X
Sabtu, 25 April 2020 | 11:00am
Hasil wakaf mampu digunakan bagi pelbagai tujuan antaranya melengkapkan kemudahan perubatan untuk meningkatkan kualiti kesihatan. - Foto hiasan
Hasil wakaf mampu digunakan bagi pelbagai tujuan antaranya melengkapkan kemudahan perubatan untuk meningkatkan kualiti kesihatan. - Foto hiasan

Wakaf penuhi keperluan ekonomi, perkasa ummah

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam The Economic Times meramalkan ekonomi global boleh menyusut hingga 1 peratus tahun ini kerana COVID-19.

Badan dunia itu juga memberi amaran kemungkinan penyusutan lanjut jika sekatan terhadap aktiviti ekonomi dilanjutkan tanpa respon fiskal mencukupi.

Malaysia tidak terkecuali berdepan realiti ini. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membawa penutupan premis kerajaan dan swasta termasuk premis perniagaan, manakala ramai hilang punca pendapatan.

Masyarakat khususnya asnaf B40 antara terkesan dan M40 tidak terkecuali. Peniaga kecil, penjaja dan individu terjejas atau hilang punca pendapatan ketika COVID-19 memerlukan bantuan.

Pakej rangsangan ekonomi sedikit sebanyak melegakan rakyat dan pihak terkesan. Juga pusat zakat dan majlis agama Islam negeri serta seluruh pihak menyalurkan bantuan segera.

Sejauh manakah dana ini cukup menampung keperluan masyarakat dan negara bagi tempoh yang mungkin panjang? Bagaimana pula wakaf boleh berperanan dalam menyelesaikan masalah ini?

Saya yakin wakaf amat relevan dengan realiti semasa ini. Sebagai harta memberikan manfaat kekal kepada penerima berhak, penggunaannya tidak akan menghabiskan harta diwakafkan. Malah, boleh digunakan berkali-kali.

Contohnya, pewakaf mewakafkan wang dan dilaburkan pentadbir wakaf. Wang modal masih boleh digunakan untuk pelaburan selanjutnya kerana hasilnya sahaja digunakan untuk penerima wakaf.

Sifat kekal ini tidak dipunyai harta seperti derma dan zakat yang biasanya akan habis diagihkan tanpa menafikan ia mempunyai kedudukan penting dalam menyelesaikan masalah ummah.

Wakaf berpotensi tinggi menjana pulangan harta berlipat kali ganda bagi kelestarian ummah dan negara. Orang Islam dan bukan Islam boleh berwakaf serta mendapat faedah daripada harta atau hasil diwakafkan.

Dalam konteks COVID-19, hasil pelaburan wakaf am sedia ada boleh diberikan untuk keperluan dan kegunaan mereka terkesan dengan PKP.

Wakaf am tidak ditetapkan tujuan khusus oleh pewakaf. Pentadbir atau pemegang amanah boleh menggunakannya untuk apa-apa tujuan kebajikan sah dan tidak bertentangan hukum syarak termasuk COVID-19.

Wakaf khas pula boleh dikutip untuk tujuan pembelian peralatan dan kelengkapan perubatan hospital bersifat kekal seperti katil, ambulans, alat bantuan pernafasan serta mesin dialisis.

MERCY Malaysia misalnya melaksanakan projek Wakaf COVID-19 untuk menampung sumbangan 20 mesin bantuan pernafasan bagi kegunaan unit rawatan rapi (ICU) di hospital kerajaan terpilih.

Hasil wakaf dijana di hampir semua universiti awam juga boleh digunakan untuk membiayai keperluan bantuan makanan serta pembelian topeng muka untuk pelajar terkandas di kampus sepanjang PKP berlangsung.

Tidak salah menggunakan dana wakaf sedia ada atau hasilnya (tertakluk kepada syarat dan jenis wakaf) untuk menangani keperluan COVID-19 ini.

Hakikatnya, amalan global sudah lama menerima wakaf sebagai tonggak utama kekuatan ekonomi dan spiritual mereka.

Turki misalnya sudah lama mewarisi kesan wakaf sejak Kerajaan Uthmaniah lagi. Wakaf sebati dalam budaya masyarakat termasuk dilaksanakan pemerintah atau sultannya. Dana wakaf membiayai banyak keperluan ibadah, pendidikan, penyelidikan, kesihatan dan kebajikan.

Imaret atau dapur awam diwujudkan di hampir semua wakaf utama yang memperuntukkan makanan percuma kepada orang miskin dan pekerja wakaf.

Hospital Wakaf atau darussifa, shifahane atau bimaristan ditubuhkan pemerintah atau individu untuk perkhidmatan perubatan percuma kepada masyarakat meliputi rawatan pesakit, ubat dan penempatan pesakit.

Sesiapa sahaja tidak mengira bangsa dan agama boleh diterima sebagai pesakit dirawat doktor pakar terlatih. Hospital wakaf dibina di bandar utama seperti Edirne dan Istanbul semasa zaman Kerajaan Uthmaniah.

Ketika menjalankan penyelidikan universiti wakaf di Turki pada 2012, saya dapati universiti wakafnya atau vakif universitesi banyak menyumbang kepada pelajarnya seperti dilaksanakan di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Pelajarnya dikecualikan membayar yuran pengajian di bawah pelbagai kategori biasiswa. Gaji pekerja dan operasi universiti juga diambil daripada hasil wakaf. Di KOC Universitesi, semua pelajar pasca siswazah diberi biasiswa pengajian penuh.

Terdapat nama jalan menggunakan perkataan wakaf di Istanbul seperti Evkaf Sokagi di Sultanahmet atau nama universiti dan bangunan umpamanya Fatih Sultan Mehmet Vakıf Universitesi di Fatih dan VakifBank.

Banyak lagi negara mengamalkan wakaf yang memberikan sumbangan utama kepada pembangunan ummah seperti Mesir, Arab Saudi dan Oman.

Malaysia perlu melaksanakan lebih banyak usaha wakaf supaya manfaatnya terus dinikmati masyarakat dan negara.

Pelaksanaannya secara besar-besaran pada peringkat negara wajar dimulakan. Kebenaran dan kerjasama perlu membabitkan majlis agama Islam negeri sebagai pemegang amanah tunggal berdasarkan perundangan.

Hasil penjanaan wakaf sudah pasti akan dapat membela ekonomi negara dalam kuantiti lebih besar pada masa akan datang khususnya dalam realiti seperti wabak.

Penulis adalah Pakar Wakaf bagi Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf Universiti Malaya-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X