Rabu, 16 Oktober 2019 | 11:00am

Kampung Baru, nilai tinggi risiko pun tinggi

Selepas tawaran terakhir untuk tanah Kampung Baru gagal mencapai persetujuan pemilik dan pewaris, kerajaan dijangka tampil dengan tawaran baharu untuk memuktamadkan kemelut pembangunan kawasan milikan Melayu di tengah ibu negara itu.

Yang pasti, nilai diumumkan akan lebih tinggi berbanding RM850 sekaki persegi, namun mustahil untuk mencapai tahap RM2,000 sekaki persegi seperti diharapkan pemilik dan pewaris tanah. Kita harap rundingan dapat diselesaikan secara ‘menang-menang’ demi manfaat kedua-dua pihak.

Kita setuju pemilik dan pewaris mahukan harga terbaik untuk tanah masing-masing. Namun nilai terlalu tinggi, datangnya bersama risiko yang juga tinggi. Bayangkan jika harga dibayar RM2,000 sekaki persegi, berapakah nilai pasaran hartanah yang akan dibangunkan di atas tapak itu nanti. Adakah Melayu mampu membelinya?

Dengan kuasa membeli yang terhad, amat sedikit Melayu yang ada kemampuan sebegitu. Lantas, apa akan jadi kepada hartanah dibangunkan nanti. Mengambil kira penurunan had pembelian kondominium dan pangsapuri kepada warga asing daripada RM1 juta kepada RM600,000 seperti diumum melalui Belanjawan 2020 baru-baru ini, apa jaminan untuk hartanah Kampung Baru yang tidak laku nanti, tidak turut tersenarai dalam kategori itu?


Pemandangan Kampung Baru dilitupi bangunan pencakar langit bandar raya metropolitan Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA

Sunting aset pelancongan ‘dara’

Berbaki dua bulan setengah lagi untuk kita menyambut Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020), namun aura kempen itu tersangat hambar. Timbul persepsi apakah kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serius menganjurkan TMM 2020.

Di kaca televisyen atau dada akhbar, tidak kelihatan iklan atau promosi mengenai keunikan pelancongan Malaysia baik yang lama atau baharu. Dalam hal ini, kita setuju dengan istilah ‘gadis sunti yang tidur lena’ digunakan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, untuk menggambarkan keadaan sektor pelancongan negara.

Kita banyak produk pelancongan menarik, tetapi tidak benar-benar dimanfaatkan khususnya yang tersorok di pedalaman. Apakah MOTAC tidak sedar atau terlalu yakin dengan tarikan sedia ada sehingga lupa dengan tarikan yang masih ‘dara’.

Kita percaya masih belum terlambat. Bukan sahaja usaha promosi, penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas juga perlu bagi memudahkan akses pelancong. Jika ini dapat dilakukan, impak pelancongan bukan sahaja dirasai negara, malah penduduk setempat juga menikmati limpahan nikmat ekonomi yang terhidang.

Berita Harian X