Ahad, 3 Mei 2020 | 10:00am
KEBEBASAN akhbar di Malaysia ada had agar tidak menjatuhkan nilai moral pembaca serta tidak menyentuh isu
KEBEBASAN akhbar di Malaysia ada had agar tidak menjatuhkan nilai moral pembaca serta tidak menyentuh isu

Masa hadapan kebebasan akhbar di Malaysia

LAPORAN Indeks Kebebasan Akhbar Sedunia baharu sahaja dikeluarkan oleh Reporters Without Borders untuk 2020. Malaysia, kali pertama dalam sejarah menduduki tangga 101 daripada 180 negara disenarai.

Ini kali pertama Malaysia menunjukkan peningkatan besar dengan lonjakan 22 anak tangga, tertinggi untuk 2020 diikuti Maldives dengan 19 anak tangga.

Juga pertama kali Malaysia menduduki tangga terbaik dalam indeks ini berbanding negara ASEAN lain seperti Indonesia (119), Filipina (136), Myamnar (139), Thailand (140), Cambodia (144), Brunei (152), Singapura (158), Laos (172) and Vietnam (178).

Peningkatan ini, menurut Reporters Without Borders dikaitkan perubahan landskap politik selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 serta kebebasan bersuara lebih tinggi, apabila portal berita seperti Sarawak Report boleh terus melapor berita tanpa banyak gangguan.

Selama ini, Malaysia kerap berada antara tangga 140 hingga 150 dalam indeks kerana operasi media yang umumnya dikategorikan sebagai 'tidak bebas' kerana beberapa isu utama yang membelenggu.

Antaranya pemilikan media yang terhad dan dimonopoli beberapa syarikat media besar, selain dikaitkan dengan kerajaan yang berkuasa serta undang-undang media yang disifatkan ramai sebagai drakonian.

Misalnya, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 memerlukan akhbar dan sebarang bentuk penerbitan berkala mendapat permit untuk diterbitkan di Malaysia, yang diperbaharui setiap tahun.

PPPA juga memberi kuasa mutlak kepada menteri membuat keputusan mengenai pengoperasian sesebuah organisasi media, sama ada boleh diteruskan pada tahun akan datang, digantung sementara atau sebagainya.

Namun, dalam banyak masa dan keadaan di Malaysia hal ini tidak begitu dipersoalkan kerana bagi sesetengah rakyat, kestabilan politik dan ekonomi negara melebihi nikmat kebebasan media.

Konsep kebebasan akhbar sebenarnya bukan baharu di mana-mana negara yang mengamalkan kewartawanan. Ia idea dan amalan Barat berkaitan demokrasi dan pembabitan rakyat dalam menjayakannya.

Dalam konteks Malaysia, bukan kebebasan akhbar mutlak ingin dirai, tetapi kebebasan diiringi tanggungjawab. Ini jelas kerana sebagai sebuah negara bertonggakkan Islam, wujudnya batas dan panduan dalam setiap perkara dilakukan dalam segenap aspek kehidupan termasuk hal kebebasan akhbar.

Isi kandungan menjatuhkan moral pembaca pastinya tidak kita mahukan, begitu juga kandungan menyentuh perkauman dan menyebabkan kacau-bilau. Ini yang membezakan kefahaman dan amalan kebebasan akhbar di Barat dan di negara berbeza budaya.

Namun, kebebasan media versi Amerika Syarikat (AS) tidak lepas daripada kritik. Sam Lebovic, sejarawan AS dan penulis buku Free Speech & Unfree News: The Paradox of Press Freedom in America mempersoalkan monopoli kapitalisme dan peningkatan jumlah konglomerat media di negara itu, kekangan akses terhadap maklumat serta kekurangan kepelbagaian berita kerana tindakan kerajaan yang mengawal maklumat sehingga menutup hak masyarakat untuk mengetahui sesuatu isu.

Namun, untuk meningkatkan kebebasan akhbar, Lebovic hanya mencadangkan organisasi media perlu didanai cukai dan subsidi kerajaan. Berbeza pandangan Prof Robert McChesney yang mencadangkan produk media perlu dibentuk sebagai entiti umum yang menjadi satu keperluan dalam masyarakat seperti pendidikan yang boleh dicapai secara percuma semua orang dan didanai rakyat secara bebas serta tidak berasaskan keuntungan.

Dengan perbezaan pendapat dan kepelbagaian usaha ini, Hari Kebebasan Akhbar Sedunia tetap disambut kebanyakan negara setiap 3 Mei. Tema untuk 2020 ialah 'Kewartawanan Tanpa Rasa Takut dan Berpihak'.

UNESCO turut mengadakan kempen global dengan tema ini dan sub tema Keselamatan Jurnalis dan Pekerja Media, Kebebasan dan Kewartawanan Profesional Yang Bebas Daripada Pengaruh Politik dan Komersial, dan Kesamarataan Gender dalam Segenap Aspek Media untuk meningkatkan tahap kebebasan media di seluruh dunia.

Di Malaysia, satu langkah begitu lama diusahakan ialah menubuhkan Majlis Media dan berupaya mengawal industri media secara bebas. Ini antara langkah mewujudkan media bebas yang wartawan tiada rasa gusar dan takut akan dikenakan tindakan undang-undang seperti hari ini.

Jika usaha ini berjaya, Malaysia akan mencapai satu tahap pluralisme media, iaitu konsep lebih luas daripada kebebasan media.

Konsep ini lebih daripada sekadar membincangkan soal pemilikan media iaitu kepentingan kepelbagaian pemilikan media, tetapi merangkumi isu lain seperti undang-undang kawalan penggabungan media, kebebasan editorial, kebebasan organisasi media, profesionalisme jurnalis, hubungan antara media dan ahli politik dan sebagainya.

Ia merangkumi segenap aspek yang memastikan setiap daripada kita mempunyai akses terhadap maklumat dan boleh bersuara dan memberi pendapat.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Program Komunikasi Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia

Berita Harian X