Selasa, 19 Mei 2020 | 10:30am
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat tiba bagi menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat tiba bagi menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. - Foto BERNAMA

Politik perlu dahului rakyat, junjung normal baharu

Krisis politik yang berlaku pada Februari dan awal Mac lalu hingga mengakibatkan perubahan pucuk pimpinan dan kerajaan, kembali hangat apabila wujud gerakan atau usul untuk membawa undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, sesi pembukaan Parlimen semalam dikatakan mengundang perhatian ramai apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof menerima usul Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membuat undi tidak percaya kepada Ahli Parlimen Pagoh sebagai Perdana Menteri.

Banyak pihak menunggu apakah episod baharu dalam drama politik tanah air apabila sesi pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 dibuka semalam. Namun, persoalan ini dikunci apabila Mesyuarat Pertama semalam hanya mempunyai satu urusan majlis sahaja, iaitu Titah Yang Di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sememangnya setiap kali pembukaan penggal, titah YDPA menjadi agenda utama dan selari dengan Perkara 60 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Apa lebih menarik, YDPA dalam titah baginda mengakui memutuskan sendiri Mesyuarat Pertama tidak disusuli dengan sesi perbahasan seperti biasa. Titah baginda ini menjadi mesej jelas kepada mana-mana pihak yang mahu mengambil kesempatan mengheret negara sekali lagi ke kancah politik tidak menentu.

Sekali lagi, YDPA memainkan peranan penting dalam meredakan keadaan dan suhu politik tanah air, sekali gus membuktikan peranan baginda semakin penting dalam amalan demokrasi. Sebelum ini, YDPA berjaya menyelesaikan kemelut politik dengan melantik Perdana Menteri baharu selepas krisis politik berpanjangan tanpa hala tuju.

Sudah tentu YDPA mahu melihat Perdana Menteri dan Kabinet yang dibentuk Mac lalu diberikan ruang sebaik mungkin untuk mentadbir dan memimpin rakyat, sekali gus meletakkan negara ke landasan sebenar.

Mesej penting dalam titah baginda semalam, wajar menjadi pedoman dan iktibar semua pihak khususnya Ahli Parlimen dan ahli politik di negara ini. Baginda mahu mereka sentiasa mempamerkan kematangan dalam berpolitik, termasuk menjiwai keluh resah rakyat dan membela nasib mereka.

Soal kematangan berpolitik, terutama dalam kalangan ahli politik sentiasa menjadi dambaan tinggi kerana tanpa kematangan, amalan berpolitik hanya melingkari soal kuasa, kedudukan dan pengaruh. Tanpa kematangan berpolitik, kita boleh melihat ahli politik hanya sibuk berpolitik mencari kedudukan dan populariti hingga lupa matlamat sebenar untuk berkhidmat dan menunaikan amanah serta tanggungjawab kepada rakyat.

Kematangan berpolitik dimaksudkan di sini adalah kesempurnaan fikiran memperlihatkan tindakan dapat meletakkan keutamaan dan kepentingan bersama di hadapan kepentingan peribadi. Kepentingan berpolitik ini juga mesti didasari dengan ilmu dan bukannya semangat berkobar-kobar tanpa prinsip serta pegangan.

Kematangan ahli politik sangat penting kerana mereka pemimpin dan contoh kepada masyarakat. Kita tidak mungkin berjaya mewujudkan masyarakat matang dalam berpolitik jika ahli atau pemimpin politik tidak berbuat sedemikian. Peribahasa pernah menyebut, seperti ketam mengajar anak berjalan betul.

Lebih penting, kematangan berpolitik sangat diperlukan ketika rakyat terpaksa bergelut menghadapi krisis kemanusiaan impak COVID-19. Ada hilang pekerjaan dan mata pencarian hingga mengancam kesihatan mental mereka. Sudah tentu keutamaan sekarang ialah pemimpin politik turun padang membantu rakyat, bukannya masih bercakap soal kuasa dan kedudukan sendiri.

Rakyat sudah muak dan tidak mahu krisis politik menambah beban mereka sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kita sedari impak COVID-19 menyumbang kepada krisis kemanusiaan terburuk pernah berlaku dalam negara.

Sewajarnya semua ahli politik tanpa mengira fahaman politik mereka menolak perbezaan dan mencari titik temu menjayakan misi kemanusiaan membantu rakyat.

Jika isu rakyat Palestin membolehkan kita duduk sepentas dan menolak perbezaan atas nama kemanusiaan, kenapa tidak berbuat demikian untuk rakyat sendiri yang terbukti mengharungi dugaan dan cabaran getir impak COVID-19?

Pada saat ini, kita banyak bercakap soal normal atau kebiasaan baharu. Namun, sukar kita mencari di manakah normal baharu dalam politik ketika ini jika ahli politik masih terus bercakaran dan melihat kepentingan diri mengatasi kepentingan awam. Kita perlu mencari dan mengaplikasikan normal baharu dalam politik jika mahu budaya politik di negara terus bersih dan sentiasa mendahului kepentingan rakyat dan menyatupadukan negara.

Sesi Parlimen semalam turut menyaksikan normal baharu apabila dua pemimpin utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berada di dua blok berbeza. Dr Mahathir sebagai Pengerusi BERSATU, berada di blok pembangkang, manakala Muhyiddin sebagai Presiden berada di blok kerajaan.

Krisis BERSATU nampaknya belum berakhir apabila Dr Mahathir bertegas menyatakan BERSATU masih dalam Pakatan Harapan (PH) selagi keputusan keluar daripada pakatan tidak dibawa dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi parti.

Kenyataan Dr Mahathir ini dilihat sebagai reaksi kepada kenyataan sebelum ini apabila enam parti, termasuk BERSATU bersetuju menyokong penubuhan Perikatan Nasional (PN) melalui kerjasama gabungan parti politik.

Kemasukan BERSATU dalam PN boleh memperkukuhkan kedudukannya, terutama berlaku beberapa insiden termasuk kejatuhan kerajaan Kedah yang turut menyaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir melepaskan jawatan.

Realiti BERSATU yang seolah-olah mempunyai dua nakhoda ini sangat luar biasa dalam politik negara. Namun, dalam saat mencabar ini, kita harus memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada Perdana Menteri.

Rakyat Malaysia menyokong Perdana Menteri bukan disebabkan beliau Presiden BERSATU, sebaliknya seorang pemimpin diyakini boleh memberi jalan keluar menuju cahaya terang pasca-COVID-19 nanti.

Tuntasnya, krisis politik sewajarnya ditamatkan segera agar fokus kita untuk menguruskan krisis kemanusiaan dapat disempurnakan sebaik mungkin. Politik perlu mendahului rakyat, menjunjung normal baharu. Politik ialah taklif atau tanggungjawab, bukan tasrif (kemegahan).

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X