Rabu, 12 Februari 2020 | 11:00am

Dasar Persyarikatan Malaysia perlu skop lebih luas

Hasrat untuk menghidupkan semula Dasar Persyarikatan Malaysia membuktikan kerajaan kita sentiasa mengutamakan hubungan kukuh antara sektor awam dan swasta dalam memajukan negara. Bagaimanapun, untuk memastikan ia kekal relevan, dasar yang ada perlu diberi suntikan elemen baharu.

Selang masa 37 tahun antara 1983 dan 2020, semestinya sudah banyak perubahan dari segi persekitaran atau struktur ekonomi. Jika dahulu, penumpuan kita terarah kepada pertanian dan perkilangan, kini masyarakat sudah mula berbicara soal digitalisasi, Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan banyak lagi. Apa sahaja pendekatan ingin dibawa perlu mengambil kira aspek kesesuaian dan memenuhi tuntutan semasa.

Kita percaya konsep kerjasama antara kerajaan dan swasta masih relevan, namun perlu dilihat dalam skop lebih luas. Dalam soal ini, kita yakin Tun Dr Mahathir Mohamad, ada rencah dan resipi tersendiri untuk bergerak ke arah itu, mengambil kira dasar itu dilancar pada 1983 ketika beliau bergelar Perdana Menteri buat kali pertama.

Apa yang penting, semua pihak berkepentingan perlu duduk semeja mencari pendekatan serta hala tuju terbaik untuk Dasar Pensyarikatan Malaysia yang diberi nafas baharu ini, agar persekitaran negara kekal ‘mesra perniagaan’ dan kondusif serta memudahkan pelabur menjalankan perusahaan dan perniagaan masing-masing.

Gambar fail, Dr Mahathir pada Sesi Dialog bersama Syarikat-syarikat Perancis yang dianjurkan CCI France Malaysia di Cyberjaya hari ini. Turut hadir, Pengerusi CCI France Malaysia Datuk Zainal Amanshah (kiri) serta Presiden CCI France Malaysia Gilles Waeldin (kanan). - Foto BERNAMA

Segera bertindak elak kepupusan gajah Pygmy

Dalam tempoh tidak sampai sebulan setengah, tiga gajah Pygmy ditemui mati di Sabah. Tahun lalu sahaja, 25 haiwan sama ditemui mati. Bayangkan jika angka kematian terus meningkat, apa akan jadi kepada lebih 2,000 gajah Pygmy yang masih berbaki?

Selain kegiatan pemburu haram, konflik antara manusia dan gajah diyakini sebahagian punca perlu ditangani. Agak pelik manusia cenderung memusuhi gajah sehingga sanggup membunuhnya hanya kerana ia menceroboh kebun atau penempatan. Tidakkah kita terfikir habitat mereka terlebih dahulu diganggu?

Lantas usaha drastik diperlukan. Kita berharap Pelan Tindakan Pemuliharaan Gajah 2020-2030 dapat segera diluluskan supaya tindakan lebih menyeluruh menyelamatkan gajah Pygmy dapat digerakkan. Melaluinya setiap punca kematian gajah perlu diambil kira, agar penyelesaian tuntas dapat dicari.

Apa yang penting, usaha menghalang peningkatan kematian gajah Pygmy perlu digerakkan segera. Ketika ini 26 spesies haiwan disahkan berada dalam kategori terancam. Kita tidak mahu satu persatu spesies berharga ini meninggalkan kita seperti berlaku kepada badak sumbu Sumatera yang disahkan pupus dari bumi Malaysia.

Berita Harian X