Rabu, 25 March 2020 | 11:00am
Bantuan KWSP sangat diperlukan semua golongan yang menghadapi kenaikan perbelanjaan dan pengurangan pendapatan akibat ekonomi yang makin suram. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman
Bantuan KWSP sangat diperlukan semua golongan yang menghadapi kenaikan perbelanjaan dan pengurangan pendapatan akibat ekonomi yang makin suram. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Keluar KWSP ringankan beban

Pengumuman kerajaan membenarkan pengeluaran caruman Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkuat kuasa 1 April ini boleh dilihat dari dua sudut, iaitu positif dan negatif.

Inisiatif pengeluaran menerusi i-Lestari itu tertakluk kepada jumlah RM500 sebulan selama 12 bulan membabitkan pencarum bawah usia 55 tahun.

Inisiatif itu tindak balas pantas kerajaan untuk menangani masalah ekonomi pada peringkat akar umbi.

Turut dijangkakan pada 30 Mac nanti, pakej rangsangan ekonomi yang lebih komprehensif akan diumumkan kerajaan selari dengan perubahan ekonomi yang terus suram pada suku pertama 2020 dan diunjur terus perlahan pada suku kedua.

Secara teknikalnya, kita perlu mengelakkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara daripada terjejas teruk untuk dua suku tahun berturut-turut kerana ia menandakan kemelesetan ekonomi melanda Malaysia.

Bantuan KWSP ini sangat diperlukan semua golongan yang menghadapi kenaikan perbelanjaan dan pengurangan pendapatan akibat ekonomi yang makin suram.

Golongan terjejas teruk sejak Januari lagi ialah pekerja dalam sektor perhotelan, pelancongan, teksi, pemandu pelancong dan pemandu bas pelancong yang hanya mendapat bantuan sekali, iaitu RM600 dahulu, kini menghadapi prospek lebih buruk kepada industri mereka hingga hujung tahun ini.

Pengeluaran itu membantu mereka pada saat genting untuk tempoh setahun, sambil mencari pekerjaan dalam sektor lain yang bersesuaian.

Ia juga membantu golongan yang masih bekerja, tetapi tidak mendapat kenaikan gaji pada 2020 ini akibat kegawatan ekonomi, namun majikan mereka masih berupaya membayar gaji penuh.

Dengan tambahan kepada potongan empat peratus dan kini maksimum RM500 sebulan, ia dapat meringankan tekanan inflasi dan mereka boleh terus membayar komitmen, termasuk kepada pihak bank.

Apatah lagi mungkin ada majikan terpaksa membuat pemotongan gaji atau mengurangkan faedah kesihatan kepada pekerjanya akibat suasana ekonomi ini.

Oleh itu, wang KWSP yang boleh dikeluarkan pekerja untuk mengisi jumlah potongan gaji dan perbelanjaan kesihatan keluarga yang kini mungkin sudah dipotong majikan.

Bagi penjaja kecil yang turut terjejas akibat tempoh pergerakan ini, sekiranya mereka atau pasangan pernah bekerja atau anak yang sudah bekerja, maka tabungan akaun KWSP boleh diguna untuk membantu keluarga pada saat genting ini.

Jumlah maksimum RM500 sebulan atau RM6,000 bukan jumlah mewah, tetapi mencukupi bagi menampung keperluan dapur golongan B40 dan M40.

Bantuan kewangan ini penting pada saat genting, apatah lagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin disambung untuk beberapa minggu atau bulan.

Kerajaan mungkin menjangkakan kegawatan ekonomi akan berlaku kepada Malaysia selari dengan jangkaan ekonomi dunia sekiranya COVID-19 ini tidak berjaya dibendung. Ini hanya bantuan awal kerajaan untuk tempoh 12 bulan dahulu.

Dari sudut negatifnya pula, pengeluaran mungkin disalahgunakan untuk perbelanjaan bukan keperluan.

Maksimum pengeluaran RM500 untuk 12 bulan bersamaan RM6,000 mengurangkan jumlah wang hari tua, tidak termasuk potensi keuntungan dan faedah diberikan KWSP setiap tahun.

Bagi yang masih bekerja dan bergaji penuh sudah mencukupi dengan pengurangan empat peratus pemotongan KWSP yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi RM20 bilion terdahulu.

Apabila kelulusan tambahan ini diberikan, secara tidak langsung turut mengurangkan jumlah simpanan hari tua pekerja yang memilih untuk mengeluarkan selama setahun.

Bagi yang mempunyai baki simpanan Akaun 2 kurang RM6,000, jumlah yang boleh dikeluarkan turut berkurangan dan ini mungkin kumpulan yang paling ramai dan yang paling memerlukan bantuan sebenarnya.

Kumpulan ini kebanyakan golongan B40 dan sepatutnya menerima tambahan wang sehingga sampai RM500 sebulan daripada kerajaan.

Kesimpulannya, kerajaan mahu mengelak pekerja daripada kehilangan punca pendapatan akibat keadaan ekonomi terjejas teruk oleh COVID-19.

Ini bertujuan untuk membantu rakyat menangani ketidaktentuan dengan sekurang-kurangnya membantu meringankan belanja dapur dan perubatan.

Simpanan KWSP memang patut digunakan ketika situasi genting seperti ini, sekiranya nanti ekonomi pulih, pekerja terbabit akan dapat menabung semula.

Malah, jika disimpan di KWSP, pulangan juga tidak begitu tinggi seperti sebelumnya akibat pasaran ekuiti seperti Bursa Malaysia yang terus suram, di samping kejatuhan harga minyak, komoditi utama dan nilai ringgit.

Kegentingan ekonomi dicetuskan pelbagai faktor, terutama COVID-19 hingga tempoh permulaan tahun ini hanya seperti tip of iceberg kerana dijangkakan dunia akan melalui kegawatan ekonomi yang belum pernah terjadi pada era moden ini.

Penulis adalah Penganalisis Ekonomi dan Pengarah Eksekutif MMAG Holding Berhad

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X