Khamis, 23 April 2020 | 11:00am
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto BERNAMA

Hargai perjuangan wira negara sekat penularan COVID-19

Wabak COVID-19 di negara ini membabitkan 5,482 kes jangkitan dengan 92 kematian. Sudah 88 hari sejak kes pertama dikesan 25 Januari lalu, membabitkan tiga pelancong dari China.

Di seluruh dunia, hampir 2.5 juta kes dicatatkan, membabitkan lebih 160,000 kematian di lebih 110 negara.

Tidak seperti jangkaan awal umum, wabak ini tidak hanya berkaitan kesihatan awam. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menegaskan wabak ini memberi kesan besar dan berpanjangan kepada semua sektor.

Susulan itu, semua negara berhadapan COVID-19 memulakan langkah kawalan, pencegahan dan pemulihan tanpa bertangguh.

Kerajaan bukan sahaja perlu menangani COVID-19 sebagai isu kesihatan awam, malah terpaksa mengerahkan seluruh jentera kerajaan dan penyertaan swasta ke arah usaha perancangan, persediaan dan pelaksanaan dasar serta strategi ekonomi untuk memastikan kesejahteraan rakyat terbela.

Kewibawaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diperlihat sejak awal apabila kerajaan memilih tidak mengisytiharkan perintah darurat. Secara psikologi, ia mengurangkan kemungkinan rakyat panik dan dapat juga mengelak kemungkinan sentimen memberontak atau merusuh dalam komuniti.

Petugas barisan hadapan lengkap peralatan perlindungan peribadi (PPE) dalam usaha memerangi virus COVID-19.
Petugas barisan hadapan lengkap peralatan perlindungan peribadi (PPE) dalam usaha memerangi virus COVID-19.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilakukan bertujuan mengurangkan atau menyekat secara memutuskan rantaian penularan virus daripada menyebar ke luar atau ke tempat lain.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dipertanggungjawab oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipengerusikan Perdana Menteri dengan tugas memimpin pasukan gerak kerja bersangkutan langkah menghentikan penularan COVID-19.

Tugas ini berkaitan pembuatan dasar selepas mengambil kira semua pandangan dan cadangan dikemukakan, terutama MKN.

Dari sudut pentadbiran dasar, peringkat ini dianggap tahap terpenting yang akan menentukan jaya atau gagalnya setiap langkah diambil kerajaan dalam menangani COVID-19.

Mengapa tahap pembuatan dan pelaksanaan dasar ini dikatakan terpenting? Ia membabitkan perancangan dan aturan strategi sangat kritikal.

Dengan kata lain, tahap ini bukan sekadar menyampaikan atau melaporkan semata-mata seperti dipaparkan media setiap hari.

Ia membabitkan perancangan dan pemerhatian senario secara futuristik. Ia disusuli analisis serta keyakinan tinggi yang sukar digambarkan melalui angka dan statistik semata-mata.

Setiap fasa dalam pembentukan dan pemutusan strategi itu membabitkan penyertaan banyak menteri, pentadbir, pakar serta saintis yang mengerah minda untuk mencari jalan terbaik menangani setiap isu berbangkit.

Pelbagai pihak menghulurkan sumbangan tanda sokongan kepada barisan hadapan bagi menghadapi COVID-19.
Pelbagai pihak menghulurkan sumbangan tanda sokongan kepada barisan hadapan bagi menghadapi COVID-19.

Gerak cara dan langkah wira terbabit mencorak strategi, sama ada untuk menyekat penularan dan memulih atau menyembuh penyakit, tidak semuanya dapat dipaparkan media.

Setiap arahan dibuat kemudian diturunkan untuk disambut pelaksana. Ini tahap operasi membabitkan khususnya penjawat awam (meskipun majoriti mereka terus bekerja secara dalam talian) serta penguat kuasa yang saban waktu berumahtangga di lokasi di luar rumah.

Perintah sekatan membabitkan penguatkuasaan polis, tentera, Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan RELA. Kesulitan dan pengorbanan mereka diharungi dalam senyap.

Barisan yang memantau dan mengawal pergerakan komuniti dengan pelbagai kaedah ini, tidak mungkin dapat diliputi menyeluruh dan berterusan oleh media setiap masa serta hari, meskipun berhadapan risiko jangkitan serta cuma dilindungi secara minimum (bertopeng dan bersarung tangan) di tengah terik matahari, ribut, hujan lebat serta dimaki hamun sebahagian ahli komuniti.

Pembabitan mereka untuk memastikan rantaian virus dapat dikawal, disekat dan diputuskan secepat mungkin.

Dengan kata lain, penguatkuasaan ini boleh menentukan jum- lah pesakit di hospital serta kematian akibat virus dapat dikurangkan dan seterusnya dihentikan hingga sifar, meskipun setakat hari ini belum ada vaksin benar-benar dapat diharapkan menyembuhkan pesakit COVID-19.

Pandemik ini bukan hanya berkaitan soal kesihatan awam. Ia membabitkan impak sangat besar, sama ada pada peringkat semasa, malah lebih dibimbangi selepas bencana.

Pertubuhan tempatan dan antarabangsa sepakat menyetujui setiap negara bakal mengharungi kejatuhan ekonomi yang tidak pernah tergambar sebelum ini.

Apa yang meresahkan kenyataan bahawa semua bakal berubah menjadi sesuatu baharu, asing dan berlainan dari segala sudut, sama ada pada peringkat individu (serta keluarga) mahupun kerajaan, sektor awam atau swasta.

Setiap kerajaan mempunyai pendirian dan cara tersendiri menangani krisis yang kini menjadi pandemik melangkaui sempadan kebangsaan.

Malaysia memilih pendekatan membabitkan penyertaan semua pihak, termasuk rakyat secara keseluruhan. Keterangkuman secara kolektif ini disambut baik semua pihak menurut cara masing-masing seperti dirancang dan ditunjukkan hala tujunya oleh kerajaan.

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dilancarkan 27 Mac lalu, boleh dianggap hikmah atau kebijaksanaan besar memperlihatkan kewibawaan Perdana Menteri serta jentera pentadbiran negara dalam mentadbir kesejahteraan rakyat.

Pakej rangsangan itu membabitkan dana besar, tidak kurang RM250 bilion. Inisiatif disusuli pula pakej PRIHATIN Plus bernilai RM10 bilion dan lanjutan pakej tambahan lagi khusus untuk meredakan kesulitan kewangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pada masa sama, dapat mengurangkan kemungkinan ramai pekerja kehilangan punca pendapatan.

Pakej rangsangan disokong dengan banyak langkah itu tentu membabitkan peranan besar dan amat bermakna Menteri Kewangan serta kementerian lain berkaitan.

Bukan sahaja soal kewangan, malah barang keperluan harian, logistik, keselamatan, perpaduan, agama, pengangkutan, sumber dan perkara bersangkutan kesejahteraan rakyat secara tuntas.

Begitu juga wira berkaitan soal pendidikan yang meliputi hampir lima juta murid sekolah dan 1.3 juta pelajar universiti di negara ini.

Pelbagai langkah dan strategi disusun untuk kesejahteraan rakyat dari sudut ini membabitkan peranan serta pengorbanan banyak wira.

Mereka memastikan proses pembelajaran diteruskan meskipun dalam situasi krisis besar seperti sekarang. Berbekalkan persediaan baik serta disokong sumber dan infrastruktur sedia ada, misalnya teknologi pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian, proses pendidikan dapat diteruskan.

Jelas, terlalu banyak wira sewajarnya dihargai dalam tempoh negara menangani krisis.

Sebahagian besar wira ini berjuang dalam diam tanpa disedari komuniti selama 88 hari setakat ini menunggu di rumah mengikuti liputan serta laporan rasmi di media massa.

Terima kasih, wira negara!

Penulis adalah Profesor Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) UiTM

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X