Ahad, 15 September 2019 | 11:00am

Sokong Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030

Belalang menyambut baik Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 yang diumumkan Perdana Menteri semalam, kerana ia lebih fokus untuk merapatkan jurang pendapatan antara negeri, golongan yang kaya dengan miskin serta bandar dan luar.

Selepas ini, semua pihak yang bertanggungjawab sama ada menteri atau agensi kerajaan, perlu merangka program komprehensif bagaimana merapatkan jurang itu dan melaksanakannya dengan sebaik mungkin.

Oleh itu, sekali lagi Belalang nak cadangkan supaya mekanisme menentukan kadar kemiskinan dikaji semula supaya lebih tersasar apabila kerajaan merangka program pembangunan termasuk usaha merapatkan jurang antara yang kaya dan miskin, bandar dan luar bandar.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media selepas Mempengerusikan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri Mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, turut kelihatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Barisan Jemaah Menteri. - Foto Mohd Fadli Hamzah


Bukan UMNO, PAS sahaja pejuang ummah

Piagam Muafakat Nasional yang ditandatangani UMNO dan PAS semalam, adalah baik untuk menyatukan pengikut kedua-dua parti tetapi ia bukan jaminan berkeupayaan menyatukan ummah di negara ini.

Lagi pun penyatuan itu adalah lebih kepada tujuan politik, bagi memenangi pilihan raya umum akan datang. Perpaduan ummah dalam erti kata sebenar, akan merangkumi semua pihak berkepentingan. Apakah perjuangan itu terhad kepada UMNO dan PAS saja?

Apakah parti lain seperti Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak cukup Melayu dan Islam serta tidak layak untuk memperjuangkan perpaduan ummah? Satu lagi ialah apakah PAS sudah lupa ‘jerat’ UMNO yang hanya mahu PAS bila kalah tapi tendang keluar bila menang?

Jakarta jangan salahkan Malaysia isu jerebu

Belalang hairan dengan kenyataan Menteri Alam Sekitar Indonesia, Siti Nurbaya Bakar yang menuding jari kepada syarikat subsidi Malaysia, berikutan kebakaran hutan di negara jiran itu hingga mencetuskan jerebu di rantau ini.

Syarikat ladang yang rakyat Malaysia turut menjadi pemegang sahamnya didaftarkan di Indonesia dan beroperasi di sana. Jika betul beberapa syarikat terbabit dalam pembakaran terbuka, gunakan undang-undang yang ada untuk menghukum syarikat dimaksudkan, bukan menyalahkan Malaysia.

Kita juga tidak menyalahkan Indonesia apabila beberapa rakyatnya melakukan jenayah di Malaysia. Kita gunakan undang-undang yang ada untuk bertindak dan bagi mencari keadilan, kita gunakan saluran mahkamah.

Sepatutnya Indonesia memperketatkan lagi undang-undang sedia ada, dalam usaha membanteras pembakaran hutan secara terbuka yang berlaku saban tahun, hingga Asia Tenggara diliputi jerebu. Ambil tindakan drastik terhadap mana-mana syarikat perladangan yang melakukannya.

Berita Harian X