Selasa, 21 April 2020 | 10:00am
PROGRAM kebolehpasaran belia perlu dilaksana dengan menumpukan usaha mencipta pengalaman kerja kepada belia dan graduan baharu. Foto hiasan.
PROGRAM kebolehpasaran belia perlu dilaksana dengan menumpukan usaha mencipta pengalaman kerja kepada belia dan graduan baharu. Foto hiasan.

Cabaran, strategi belia berdepan pasca pandemik

KRISIS COVID-19 bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan awam negara, malah kepada ekonomi dan pasaran buruh.

Kebanyakan aktiviti pekerjaan, terutama yang bergantung kepada interaksi pelanggan dan peniaga turut terkesan.

Belia berusia 15 hingga 29 tahun adalah kumpulan penting kepada pasaran buruh negara kerana merangkumi hampir 40 peratus daripada keseluruhan tenaga buruh.

Justeru, kesan semasa dan selepas COVID-19 kepada belia tidak boleh dipandang ringan. Belia juga merangkumi sebahagian besar tenaga buruh di sektor pekerjaan terjejas seperti perkhidmatan dan sektor tidak formal.

Malah, Bank Negara Malaysia baru-baru ini turut mengumumkan peningkatan unjuran kadar pengangguran kepada 4 peratus untuk tahun 2020.

Pengangguran yang meningkat akan memberi kesan secara langsung kepada belia kerana hampir 80 peratus daripada keseluruhan penganggur pada 2018, terdiri daripada golongan berkenaan.

Graduan baharu turut menerima tempias penguncupan ekonomi akibat krisis COVID-19 melalui penawaran pekerjaan yang terhad.

Dengan jumlah keluaran graduan ke pasaran buruh sebanyak lebih 200,000 setiap tahun, sudah pastinya mereka akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kerja.

Graduan baharu yang memasuki alam pekerjaan ketika dalam keadaan krisis akan menerima kesan yang berpanjangan berbanding mereka yang memasuki pasaran buruh sebelum dan selepas krisis.

Antaranya termasuklah pembangunan kerjaya yang terhad, kepuasan kerja yang rendah dan pertumbuhan gaji yang perlahan.

Ia turut memberi kesan pindahan atau knock-on effect lain seperti kesihatan mental.

Melindungi dan menyokong sektor pekerjaan dan pendapatan serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi adalah antara langkah penting yang boleh mengurangkan kesan kepada pasaran buruh.

Semua langkah ini juga diterjemah melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 dan PIHATIN Tambahan 2020 yang diumumkan baru-baru ini, bagi menangani impak krisis COVID-19 kepada rakyat.

Bagaimanapun, bantuan yang diumumkan itu masih dilihat minimum kepada golongan belia, terutama graduan baharu yang bakal menempuh pasaran buruh yang lebih mencabar pada bulan-bulan mendatang.

Cadangan dasar yang memfokus kepada belia dan graduan baharu adalah perlu bagi membantu golongan ini menghadapi kesan semasa dan pasca pandemik.

Antaranya ialah melalui perluasan program latihan pekerjaan atau perantisan bagi peningkatan kemahiran (upskilling), latihan semula (reskilling) dan silang kemahiran (cross-skilling).

Program kebolehpasaran belia sedia ada memerlukan penambahbaikan dengan memberi tumpuan khusus kepada usaha mencipta pengalaman kerja kepada belia dan graduan baharu.

Program sedia ada ini termasuk seperti program Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTEGE), Program Internship Berstruktur (SIP) dan [email protected].

Semua program ini wajar diolah semula menggunakan peruntukan kewangan dan sumber sedia ada, dengan penumpuan khusus kepada isu cabaran yang akan dihadapi oleh belia pasca pandemik ini.

Situasi yang dihadapi pada masa ini memberi kesan kepada pasaran buruh sekurang-kurangnya untuk tempoh 12 bulan yang akan datang.

Pasca pandemik akan menyaksikan penguncupan ekonomi yang menyebabkan pengurangan tawaran pekerjaan yang mendadak, peningkatan pengangguran, kehilangan pekerjaan.

Maka, tempoh terdekat ini akan menyaksikan kesukaran dan tekanan untuk mendapatkan pekerjaan, lebih-lebih lagi kepada belia dan graduan baharu.

Selain itu, sebagai membantu belia mencari pekerjaan sepanjang tempoh pergerakan yang terhad, sistem sokongan mencari kerja yang bersepadu perlu diwujudkan.

Contohnya, melalui portal bersepadu pencari kerja secara dalam talian.

Melalui platform ini, semua maklumat pekerjaan, latihan industri dan perantisan serta bantuan sedia ada boleh dicapai dengan mudah.

Profil belia berbeza dari segi demografi, justeru ketersediaan dan kemudahcapaian adalah sangat penting.

Majikan pula perlu diberi galakan untuk memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan secara digital untuk urusan pengambilan pekerja baharu, baik daripada proses permohonan, temu duga sehinggalah ke peringkat diterima bekerja.

Kaedah yang fleksibel dan inovatif harus difikirkan untuk menangani kesukaran dalam proses mencari kerja dan kehilangan pekerjaan dalam kalangan belia ketika ini.

Penyelidikan Khazanah Research Institute

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X