Sabtu, 16 Mei 2020 | 11:26am
Insentif dan faedah disediakan majikan mampu menarik minat rakyat tempatan bekerja dalam sektor pembinaan. - Foto hiasan
Insentif dan faedah disediakan majikan mampu menarik minat rakyat tempatan bekerja dalam sektor pembinaan. - Foto hiasan

Rombak dasar buruh asing buka peluang warga tempatan

Dasar buruh asing menjadi antara perkara yang mula mendapat perhatian pihak kerajaan dalam merancang pembaharuan dasar disebabkan oleh wabak COVID-19. Sebelum ini, sekuriti makanan dan pendidikan diberikan perhatian.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, kerajaan akan mengkaji semula dasar buruh asing selepas isu dihadapi 2.3 juta pekerja asing semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pekerja asing antara punca kebimbangan rakyat Malaysia apabila mereka menjadi kumpulan baharu didapati positif COVID-19 setelah dikesan di sebuah tapak pembinaan di Ampang dan persekitaran tempat tinggal mereka yang sesak.

Secara umum, menurut Jabatan Imigresen, Malaysia hanya membenarkan pekerja asing diupah dalam beberapa sektor pembuatan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan.

Mereka dipanggil pekerja asing berdokumen. Pada masa sama, terdapat pekerja asing yang datang tanpa izin.

Menurut pakar, pekerja asing menyumbang kira-kira 15 hingga 30 peratus jumlah keseluruhan tenaga buruh di Malaysia jika dihitung sama pekerja asing tanpa izin. Persoalannya, mengapa berlaku kebergantungan seperti ini?

Untuk tahun sebelum ini, kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah dan separa dalam beberapa sektor disebabkan kekurangan minat dalam kalangan masyarakat negara ini, mungkin kerana upah rendah dan status sosial.

Jadi, kemasukan pendatang asing berterusan bagi menampung kekurangan tenaga kerja.

Majikan yang juga ahli Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM), berkata pekerja asing biasanya diambil untuk mengurangkan kos perniagaan kerana mereka dikenali sebagai buruh murah.

Bagaimanapun, tindakan ini menyebabkan majikan kurang berminat melakukan peralihan kepada automasi, terus merendahkan gaji dan mengehadkan peluang pekerjaan kepada warga tempatan.

Walaupun negara sangat menghargai pekerja asing yang membantu mengembangkan ekonomi Malaysia untuk bertahun-tahun, beberapa langkah perlu diambil kira kerana pandemik dan PKP menyebabkan pasaran buruh terjejas dengan kehilangan pekerjaan dan pengambilan pekerja juga dibekukan.

Bank Negara Malaysia mengunjurkan pasaran lemah pada separuh pertama tahun ini kerana keadaan ekonomi yang mencabar, berdasarkan Pernyataan Dasar Monetari terbarunya pada 5 Mei lalu.

Jadi, bagaimana Malaysia boleh mengurangkan jumlah pekerja asing dalam jangka sederhana hingga jangka panjang untuk memberi ruang kepada rakyat Malaysia yang terjejas teruk dari segi pekerjaan?

Satu cara yang boleh dipertimbangkan adalah untuk kerajaan melaksanakan program pengampunan untuk menghantar pulang pendatang tanpa izin membabitkan mereka yang tinggal melebihi tempoh dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, sama seperti program yang diperkenalkan pada 2019 dikenali Back for Good (B4G).

Pada 2019, program berkenaan mensyaratkan pekerja ini membayar denda RM700 dan perlu menunjukkan tiket penerbangan mereka sebelum pulang ke tanah air. 

Sebaik kembali ke negara asal, mereka akan disenarai hitam untuk memasuki Malaysia.

Mungkin kali ini, program sama boleh dilaksanakan tanpa syarat yang membebankan mereka untuk kembali ke negara asal, tanpa dikenakan sebarang denda atau mungkin denda yang minimum.

Tanggungjawab moral terhadap pekerja asing tidak seharusnya diabaikan walaupun kita ingin mengawal populasi mereka di sini.

Namun, penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin hanyalah satu bahagian daripada kisah ini. Bahagian lain yang mencabar untuk ditangani adalah menggantikan kekosongan, terutama dalam sektor pembinaan dan pertanian atau lebih dikenali sebagai pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan sukar).

Jadi, apakah yang boleh dilakukan untuk menangani cabaran ini? Bagi pekerjaan berkemahiran rendah dalam sektor pembinaan, memandangkan kebanyakan negeri sudah mempunyai lebihan bekalan rumah dan bangunan pejabat, termasuk normal baharu yang mewujudkan keperluan bekerja dari rumah, fokus industri boleh dialihkan bagi menggalakkan pekerjaan berkemahiran tinggi.

Untuk menyokong peralihan dalam pekerjaan, subsidi untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja boleh diperuntukkan kepada syarikat bagi menjalankan program latihan.

Dalam sektor pertanian, inovasi moden diperlukan untuk meningkatkan produktiviti dan keuntungan yang boleh membantu menarik perhatian rakyat Malaysia kepada industri yang sedang menua ini.

Dengan itu, pendapatan dapat ditingkatkan dan secara tidak langsung boleh mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing.

Dengan inovasi ini juga, pendidikan yang relevan perlu disediakan kepada golongan belia.

Sebagai contoh, kursus dan program berkaitan pertanian di universiti boleh dinilai semula supaya selaras dengan kemajuan dalam sektor pertanian.

Insentif yang menarik untuk mengguna pakai teknologi dalam sektor pertanian seperti geran atau subsidi dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga perlu diberikan kepada petani.

Tetapi tentu sahaja usaha ini haruslah seiring dengan penyediaan tanah yang lebih banyak dengan mengkaji semula peruntukan hak tanah kepada petani.

Aliran masuk pekerja asing sudah lama menjadi isu di Malaysia kerana ia mendorong majikan untuk tidak beralih kepada automasi kerana kosnya yang tinggi.

Mungkin pasaran buruh yang terjejas akibat wabak COVID-19 ini boleh mencetuskan peralihan itu dan mengawal pengambilan pekerja asing dalam beberapa sektor.

Mengimbas kembali sejarah, Malaysia menghantar balik 800,000 pekerja asing, manakala 40,000 rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan ketika  krisis kewangan Asia pada 1997-98.

Meskipun usaha kerajaan adalah untuk memperbetulkan atau menyelaraskan dasar buruh dalam membantu rakyat Malaysia bagi mendapatkan pekerjaan, corak pemikiran masyarakat juga perlu diubah.

Pada waktu yang kritikal ini, persekitaran semasa memerlukan rakyat untuk berfikiran terbuka terhadap apa-apa jenis pekerjaan untuk bertahan. Oleh itu, pekerjaan kolar biru juga perlu dihormati dan dihargai.

Selagi minda masyarakat tidak diubah, majikan tidak mempunyai pilihan lain, selain terus bergantung kepada pekerja asing untuk memenuhi permintaan ekonomi.

Penulis ialah Penganalisis Penyelidik di EMIR Research.

Berita Harian X