Selasa, 26 November 2019 | 11:00am

Broker usah ada niat tersembunyi

Ketika isu ‘tarik tali’ masih berlaku dalam rundingan pengambilalihan tanah bagi tujuan pembangunan Kampung Baru, ada pula broker giat mengintai peluang terhadap tanah di pinggir kawasan itu yang turut dikategorikan bernilai tinggi. Contohnya tanah di Kampung Sungai Baru yang kita difahamkan, tawaran dibuat juga agak lumayan.

Dalam hal ini, kita setuju pemilik tanah berhak membuat keputusan. Cuma kita bimbang prosedur lebih mudah kerana tanah Kampung Sungai Baru berstatus persendirian atau pajakan 99 tahun, menyebabkan broker akan lebih tertumpu di situ berbanding Kampung Baru, yang sedikit rumit kerana ditadbir Malay Agricultural Settlement (MAS).

Tanah dan penempatan Melayu yang terletak di pinggir Kampung Baru dipercayai menunggu masa ‘terlepas’ kepada pemaju swasta dengan tawaran awal dua hingga tiga unit kondo mewah atau nilai yang bersamaan dengan RM900 bagi satu kaki persegi. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Apa pun, pemilik tanah diharap buat pertimbangan wajar dan jangan melihat nilai ditawarkan semata-mata. Kita difahamkan sudah ada pemilik tanah bersetuju. Namun, penting untuk pastikan broker tidak ada niat tersembunyi.

Harapan kita apa pun keputusan dibuat, jangan sesekali mengetepikan kepentingan Melayu dalam kawasan emas itu. Sejujurnya, kita mahu melihat Kampung Baru membangun dan penghuninya dapat menerima nikmat daripada pembangunan dibawa. Jangan hanya kerana mahukan pembangunan, aspek warisan Melayu di tengah kota dipinggirkan.

Selesaikan pemohon PPR lebih awal

Ketetapan dibuat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) agar setiap Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang siap dibina sepenuhnya perlu diisi dalam tempoh enam bulan, wajar disokong. Semakin lama ia dibiar kosong, semakin tinggi risiko kediaman itu rosak. Lantas kerajaan perlu keluarkan bajet baharu untuk penambahbaikan.

Kita percaya isu kediaman PPR kosong tidak harus berlaku. Jika dilihat keperluan atau permohonan untuk menghuni kediaman dalam kategori itu sentiasa ada. Cuma, kita khuatir mungkin dari segi prosedurnya yang tidak kena, menyebabkan urusan kemasukan penghuni tertangguh.

Logiknya, apa-apa projek perumahan sekalipun, termasuk PPR dibina mengikut keperluan dan permintaan. Maksudnya kerajaan tidak sewenang-wenang membina kediaman tanpa mengetahui potensi kelompok sasar. Sepatutnya senarai permohonan menghuni kediaman PPR itu sudah sedia diproses lebih awal.

Justeru, tempoh maksimum enam bulan selepas projek siap sudah lebih daripada cukup untuk memastikan semua unit PPR dihuni. Harap ketetapan dibuat KPKT ini tidak hanya kedengaran di mulut menteri semata-mata, sebaliknya perlu disusuli tindakan setiap agensi pelaksana.

Berita Harian X