Jumaat, 1 November 2019 | 11:00am
Ketokohan luar biasa Hamka merentas zaman.

Ketokohan luar biasa Hamka merentas zaman

Sesuatu yang luar biasa dalam masyarakat Cina di Tanah Besar ialah keupayaan mereka meraikan tokoh silam yang berjasa kepada bangsa dan negara. Pengalaman mengajar di Xiamen University, China pada 2015 membuktikan hal ini.

Pengasas universiti, Tan Kah Kee, yang juga pengusaha getah berjaya di Singapura dan Malaysia menjadi buah mulut masyarakat sehingga ke hari ini, kesan kekuatan semangat meraikan apa yang ditinggalkan Kah Kee.

Misalnya, monumen Kah Kee dibina, sejarah dikongsikan, perkuburan dijadikan tempat belajar sejarah. Kesannya, sumbangan beliau sentiasa diingati dan dihargai, malah menjadi semangat untuk generasi muda terus menyumbang kepada generasi akan datang.

Hal ini perlu dipelajari oleh kita semua. Kita juga mempunyai ulama dan tokoh pejuang yang mempertaruhkan nyawa demi negara, tetapi sering menjadi hero yang tidak didendang. Tahukah kita, bahawa kita mempunyai ulama Nusantara yang juga adalah penyair, ahli falsafah dan sasterawan yang menjadi pemimpin seawal usia 16 tahun dan mengarang lebih 200 karya dalam hidupnya?

Beliau juga diterima oleh seluruh masyarakat walaupun dalam keadaan masyarakat yang berbeza pendapat mengenai agama, malah berjaya menyatukan masyarakat Islam yang berbeza pendapat dan bertelingkah.

Beliau juga adalah Ketua Majlis Ulama Indonesia pada 1975 hingga 1981 dan diberi gelaran doktor falsafah oleh Universiti Al-Azhar dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kerana ketokohan dan sumbangannya.

Malah, beliau dipenjarakan oleh seorang pemimpin dan menjadi imam pula bagi solat jenazah pemimpin itu ketika pemimpin itu menghadap Ilahi. Ketokohan dan kebersihan hati tokoh ini bukan hanya wajar dicontohi, tetapi wajar didendang dalam bentuk bahan teladan sejarah yang penting dalam pembentukan karakter masyarakat.

Bagi yang tidak dapat meneka, tokoh yang dimaksudkan ialah Prof Dr H Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Hamka. Begitu banyak pencapaian tokoh Islam ini yang perlu dihargai dan dihayati umat Islam. Perkongsian ilmiah, antara usaha untuk menyebarluaskan sumbangan Hamka boleh menjadi satu wasilah perkongsian dan penghargaan yang berkesan terutama pada peringkat pengajian tinggi.

Perkongsian oleh Majlis Ulama Indonesia di Universiti Sains Islam Malaysia baru-baru ini memberi mesej penting keperluan umat Islam menghayati sumbangan Hamka yang merentas zaman. Aspek perbincangan yang menjurus kepada hubungan adat Minangkabau dengan al-Quran berdasarkan pandangan Hamka antara yang dibentang dan dibincangkan oleh ahli panel.

Sifat umum adat Minangkabau yang mengutamakan sistem garis keturunan daripada keturunan ibu menjadikan ada pihak yang tidak dapat menerima kecenderungan adat ini, termasuk Hamka sendiri pada awalnya.

Beliau sendiri yang datang daripada keturunan Minang akhirnya, melalui penyelidikannya, sepakat bahawa tiada percanggahan antara adat Minangkabau dengan ajaran Islam yang sebenar. Dalam konteks ini, adat Minang dilihat sebagai ‘adat yang sebenar adat’ iaitu adat yang bersendikan syarak.

Selain itu, Hamka juga menghujahkan asas pendidikan yang merentas zaman. Seorang pembentang melalui perkongsiannya berhujah bahawa pandangan Hamka mengenai pendidikan walaupun sudah berpuluh tahun lalu dicadangkannya, masih relevan hingga kini.

Kandungan Undang-Undang Sistem Pendidikan Nasional pada 2003 yang menekankan kepada pembentukan karakter selari dengan apa yang dicadangkan Hamka. Melalui karyanya Lembaga Hati dan Falsafah Hidup misalnya, idea ini sebenarnya sudah dilahirkan Hamka dan ternyata relevan hingga kini.

Pemikirannya yang merentas zaman dipengaruhi oleh beberapa faktor. Antaranya, ialah persekitaran keluarga, iaitu ayahnya yang juga adalah seorang ulama. Namun, kita tahu iman itu tidak boleh diwarisi, daripada kecil beliau mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi, mampu belajar sendiri, belajar juga dengan guru yang hebat, mempunyai kemampuan berkomunikasi dengan baik dan berkesan serta suka berorganisasi.

Pada Hamka, pendidikan haruslah berupaya memberi ilmu yang luas kepada penuntutnya, melahirkan individu berakhlak mulia dan membawa manfaat kepada masyarakat. Untuk mendapat manfaat tertinggi dalam pendidikan, pendidikan anak haruslah berasaskan teladan, kisah dan cerita oral harus menjadi alat pendidikan yang penting serta menjadikan sesuatu amalan itu kebiasaan agar menjadi budaya positif.

Khusus bagi pendidik, Hamka memberi beberapa sifat yang perlu ada iaitu ilmu dan pergaulan luas serta berupaya membezakan antara baik dan buruk. Selain itu, Hamka turut menegaskan keperluan untuk pendidik memastikan integriti peribadi yang tinggi, mempelbagaikan kaedah pengajaran dan berusaha memahami perbezaan keupayaan dalam kalangan pelajar.

Sesungguhnya, sumbangan Hamka tidak dapat dirumuskan seringkas beberapa ratus patah perkataan dalam coretan ini. Justeru, kita perlulah meningkatkan kesedaran mengenai sumbangan tokoh tempatan dan belajar daripada kecerdikan pemikiran mereka agar dapat membangunkan generasi masa hadapan melalui cadangan yang berteraskan Islam dan bersendikan kecerdasan lokal.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Universiti Sains Islam Malaysia

Berita Harian X