Sabtu, 2 Mei 2020 | 10:00am
PENGUMUMAN Perdana Menteri sempena Hari Pekerja memperjelaskan lagi bentuk normal baharu yang perlu dihadapi penjawat awam bagi melonjakkan kembali ekonomi dan kelestarian negara. Foto hiasan.
PENGUMUMAN Perdana Menteri sempena Hari Pekerja memperjelaskan lagi bentuk normal baharu yang perlu dihadapi penjawat awam bagi melonjakkan kembali ekonomi dan kelestarian negara. Foto hiasan.

Warga kerja perlu menjiwai normal baharu

PANDEMIK COVID-19 yang melanda dunia, termasuk Malaysia bukan sahaja memberikan kesan besar persoalan kesihatan dan keselamatan, bahkan kepada seluruh kehidupan masyarakat global.

Ia mendorong semua, termasuk golongan pekerja sama ada sektor awam mahupun swasta untuk mengubah cara pandang terhadap bagaimana mereka dapat melaksanakan tuntutan tugas masing-masing.

Justeru, secara umum, pekerja sama ada penjawat awam atau kakitangan swasta sudah terdedah dengan normal baharu kesan daripada usaha menyeluruh untuk membendung penularan COVID-19 ini.

Dalam konteks pekerjaan hari ini, penjawat awam mula tahu dan dibiasakan dengan normal baharu, sekali gus mereka perlu keluar daripada kebiasaan yang selama ini dilakukan.

Penjawat awam sudah mula bekerja dari rumah, manakala sebahagian lagi menjadi barisan hadapan dan lapisan kedua yang membantu usaha petugas kesihatan serta keselamatan membendung COVID-19 dan menguatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam konteks barisan hadapan, mereka sebenarnya sudah menyumbang tenaga dan masa lebih daripada 100 peratus.

Masakan tidak, kita melihat mereka melaksanakan tanggungjawab itu bersungguh-sungguh, termasuk tanpa cuti atau bekerja dalam syif yang amat panjang dan bersambungan.

Kita boleh melihat kumpulan yang terbabit secara langsung dengan kes COVID-19. Mereka tidak boleh pulang ke rumah seperti biasa, termasuk tidak dapat memeluk anak atau perlu mengawal pergerakan mereka demi mengelakkan sebarang jangkitan yang tidak disedari.

Bagaimanapun, apa yang berlaku hanya pada peringkat permulaan dan ia akan berterusan sekurang-kurangnya sehingga dunia berjaya menghasilkan penawar atau vaksin kepada COVID-19.

Bagi penjawat awam, pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan sempena Hari Pekerja, memperjelaskan lagi bentuk normal baharu yang mereka perlu hadapi.

Justeru, kita berharap ketua jabatan perlu mengenal pasti skop bidang tugas jabatan masing-masing dan lebih penting, apakah perkhidmatan teras yang paling dekat dengan rakyat.

Penjawat awam yang terbabit dengan perkhidmatan teras dan paling hampir dengan rakyat perlu bertugas di lapangan.

Sekiranya penjawat awam tidak dapat memenuhi kehendak dan bertemu dengan rakyat, ia tentu menambahkan beban dalam kehidupan mereka yang terjejas disebabkan kesan ekonomi semasa.

Penjawat awam yang pelanggannya bersifat dalaman seperti berkaitan pengurusan sumber manusia atau menerima aduan untuk disalurkan kepada pihak berkenaan, mereka boleh bekerja dari rumah.

Bagaimanapun dalam usaha untuk mengadaptasi normal baharu ini, kita berharap perkara berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerja perlu diambil berat seperti penyediaan cecair pembasmi kuman dan topeng muka mencukupi.

Ketua jabatan juga perlu memastikan penjawat awam di jabatan masing-masing tidak mengalami tekanan. Di sini kebijaksanaan mereka diperlukan, termasuk soal penjadualan kerja dan memanfaatkan unit psikologi dan kaunselor yang disediakan.

Begitu juga ketua jabatan tidak boleh mengambil sifat sambil lewa seperti memberikan arahan melalui media sosial di luar waktu pejabat seperti aduan yang sering diterima pihak kami.

Secara umumnya, kita dapat melihat keberkesanan penjawat awam meskipun terpaksa bekerja dari rumah berdasarkan perkembangan semasa. Bekalan makanan untuk rakyat umpamanya tidak terjejas, manakala anak dapat belajar secara dalam talian meskipun prosesnya berubah.

Bagi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS), kita berharap penjawat awam khasnya dan golongan pekerja di negara ini amnya, dapat menerima proses dan normal baharu yang bakal mengubah kehidupan hari ini.

Semua pihak diharap dapat menggunakan pendekatan baharu ini untuk melonjakkan kembali ekonomi dan kelestarian negara kita.

Normal baharu sebenarnya bukan sesuatu yang sukar diamalkan, sebaliknya boleh diadaptasi demi kepentingan bersama pada masa hadapan.

Malah, normal baharu yang menjadi cabaran kepada semua juga boleh bertindak sebagai peluang untuk kita meningkatkan kepantasan dalam mengadaptasi persekitaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan kehidupan digital.

Berdasarkan apa yang kita saksikan dalam usaha membendung COVID-19, ia menunjukkan maklumat dan data menjadi teras kepada keperluan normal baharu ini.

Kita berharap usaha mengadaptasi normal baharu itu akan menjadikan semua pihak dapat mengekalkan prestasi dan produktiviti masing-masing.

Sebagai insan bergelar pekerja khususnya penjawat awam, kita perlu bersedia secara fizikal dan mental mengadaptasi serta mengamalkan norma baharu yang hadir pasca COVID-19 ini.

Apa yang lebih penting, norma baharu ini memerlukan setiap organisasi lebih kreatif dan inovatif untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kekal berterusan dan berkesan kepada rakyat.

Ia juga bersifat fleksibel dan boleh berubah berteraskan teknologi yang serba canggih pada masa kini dan akan datang.

Harus diingat juga, norma baharu memerlukan sistem penyampaian dan pendekatan yang juga baharu. Namun, apa yang lebih penting pekerja perlu mempunyai azam dan iltizam untuk mendepani cabaran ini.

Kita berharap pada masa sama, meyakini, semua pekerja di negara ini dapat mendepani cabaran semasa untuk memacu perkhidmatan awam ke arah kecemerlangan.

CUEPACS berharap semua pekerja terus komited dan produktif meningkatkan produktiviti untuk memacu kestabilan dan pertumbuhan pesat ekonomi negara. Kita berharap rakan strategik di sektor awam dan swasta akan terus menggembleng usaha serta kepakaran dan sinergi dalam normal baharu ini.

Semoga landskap dan aspirasi ini dapat membawa negara kita ke persada yang lebih tinggi pada peringkat antarabangsa.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS)

Berita Harian X