Isnin, 9 March 2020 | 11:01am

Kikis persepsi lantikan politik

Kita bersetuju dengan syor dikemukakan pakar Perlembagaan dan jurisprudens, semalam supaya diwujudkan mekanisme tapisan dan suruhanjaya bebas untuk memilih calon lantikan jawatan penting supaya ia tidak dikaitkan sebagai lantikan politik.

Kita percaya syor itu bertujuan memenuhi semangat diktum perundangan terkenal, iaitu keadilan tidak hanya perlu dilaksanakan, bahkan perlu dilihat dilaksanakan.

Cadangan penambahbaikan itu juga diharap dapat menangkis persepsi negatif, kononnya jawatan penting dibayangi kepentingan kelompok tertentu sehingga mempolitikkan proses perundangan dan demokrasi, sekali gus menjejaskan usaha menegakkan keadilan.

Walaupun diakui sukar mengelakkan tanggapan demikian, terutama jawatan seperti Peguam Negara, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sekurang-kurangnya kerajaan dilihat bersungguh-sungguh mahu mengikis tanggapan seperti itu.

Jika cadangan wujudkan suruhanjaya bebas menjadi realiti, badan itu boleh berperanan mengemukakan satu atau lebih nama calon kepada Perdana Menteri, sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan.

Yang penting, penambahbaikan mekanisme itu perlu ambil kira kedaulatan Raja dan keluhuran Perlembagaan, selain bertepatan kerangka pemisahan kuasa eksekutif.

Lebih penting, pemegang jawatan dan entiti diketuainya boleh melaksanakan tugas dan tanggungjawab diamanahkan dengan penuh bebas, tiada pilih kasih serta tidak tunduk kepada sebarang tekanan, lebih-lebih lagi tekanan politik.

Keadilan untuk korban MH17

Hari ini jauh di Belanda, bermula perbicaraan kes memang dinanti-nanti untuk menuntut keadilan buat 298 penumpang serta kru pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, hampir enam tahun lalu.

Ia membuatkan usaha Malaysia bersama Belanda, Belgium, Ukraine dan Australia yang sebelum ini mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan tribunal jenayah bagi membicarakan dan menghukum mereka yang bersalah dalam insiden berkenaan, sangat berbaloi.

Di Mahkamah District The Hague, empat tertuduh akan diadili, sama ada dengan kehadiran mereka atau tidak. Kita berharap pendakwa sudah bersiap sedia segala bukti dan hujah meyakinkan. Mereka bukan hanya mewakili mangsa dan keluarga, tetapi seluruh masyarakat dunia.

Persoalan sama ada tertuduh akan hadir di mahkamah, diwakili peguam atau dibicarakan tanpa kehadiran mereka berikutan pendirian Russia tidak benarkan suspek yang juga rakyatnya dihantar untuk pendakwaan di luar negara, hanya akan diketahui hari ini.

Apa pun, besar harapan kita agar proses perundangan di The Hague boleh memberi pengajaran berguna bagi mengelak orang awam menjadi mangsa kemusnahan sampingan dalam mana-mana peperangan mahupun konflik.

Dalam pada itu, kita harus memuji keputusan pihak mahkamah yang memudahkan waris mangsa insiden membuat tuntutan pampasan tanpa perlu menghadiri perbicaraan kerana faktor jarak dan kos yang perlu ditanggung.

Begitu juga langkah membenarkan penyiaran prosiding secara langsung, sekali gus membolehkan masyarakat dunia menyaksikan perbicaraan yang dinanti-nantikan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X