Isnin, 4 November 2019 | 11:00am

PRK: Rujuk fakta, bukan auta

Enam calon tampil menawarkan diri untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di Johor. Kita percaya, ia signal positif menandakan demokrasi berkembang subur di negara ini.

Dalam meraikan semangat demokrasi, tidak dinafikan timbul kekhuatiran sikap segelintir pihak yang cenderung mengapi-apikan sentimen atau isu sensitif, khususnya sepanjang berkempen. Ini tidak harus berlaku. Jika benar ingin raikan demokrasi, penting untuk pastikan kempen pilihan raya berjalan secara sihat.

Kita percaya sepanjang kempen perlu elak cubaan membakar isu perkauman, bangsa atau agama. Dalam soal ini media arus perdana sudah dilihat matang memainkan peranan neutral dengan memberi ruang seadil-adilnya kepada semua calon.

Namun, yang sering menjadi masalah adalah golongan ‘wartawan jadian’ atau ‘wartawan tidak bertauliah’. Mereka ini sangat aktif di media sosial, namun tidak sedikit pun berpegang kepada etika kewartawanan mahupun nilai agama. Bagi mereka, fitnah dalam sebaran amalan biasa. Apa pun kita harap pengundi Tanjung Piai lebih matang dan bijak menilai sebaran, lantas membuat keputusan berdasarkan fakta bukannya auta.


Dari kanan, calon Barisan Nasional, Datuk Seri Wee Jeck Seng bersama calon Berjasa, Datuk Ir Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini, calon Bebas, Dr Ang Chuan Lok calon Gerakan, Wendy Subramaniam dan calon Bebas, Faridah Aryani Abd Ghaffar (kiri sekali) bergambar selepas menyerahkan borang pencalonan ketika majlis Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon PRK P165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan, Pontian. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Bendung keganasan rumah tangga

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan lebih 5,000 kes keganasan rumah tangga berlaku sepanjang tahun lalu. Ia bukan jumlah kecil, lantas menuntut perhatian serius oleh pihak berkuasa serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

Melihat punca disenarai, kita percaya masalah sosial serta tekanan hidup menjadi antara pencetus masalah ini. Menjadi tanggungjawab Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mengkaji isu ini berpandukan punca yang dikenal pasti, lantas mencari jalan mengekang kes sedemikian daripada terus berlaku.

Kempen berterusan harus digerakkan, khususnya melalui media untuk memupuk ke arah pembentukan keluarga bahagia. Melaluinya, isu berkaitan keganasan rumah tangga harus diperjelas dengan sasarannya bukan hanya wanita yang cenderung menjadi mangsa, tetapi juga lelaki.

Pokok pangkalnya masyarakat perlu difahamkan mengenai erti sebenar terma keganasan rumah tangga. Mereka perlu tahu impak perbuatan itu yang berisiko meruntuhkan institusi keluarga dan rumah tangga, selain kedudukan perbuatan sedemikian di sisi undang-undang.

Berita Harian X