingkan peningkatan bagi golongan berpendapatan tinggi.

Inilah yang menimbulkan persepsi umum bahawa golongan kaya semakin kaya, manakala golongan miskin semakin miskin.

Sedikit kenyataan di atas membuka bicara minda saya untuk kali ini. Fokus saya adalah pada sejauh mana Bumiputera menguasai bidang ekonomi. Kita sedia maklum selepas merdeka, Melayu dan Bumiputera ternyata berusaha dengan tidak bergantung hanya kepada kerajaan.

Kita sama-sama menikmati kemudahan dan kemakmuran baik dari segi cukai mahupun pertumbuhan ekonomi yang lestari serta keamanan negara yang dipelihara. Sehubungan itu, perlu terus kukuh bersatu demi memastikan nasib anak bangsa kita pada masa hadapan terus terjamin.

Pada pandangan saya, tanpa penyatuan dan kebersamaan mustahil kita dapat mencapai perubahan dan kemajuan bangsa bahkan setanding dengan kaum lain di negara ini. Jika bangsa lain lebih maju ekonominya, Bumiputera hendaklah menjadikan mereka sebagai model dan rakan kerjasama.

Kita jangan terus berantakan membelek dan menghalusi perbezaan serta kemusykilan yang remeh sehingga akhirnya ketinggalan dalam pelbagai aspek yang lebih penting. Sebaliknya kitalah yang perlu berbuat sesuatu untuk membela nasib sendiri. Kita mesti mengubah sikap agar menjadi lebih terbuka, rajin mencari ilmu, pengetahuan dan peluang untuk maju.

Sikap terlalu bergantung kepada bantuan dan dana kerajaan hendaklah diubah, apatah lagi sikap mengkhianati dana dan kepercayaan. Banyak peluang yang diberi oleh kerajaan kepada orang Melayu disia-siakan dan akhirnya direbut oleh bangsa lain yang menggunakannya untuk meningkatkan ekonomi mereka.

Keadaan ini perlu dihindarkan dan ini juga satu tindakan yang khianat. Pengukuhan bangsa Melayu tidak dapat direalisasikan, malah bangsa lain yang mendapat laba. Sebagai contoh, apabila kerajaan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB), objektif asalnya untuk membasmi kemiskinan serta menyusun semula masyarakat adalah amat murni sekali. Namun persoalannya, di manakah kita?

Bangsa Melayu Bumiputera mesti tahu untuk merebut peluang yang ada. Bangsa yang maju di seluruh dunia adalah bangsa yang menerapkan semangat keusahawanan dan muafakat dalam masyarakat.

Secara tradisinya, orang Melayu suka makan gaji walhal bangsa lain seperti Cina pula suka ‘memberanakkan duit’ mereka dengan berniaga. Minda makan gaji seperti ini mestilah ditukar dengan segera. Jadikan sikap bangsa lain seperti kaum Cina sebagai contoh dalam memanfaatkan peluang yang ada khususnya dalam perniagaan. Ingatlah berniaga dan menjadi usahawan ialah sunah Rasulullah.

Begitu juga dalam bidang pertanian. Kita perlu meneroka dan bijak mengoptimumkan penggunaan tanah dan bertindaklah menjadi gentlemen farmers. Istilah gentlemen farmers ini amat ditekankan oleh Perdana Menteri, iaitu petani tempatan perlu mengoptimumkan tanah pertanian mereka dengan mengamalkan pertanian campuran untuk mengelakkan kebergantungan hanya kepada satu tanaman semata-mata.

Malah, pertanian campur juga mampu mencegah petani daripada terjebak dan terjejas oleh kejatuhan harga komoditi tertentu, seperti kelapa sawit dan getah. Golongan petani, khususnya yang muda haruslah sanggup menerima trend baharu dan perlu mempunyai disiplin tinggi untuk berjaya dengan cemerlang.

Jika tidak mempunyai disiplin, kita tidak boleh maju ke hadapan dan menjadi terkehadapan dalam apa juga perkara. Kita perlu bekerja keras dan mengurangkan pergantungan terhadap pekerja, terutamanya pekerja asing. Apa-apa yang boleh kita lakukan sendiri, kita buat sendiri tanpa perlu mengharapkan orang lain.

Di mana kita sekarang dan berapa tinggi lonjakan yang kita serta generasi seterusnya perlu buat untuk setanding bangsa lain? Memeranjatkan juga. Bumiputera masih pada kedudukan teratas dalam kalangan miskin bandar dan miskin luar bandar, mengikut statistik bagi suku kedua 2018, menerusi Data Asas Malaysia.

Penggubalan DEB yang berteraskan pertumbuhan juga, menjamin kesaksamaan dan perkongsian kemakmuran, bertujuan memperbaiki keadaan bagi memastikan masyarakat Bumiputera lebih maju dan bersedia mendepani cabaran ekonomi semasa. Dasar baharu ini juga bermatlamat untuk membantu golongan berpendapatan rendah dalam kalangan peneroka, pesawah, nelayan dan petani yang memerlukan bantuan. Melalui kaedah pertanian dan penternakan moden, disasarkan tiada lagi kelompok miskin dalam kalangan petani, penternak dan nelayan.

Saya percaya, ini adalah salah satu usaha kerajaan untuk memastikan lebih ramai golongan kurang bernasib baik dibantu. Hal ini kerana, kualiti orang kita sangat menyedihkan. Tidak seperti bangsa Korea. Mereka lebih ke hadapan dan lebih maju. Matlamat utama kerajaan adalah untuk membangunkan Bumiputera supaya mereka dapat maju dan mampu bersaing di dalam dan di luar negara, selain memiliki budaya usahawan yang kuat.

Usaha ini diambil memandangkan masih ada Bumiputera yang ketinggalan dari pelbagai sudut walaupun kejayaan lain sudah dikecapi. Ini adalah satu perkara yang menarik dan sangat dinanti-nantikan oleh Bumiputera di seluruh negara dan di setiap peringkat meliputi golongan pendapatan tinggi, sederhana, rendah di bandar dan di luar bandar.

Justeru, kita perlu bersama-sama mengambil peranan untuk memacu usaha ini agar dapat direalisasikan. Kita bangsa yang tidak menolak perubahan. Itu saya benar-benar yakin. Walaupun pada 1 September 2018 yang lalu berlangsung ‘Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018’ yang bertemakan ‘Mendepani Cabaran Bumiputera dalam Malaysia Baharu’, jelas memperakui punca Bumiputera tidak berdaya saing adalah kerana lemahnya nilai serta moral dalam kalangan usahawan Bumiputera. Namun, kita perlu bangkit memperbetulkan kesilapan.

Saya tetap percaya bahawa sesebuah negara akan stabil apabila semua rakyat hidup dalam keadaan harmoni. Keadaan harmoni hanya akan dapat kita kecapi apabila semuanya tidak berprasangka antara satu sama lain, sementelah negara Malaysia mempunyai pelbagai kaum.

Sudah menjadi satu tanggungjawab kepada Bumiputera untuk berjuang mempertingkatkan tahap ekonomi agar kita dapat mengurangkan jurang dari segi ekonomi dengan kaum lain. Justeru, jurang ekonomi sememangnya menjadi titik fokus kepada keharmonian yang kita harapkan selaras dengan aspirasi negara untuk mengecapi kemakmuran bersama.

Penulis adalah Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Berita Harian X