Isnin, 18 Mei 2020 | 8:35am
Ahli Parlimen patut guna sidang Dewan Rakyat untuk memastikan Malaysia terus berjaya melalui tempoh ketidaktentuan akibat COVID-19. - Foto hiasan
Ahli Parlimen patut guna sidang Dewan Rakyat untuk memastikan Malaysia terus berjaya melalui tempoh ketidaktentuan akibat COVID-19. - Foto hiasan

Dewan Rakyat bukan pentas ahli politik bercakaran

Persidangan Dewan Rakyat ialah medium utama dalam pelaksanaan kuasa eksekutif dan pembentukan legislatif negara. Ia gelanggang untuk memperjuangkan mandat rakyat.

Keterujaan sebagai Ahli Parlimen bukan kerana keistimewaan lambang jata negara dipamerkan di kenderaan rasmi, sebaliknya berdasarkan jaminan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segalanya.

Pada era negara dan dunia menghadapi ancaman perang asimetri menentang COVID-19, Ahli Parlimen seharusnya lebih peka dan bersedia menggalas tanggungjawab yang lebih berat dalam mengutamakan nasib rakyat di kawasan mereka.

Tambahan pula pembentangan daripada Unit Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan COVID-19 tidak akan hilang sepenuhnya dan penduduk dunia harus belajar untuk mengadaptasi kesan pandemik dalam merencanakan kehidupan seharian.

Ia juga bergantung kepada tahap reproduksi virus itu dalam kluster komuniti tertentu. Kesan jangka panjang COVID-19 dipercayai akan melangkaui wabak Ebola, H1N1 dan Zika. Dapatan ini membuka satu dimensi baharu dalam kehidupan manusia moden atau ditafsirkan sebagai umat akhir zaman dalam fitrah pemahaman Islam.

Justeru, kepentingan Dewan Rakyat dalam dimensi terkini perlu diberi perhatian serius oleh barisan Ahli Parlimen kerana perkembangan mutakhir dalam jajaran baharu asimetri COVID-19 memerlukan tahap keprihatinan dan komitmen tinggi daripada mereka.

Dewan Rakyat tidak boleh menjadi platform membincangkan hujahan emosi dan taktikal politik untuk kepentingan peribadi. Ia seharusnya meletakkan segala asas keutamaan rakyat dan mencari jalan menambah baik polisi negara pada era COVID-19.

Kecemerlangan barisan hadapan mendatarkan lengkungan COVID-19 harus disusuli dengan kecemerlangan Ahli Parlimen menaikkan semangat rakyat dalam menghadapi situasi kini dengan inovasi serta formula ekonomi yang boleh beroperasi dengan baik secara praktikal.

Apakah signifikan persidangan Dewan Rakyat? Kemelut dan permasalahan daripada konstruk ekonomi serta keselamatan negara dan rangkuman isu sosial seperti budaya, agama, pendidikan, kluster, komunikasi, sukan dan hiburan adalah berkaitan dengan kehidupan sebenar rakyat.

Konsep dan penyelarasan konstruk berkaitan memerlukan satu pendekatan dari segi pembentukan struktur yang boleh beroperasi sepenuhnya. Melalui Dewan Rakyat kuasa Parlimen dapat direalisasikan, khususnya berhubung perundangan dalam negara. Ia termasuk meluluskan undang-undang Persekutuan, pemeriksaan dasar sedia ada kerajaan, belanjawan dan perbelanjaan kerajaan serta kelulusan hasil cukai baharu.

Parlimen ialah induk perundangan negara. Atas dasar itu, Dewan Rakyat adalah platform untuk membentang, membahas dan membincangkan perundangan berhubung permasalahan serta mekanisme terbaik yang boleh menguntungkan rakyat.

Ancaman COVID-19 tidak seharusnya menjadi penghalang utama kepada kepentingan dan peranan Dewan Rakyat. Pelbagai mekanisme dan garis panduan memutuskan rantaian wabak boleh dilaksanakan.

Negara dicadangkan harus terus diterajui kepemimpinan sedia ada dalam fasa adaptasi ancaman asimetri COVID-19.

Partisan pembangkang perlu bersama dalam menghasilkan solusi kebersamaan yang menguntungkan rakyat sehingga satu asas kestabilan dicapai.

Perebutan mandat utama seharusnya ditentukan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Polemik politik ialah fitrah politik negara, tetapi pada masa ini kebijaksanaan ahli politik harus diukur dengan inovasi mereka.

Inovasi yang mencetuskan idea dan alternatif perubahan praktikal, bukan retorik berasaskan hujahan stereotaip mendatar. Inovasi bagi mencetuskan perubahan adalah perkara yang dinantikan rakyat daripada Ahli Parlimen.

Cadangan dan idea melalui kementerian tertentu berhubung perundangan, peruntukan dan belanjawan kepada sektor kritikal, termasuk penyaluran kewangan pada kerajaan negeri harus diberi keutamaan pada persidangan Dewan Rakyat.

Agenda 18 Mei dan seterusnya harus berprinsipkan asas demi rakyat untuk rakyat.

Setiap hujahan perlu padu, berinovasi dan bebas daripada retorik politik melampau. Kini bukan juga masanya untuk bertelagah apa pendekatan virtual terbaik mengadakan sidang Dewan Rakyat. Apa yang penting ia harus dilaksana bagi membolehkan segala inovasi Ahli Parlimen dibentangkan.

Antara asas utama perlu diberi perhatian untuk penambahbaikan atau apa jua bentuk inovasi baharu dalam pelaksanaan pengoperasian agensi kerajaan bagi dibentangkan di Dewan Rakyat dalam situasi adaptasi asimetri COVID-19, adalah berhubung ekonomi, keselamatan, pendidikan dan perpaduan.

Asas kepada perubahan adalah penambahbaikan. Konsep inovasi adalah keupayaan kualitatif individu mengilhamkan aspek kemanusiaan, ketamadunan dan kemajuan teknologi dalam falsafah pemikirannya serta diterjemahkan kepada struktur yang boleh dinilai dan diukur secara kuantitatif dari segi keberkesanan dan keupayaan operasinya.

Dalam sektor ekonomi, COVID-19 dijangka membawa transisi kepada pengurangan sumber pendapatan dan pekerjaan sektor yang terbabit secara langsung atau tidak. Satu mekanisme penting seperti perhubungan antara penawaran digital dan pengoperasian secara fizikal serta pemboleh ubah terhadap kecairan tunai dan kos operasi memerlukan cadangan solusi berkesan.

Dari segi keselamatan kepentingan perlindungan data, mewartakan penjarakan sosial, memutuskan kebergantungan pada warga asing serta aspek keselamatan tidak terjangka kesan daripada COVID-19 juga harus diberi perhatian. Aspek pendidikan digital dari segi kandungan, prasarana serta kesan kepada sektor lain turut memerlukan idea segar daripada Ahli Parlimen.

Aspek penyatuan dan perpaduan pula amat signifikan ketika negara menghadapi ancaman asimetri COVID-19.

Pembentukan kognitif positif, ancaman penularan berita palsu dan pemahaman mutlak prinsip Rukun Negara serta Perlembagaan Persekutuan memerlukan penambahbaikan undang-undang, pembentukan struktur terperinci, pelaksanaan polisi, dasar dan pengurusan kewangan bagi program gerak saraf perpaduan.

Inilah cabaran sebenar kepada fungsi Ahli Parlimen kerana keberkesanan sidang Dewan Rakyat amat signifikan bagi memastikan Malaysia terus berjaya menerajui tempoh ketidaktentuan ancaman asimetri COVID-19.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi UiTM.

Berita Harian X