Rabu, 22 April 2020 | 10:00am
ORANG ramai digesa lebih bijak merancang perbelanjaan dan tidak melakukan pembelian panik ketika tempoh PKP
ORANG ramai digesa lebih bijak merancang perbelanjaan dan tidak melakukan pembelian panik ketika tempoh PKP

Malaysia tidak pernah terputus bekalan makanan

DALAM era pasca kemerdekaan, negara tidak pernah terputus bekalan barang keperluan dan makanan. Kalaupun ada, ia terpencil dan tempohnya tidak lama, dapat diatasi dengan segera.

Bagaimanapun, keadaan mungkin berbeza ketika zaman perang dunia atau semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, kerana umum mengetahui kehidupan ketika itu sangat sukar bagi semua orang.

Jadi, memang sukar untuk kita terima dakwaan bahawa Malaysia terputus bekalan makanan hari ini. Tanahnya subur dan luas, hujan serta panas pula seimbang.

Bak kata orang-orang tua, campak batang kayu ubi, boleh makan ubi dan daunnya. Itu hakikat Malaysia negara bertuah ini.

Pelik kenapa rakyat Malaysia boleh menjadi panik apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan dua hari sebelum dikuatkuasakan bulan lalu.

Berbondong-bondong menyerbu pasar raya untuk memborong pelbagai barangan keperluan harian dalam jumlah lebih banyak daripada biasa. Tidak keterlaluan dikatakan, tindakan mereka seolah-olah seperti tidak ada esok lagi.

Kurang faham mengenai PKP pada peringkat awal, selain mempercayai pelbagai khabar angin atau berita palsu di media sosial membuatkan mereka menjadi takut bekalan makanan habis.

Perkataan PKP disalah anggap seperti perintah berkurung. Kononnya rakyat terpaksa duduk di rumah dengan segala pergerakan dikawal. Semua kedai dan perniagaan ditutup sepenuhnya dan mereka tidak keluar untuk membeli bekalan barang keperluan.

Sebelum COVID-19, bekalan makanan sentiasa mencukupi. Amat mustahil apabila PKP berkuatkuasa dengan jumlah rakyat sama dan keperluan yang sama, tiba-tiba sahaja bekalan terputus.

Jadi, apa yang berlaku sebenarnya adalah sebahagian rakyat Malaysia cuak dan panik kerana mempunyai persepsi salah mengenai PKP, ditambah pengaruh pelbagai berita tidak sahih di media sosial.

Keadaan itu mendorong pembelian panik. Apabila terlalu ramai membeli barangan keperluan dalam jumlah banyak secara serentak, ia pasti mengganggu rantaian pembekalan untuk seketika.

Bagaimanapun, kita bersyukur fenomena pembelian panik ini reda sehari selepas PKP bermula. Keadaan semakin baik beberapa hari kemudian.

Malah jaminan diberi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) jelas meredakan kegelisahan rakyat.

MOA bertanggungjawab terhadap aktiviti huluan produksi dan pemprosesan bekalan makanan, manakala KPDNHEP pula aktiviti hiliran terutama memastikan bekalan sampai kepada pembeli dan pengguna.

Rantaian bekalan barangan keperluan negara sangat cekap dengan mengambil kira pengeluaran tempatan dan bekalan diimport.

Import makanan pada 2018 berjumlah RM40 bilion setahun. Malaysia mempunyai hubungan baik dengan negara pengeksport bagi menjamin kelangsungan bekalan makanan negara. Justeru, rakyat Malaysia tidak perlu panik dan takut.

PKP berlangsung lebih empat minggu. Pemantauan penguat kuasa KPDNHEP mendapati bekalan barang keperluan tetap mencukupi di semua pasar raya di seluruh negara.

Menurut MOA, pengeluaran barang makanan di Malaysia seperti ayam dan telur melebihi permintaan dan penggunaan domestik.

Beras, minyak masak, tepung, gula serta barangan basah juga mencukupi. Hanya sedikit laporan mengenai kenaikan harga mendadak diterima KPDNHEP sehingga kini.

Selalunya pengguna dan pembeli keliru apabila melihat rak di pasar raya kosong, lantas cepat membuat kesimpulan bekalan barang habis dan tidak ada di pasaran.

Hakikatnya, stok barang berkenaan kehabisan di pasar raya berkenaan sahaja, bukannya di seluruh negara seperti disangka.

Tidak semua pasar raya mempunyai stor simpanan sama saiz- nya. Saiz itu membezakan jumlah stok boleh disimpan. Rak jualan akan diisi semula dengan segera jika stok masih berbaki dalam stor.

Setiap pasar raya pula mempunyai sistem pengurusan dan dasar tersendiri untuk tempahan semula. Semuanya tertakluk stok di stor pusat dan mempunyai tempoh penghantaran tertentu sebelum tiba di premis pasar raya itu.

Proses ini menjelaskan keadaan sebenarnya apabila pengguna melihat rak kosong di sesebuah pasar raya. Ia bermakna bukan stok habis di pasaran, sebaliknya pasar raya itu belum menerima stok baharu.

Untuk mengelak salah faham, kita mencadangkan pengurusan pasar raya menulis notis pada rak kosong untuk memaklumkan barangan sedang dipesan dan menyatakan tempoh pengisian semula.

Persepsi salah pengguna timbul apabila pihak pengurusan pasar raya gagal memaklumkan hal ini.

Pelaksanaan langkah ‘pembelian terhad’ juga perlu dalam keadaan sesuatu barang menjadi popular bagi memberi peluang pengguna lain mendapatkannya. Contohnya jika produk roti terlalu laris, maka setiap pembeli hanya dibenarkan beli satu atau dua buku sahaja.

Sikap segelintir pengguna memilih jenama atau gred tertentu juga menambah kekeliruan mengenai situasi semasa bekalan barangan di pasaran.

Sebagai contoh, mereka hanya mahu roti jenama tertentu dan telur gred tertentu sahaja, lantas membuat kesimpulan barang itu kehabisan stok apabila mendapati ia tiada di sesebuah pasar raya. Sedangkan, banyak lagi roti jenama lain dan telur gred lain di rak berhampiran.

Mahu atau tidak, kita perlu berfikiran positif terutama ketika berhadapan krisis negara seperti PKP bagi membendung penularan COVID-19 di negara yang kita sayangi ini.

Kini kita mula lihat golongan lelaki yang juga ketua keluarga lebih aktif belajar mengenali bahan memasak. Mereka sudah tahu membezakan antara halia, kunyit dan lengkuas. Mereka mengenali antara kunyit hidup dan kunyit serbuk. Sekurang-kurangnya kini golongan lelaki lebih memahami dan menghargai tugas wanita di rumah.

PKP juga mengajar kita merancang perbelanjaan. Beli hanya yang perlu dan jangan membazir. Makan makanan sesuai dan mudah diperoleh, tidak perlu berlebihan sebaliknya amalkan sikap bersederhana. Kita juga belajar menerima kekurangan dan teruskan hidup dengan lebih banyak bersabar.

PKP juga mengajak ramai rakyat termasuk pengguna dan peniaga memanfaatkan e-dagang. Alah bisa tegal biasa. Pesanan dalam talian, ‘mobile-apps’ (aplikasi telefon) dan khidmat penghantaran menjadi lebih dekat kepada kita.

Lebih ramai rakyat Malaysia sudah celik e-dagang, e-dompet dan e-tunai serta dapat menerima dan menyesuaikan diri dengan perubahan.

PKP juga mengeratkan ikatan kekeluargaan. Larangan keluar rumah pada waktu malam menjadikan ikatan kekeluargaan bertambah kuat. Ramai dapat melakukan perkara yang jarang dilakukan sebelum ini akibat tuntutan kerjaya.

Antaranya makan bersama, membantu anak dalam sesi pembelajaran dalam talian, menonton televisyen dan menghubungi saudara-mara. Malah, ramai memberi tumpuan terhadap aspek keagamaan bersama keluarga.

Apa pun, pengajaran utama daripada COVID-19 yang perlu kita ingat adalah disiplin menjaga kebersihan diri.

Semua lapisan masyarakat perlu peka dan semoga amalan kebersihan diri yang kita amalkan ketika PKP akan berkekalan, seterusnya menjadi budaya hidup kita ke arah Malaysia bersih.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X