Isnin, 4 Mei 2020 | 10:30am
NEGARA memerlukan pelaksanaan strategi menyeluruh untuk menggerakkan serta memacu semula pelbagai sektor ekonomi selepas terkesan dengan penularan COVID-19. - Foto Asyraf Hamzah
NEGARA memerlukan pelaksanaan strategi menyeluruh untuk menggerakkan serta memacu semula pelbagai sektor ekonomi selepas terkesan dengan penularan COVID-19. - Foto Asyraf Hamzah

Memacu semula ekonomi dalam normal baharu

Selepas menempuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 47 hari, kebanyakan perniagaan diberi kebenaran untuk meneruskan semula operasi bermula hari ini.

Kegiatan ekonomi Malaysia akan mula bergerak semula selepas lama berkurung untuk membendung penyebaran pandemik COVID-19 dengan berkesannya.

Akan tetapi, kita akan menyambung kehidupan dalam keadaan dunia yang berbeza dengan normal yang baharu. Kita akan bermula dalam persekitaran ekonomi yang sangat mencabar.

Perdana Menteri mengumumkan anggaran kerugian ekonomi akibat PKP berjumlah RM63 bilion dan ramai orang hilang pekerjaan.

Kebanyakan syarikat sama ada korporat besar dan juga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak terlepas, dengan ramai daripada mereka menghadapi ketidaktentuan.

Kesan negatif terhadap pasaran kredit, rantaian bekalan dan produktiviti pekerja hanya akan pulih secara beransur-ansur.

Kini objektif dasar adalah untuk memastikan syarikat kembali semula ke tahap optimum dari segi pengeluaran dan penggunaan tenaga kerja seperti sebelum krisis dengan kadar segera dan sejahtera.

Juga pembinaan asas yang kukuh berpandukan produktiviti jangka masa panjang bagi pertumbuhan, daya tahan dan daya saing ekonomi.

Pelan terperinci fasa pasca PKP memerlukan penyelarasan rapat di antara sektor swasta dan kerajaan. Skala pandemik yang belum pernah berlaku sebelum ini bermakna langkah untuk kembali bekerja perlu dibuat secara beransur-ansur dan berperingkat.

Langkah berwaspada perlu diambil untuk mencegah gelombang jangkitan yang seterusnya.

Adalah penting bagi memastikan beban bagi mencegah COVID-19 tidak hanya dipikul oleh PKS semata-mata yang sudah dan sedang menghadapi kesukaran untuk meneruskan perniagaan.

Kerajaan baru-baru ini berusaha menyediakan prosedur operasi standard (SOP) untuk normal penjarakan sosial untuk diikuti pekerja bagi memastikan persekitaran kerja yang selamat.

Usaha ini penting terutama bagi PKS yang berkemungkinan besar tidak memiliki keupayaan seperti syarikat lebih besar, dalam pengurusan tindakan yang sewajarnya dan penyediaan langkah pencegahan yang mencukupi.

Bagi kebanyakan industri, langkah mengembalikan pekerja ke pejabat adalah pilihan terbaik.

Selagi rawatan yang berkesan atau vaksin tidak dapat disediakan secara meluas, ujian sasaran secara besar-besaran untuk mengenal pasti jangkitan positif mungkin dapat membantu mengurangkan kebimbangan dan meningkatkan keyakinan pekerja serta pelanggan ketika perniagaan dibuka semula.

Sokongan yang boleh diberikan kepada PKS termasuklah pembiayaan bersama bagi perkhidmatan profesional pembersihan bangunan yang disahkan dengan kes COVID-19 dan juga akses kepada insurans kesinambungan perniagaan.

Tidak dapat dinafikan adalah jelas PKS selama ini mendapat manfaat penggunaan teknologi baharu.

Krisis yang dihadapi kini meningkatkan lagi kepentingan penggunaan teknologi baharu. Sebagai contoh kemudahan bekerja secara jarak jauh dan platform perniagaan dalam talian.

Bagi bergerak ke hadapan, langkah perlu dikenal pasti untuk meningkatkan lagi kadar pendigitalan dalam kalangan PKS di Malaysia.

Akses jalur lebar secara percuma atau dengan subsidi dan sokongan teknikal secara terus boleh disediakan untuk PKS bagi mempercepatkan peralihan kepada platform digital.

Ini termasuklah platform perniagaan kepada pengguna (B2C) dan perniagaan kepada perniagaan (B2B). Dalam konteks ini, usaha baharu untuk menyokong proses menyediakan kemahiran baharu dan meningkatkan kemahiran pekerja adalah penting.

Selepas perniagaan boleh beroperasi secara selamat, usaha perlu ditumpukan untuk merancakkan permintaan dan mengaktifkan semula rantaian bekalan.

Pelaksanaan langkah rangsangan fiskal menyeluruh yang konsisten dengan ruang fiskal yang ada boleh membantu memulihkan permintaan agregat.

Dalam hal ini, pengumuman langkah untuk mempercepatkan dan menambah peruntukan bagi projek dan program pelaburan awam yang utama - contohnya projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Transit Aliran Massa 2 (MRT2) dan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) - mampu memberikan impak positif terhadap permintaan pada peringkat pembinaan dan memanfaatkan pertumbuhan secara jangka panjang.

Tanpa sokongan, PKS biasanya tidak berupaya bersaing mendapat kontrak perolehan awam. Keadaan ini boleh mengehadkan kapasiti PKS untuk menerima manfaat daripada projek pelaburan yang dinyatakan.

Selain itu, e-perolehan juga wajar digalakkan bagi memberi peluang sama rata bagi PKS bersaing dengan syarikat lebih besar untuk mendapatkan tender.

Bagi pelaburan langsung asing (FDI) pula, usaha perlu segera ditumpukan untuk mengekalkan pelabur sedia ada dan menjaga rantaian bekalan yang menghubungkan pembekal asing serta domestik (biasanya PKS).

Banyak rantaian bekalan dan hubungan pelanggan yang terjejas akibat krisis.

Sementara itu, agensi kerajaan boleh membantu PKS untuk bersatu semula dengan rantaian bekalan dan mencari pasaran domestik serta eksport yang baharu bagi memendekkan masa pemulihan.

Di Malaysia, perhatian khusus perlu diberikan bagi memastikan syarikat dalam sektor industri elektrik dan elektronik (E&E), peruncitan dan pelancongan yang terdedah kepada kejutan permintaan serta bekalan terus menerima sokongan.

Ini penting bagi menghalang pelaburan keluar, seterusnya kehilangan peluang pekerjaan.

Kerajaan perlu menjelaskan kepada syarikat mengenai perubahan langkah sokongan kewangan semasa apabila fasa pembukaan semula pasca PKP diteruskan.

Adalah penting langkah sokongan sedia ada tidak ditamatkan dalam masa terdekat dan sesetengah langkah mungkin perlu diteruskan walaupun syarikat sudah memulakan semula operasi.

Dialog terperinci dengan wakil daripada pelbagai sektor swasta terutamanya PKS, boleh membantu kerajaan menyampaikan keputusan diambil.

Langkah diambil dan cara pelaksanaan perlu diteruskan untuk mengurangkan transaksi fizikal atau interaksi secara bersemuka yang tidak perlu.

Skala langkah juga perlu boleh diubah dan terikat mengikut tempoh mengikut keadaan.

Ini membolehkan kerajaan menambah skop bantuan disediakan, mengurangkannya semula apabila krisis berkurangan dan kemudian menambah semula sekiranya virus merebak.

Walaupun virus diharapkan tidak berkekalan, kerosakan dialami ekonomi adalah besar.

Proses pemulihan berkemungkinan besar tidak sekata. Sesetengah bahagian dalam ekonomi global bergerak pada kelajuan berbeza dan kadar ini pula akan menentukan pemulihan sektor tertentu yang menjadi sebahagian daripada rantaian nilai global.

Bagaimanapun, harapan masih ada. Krisis yang berlaku sekarang bukan saja membuatkan kita berasakan tindakan segera perlu diambil, malah turut memberi peluang menguatkan kedudukan Malaysia menghadapi kejutan luaran.

Selain itu, apa yang berlaku sekarang akan mempercepatkan transformasi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi yang dibina berasaskan sektor swasta yang lebih kukuh, berdaya tahan dan berdaya saing.

Penulis ialah Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X