X
Jumaat, 24 April 2020 | 7:43am
Pemahaman elemen dalam maqasid syariah memudahkan kehidupan saat berada dalam suasana darurat. - Foto hiasan
Pemahaman elemen dalam maqasid syariah memudahkan kehidupan saat berada dalam suasana darurat. - Foto hiasan

Maqasid syariah jadi panduan cegah penularan wabak

WARGA Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana jangkitan COVID-19 boleh menular dengan cepat dan pantas.

Paling merisaukan penawar penyakit ini masih diusahakan dan belum ditemui. Islam dan ajaran yang dibawa Rasulullah SAW ialah penyelesaian, sekali gus boleh menyedarkan masyarakat berkaitan wabak ini.

Maqasid syariah (tujuan syariat) boleh dijadikan rujukan dan amalan pencegahan apabila memahami elemen yang ditekankan dalam prinsip itu.

Bagaimana COVID-19 dikaitkan dengan maqasid syariah? Maqasid syariah menekankan keselamatan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Dalam situasi wabak COVID-19 memelihara nyawa (hifz an-nafs) amat berkait rapat antara satu sama lain.

Dengan statistik kematian semakin meningkat dan pesakit bertambah akibat COVID-19, masyarakat sepatutnya memahami prinsip memelihara nyawa itu penting.

Tidak timbul isu tidak mematuhi PKP yang diperkenalkan kerajaan sebagai menyekat kebebasan bergerak, mengeluarkan kata-kata hina atau meninggikan suara kepada pasukan keselamatan yang bertugas sama ada polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) atau askar.

Sebagai pemerintah, menjadi tanggungjawab kerajaan mengelakkan penularan wabak berbahaya ini kepada rakyat, selain menjaga ketenteraman dan keamanan agar semua tidak panik.

Usaha murni oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani jangkitan COVID-19 ini selaras dengan prinsip maqasid syariah.

Paling menyedihkan apabila ada suara dan pandangan yang tidak berdasarkan bukti serta sumber tepat berkaitan etika dan adab dalam mendepani wabak COVID-19.

Mereka juga tidak memahami dalil syarak berkaitan pencegahan penularan wabak atau tidak merujuk fatwa berkaitan keringanan meninggalkan solat jemaah dan solat Jumaat di masjid atau surau bagi yang uzur.

Mereka juga tidak mengetahui peranan maqasid syariah sebagai panduan agama saat berada dalam suasana darurat seperti penularan COVID-19.

Malah, ada yang berani berkata: "Saya tidak takut COVID-19, tetapi hanya takut pada Allah. COVID-19 itu juga makhluk Allah hanya menyerang pelaku maksiat atau dosa sahaja."

Angka kematian menampakkan peningkatan, walaupun masih dalam situasi terkawal. Islam melarang umatnya hanya berserah pada takdir tanpa berusaha dan berikhtiar.

Datangnya maqasid syariah adalah untuk menjaga nyawa, sama ada dengan cara pemilihan makan minum yang halal dan menjaga kebersihan tubuh badan, tempat tinggal serta pakaian agar tidak dijangkiti kuman atau bakteria.

Saya merujuk kepada pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang mencadangkan maqasid syariah difokuskan dalam usaha memelihara nyawa, akal dan keturunan.

Saya bersetuju dengan pandangan beliau dalam menangani isu COVID-19 ini dengan memberi kefahaman terhadap rakyat betapa pentingnya fungsi maqasid syariah.

Dengan PKP yang dijalankan sekarang juga berupaya mencegah menularnya virus yang boleh membawa kepada punca kematian.

Kaedah ini hakikatnya sesuai dengan hadis diriwayatkan Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tidak boleh memberi mudarat dan tidak boleh membalas kemudaratan dengan kemudaratan. (riwayat Ibnu Majah)

Hadis itu jelas menunjukkan manusia tidak boleh mendatangkan apa-apa kemudaratan atau mendatangkan kemudaratan dengan kemudaratan.

Dengan kita memasuki Ramadan ini, diharapkan umat Islam mematuhi peraturan dan arahan yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan KKM agar tidak menambahkan bilangan pesakit COVID-19.

Tentu ramai yang inginkan berjemaah Tarawih seperti biasa di surau atau masjid. Namun, dalam situasi COVID-19 ini, umat Islam perlu memahami impak sekiranya dilakukan solat Tarawih di surau atau masjid. Ia pasti dikunjungi ramai manusia dan paling menakutkan akan menular lagi COVID-19 berkemungkinan dibawa oleh sesiapa sahaja yang hadir untuk solat.

Malah, apabila kita melihat kepada pandangan mazhab berkaitan hukum solat Tarawih berjemaah di surau atau masjid dalam situasi wabak ini, ada pandangan ulama yang boleh dijadikan rujukan.

Imam Nawawi RA membahagikan dua pandangan berkaitan hukum solat Tarawih secara bersendirian. Pandangan pertama daripada Imam Shafie dan jumhur yang berpandangan solat Tarawih afdal atau lebih utama ditunaikan secara berjemaah.

Pandangan kedua daripada Imam Malik, Abu Yusof dan sebahagian ulama mazhab Shafie menyatakan solat Tarawih afdal ditunaikan secara bersendirian di rumah.

Dalam menyelesaikan isu ini dan umat Islam di Malaysia dapat menunaikan ibadah puasa pada Ramadan tahun ini dengan sempurna dan malamnya pula dapat mengerjakan solat Tarawih, maka Zulkifli berpandangan menunaikannya secara bersendirian dibolehkan apabila merujuk dua pandangan berkenaan. Paling afdal adalah dilakukan secara berjemaah.

Pandangan beliau itu mengambil kira situasi COVID-19 yang sedang menular dalam masyarakat di negara ini. Nampak jelas maqasid syariah berperanan sebagai langkah dan panduan terbaik kepada umat Islam ketika mendepani wabak bahaya COVID-19.

Pada masa sama, ia dapat memelihara nyawa manusia dan menjalani kehidupan dengan selamat di samping mengerjakan ibadah solat dan mengimarahkan Ramadan dengan selamat, aman, selesa dan tenang.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Kenegaraan Dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X