Khamis, 28 Mei 2020 | 8:53am
Antara pendatang asing tanpa izin yang ditahan dalam operasi di penempatan warga asing di kawasan PKPD Selayang Baru, baru-baru ini.
Antara pendatang asing tanpa izin yang ditahan dalam operasi di penempatan warga asing di kawasan PKPD Selayang Baru, baru-baru ini.

Perisikan awam banteras PATI, putuskan rantaian COVID-19

Fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dijangka berakhir pada 9 Jun sekali lagi membuktikan bagaimana mekanisme pengawalan mencegah COVID-19 yang dirancang agensi keselamatan dan kesihatan negara berjaya mendatarkan lengkungan penularan perang asimetri COVID-19 dalam kalangan warga tempatan.

Keghairahan dan keterujaan menyambut Aidilfitri oleh rakyat Malaysia yang mungkin boleh melonjakkan peningkatan jangkitan COVID-19 secara eksponential tidak berlaku. Walaupun ada yang ingkar dan cuba merentasi negeri, tindakan undang-undang sudah dan akan diambil kepada golongan terbabit dan ia berada dalam kawalan.

Namun, seperti yang dijangkakan kewujudan kluster baharu COVID-19 yang boleh merencatkan pemutusan rantaian jangkitan wabak itu dalam negara sudah berlaku. Penularan jangkitan COVID-19 yang wujud dalam kalangan pendatang tanpa izin (PATI) di negara ini adalah satu bentuk ancaman kepada keselamatan negara dan antara kluster baharu yang dikesan Kementerian Kesihatan (KKM).

Barisan hadapan Malaysia daripada pelbagai agensi penguatkuasaan dan KKM sekali lagi membuktikan kewibawaan mereka serta ketelitian dalam perancangan mengawal penularan COVID-19 berjaya dilaksanakan. Pusat kuarantin MAEPS di Serdang yang dibina sebagai langkah persediaan awal adalah bukti kesiapsiagaan barisan hadapan negara menjamin keselamatan negara. Ia kini dijadikan pusat kuarantin dan rawatan untuk PATI yang disahkan dijangkiti COVID-19.

Bagaimanapun ancaman COVID-19 dalam kalangan warga asing yang juga kluster baharu penularan COVID-19 dalam negara membuktikan bagaimana kadar kebergantungan kepada mereka, terutama yang tidak mempunyai dokumen dan bekerja secara haram dalam negara boleh menimbulkan ancaman kepada penduduk tempatan.

Walaupun usaha membendung penularan COVID-19 kepada rakyat Malaysia dilihat berkesan apabila mereka dikuarantin dan dikawal ketat di pusat kuarantin berkaitan, ia bukan jaminan semua PATI sudah dikesan serta disaring khususnya yang bekerja secara haram dalam negara.

Penularan kluster pekerja asing serta PATI di depoh tahanan imigresen serta tapak pembinaan jelas membuktikan pelbagai pihak harus mula memainkan peranan dalam membantu menyelesaikan permasalahan berhubung pekerja asing, termasuk PATI khususnya apabila ia mula menimbulkan ancaman keselamatan kepada rakyat Malaysia.

Dari segi ketahanan fizikal golongan pekerja asing dan buruh haram mungkin tidak akan mengalami gejala COVID-19 yang serius kerana faktor umur dan ketahanan fizikal mereka, terutama yang bekerja dalam sektor buruh serta pembinaan.

Bagaimanapun keberadaan mereka dalam masyarakat tempatan membuka ruang kepada penularan COVID-19 kerana elemen tidak simptomatik, iaitu golongan tidak bergejala Covid-19 menjadikan mereka pembawa virus berbahaya itu.

Tambahan pula kepadatan penempatan penginapan pekerja asing menjadikan mereka lebih berisiko untuk dijangkiti dan menjadi ejen pembawa wabak COVID-19 dalam jajaran serta skala rawak yang sukar dikesan dan dikenal pasti dalam persekitaran awam.

Antara pendekatan yang boleh dilaksanakan ialah pengesanan berterusan golongan pekerja asing khususnya PATI dalam negara secara menyeluruh. Pujian harus diberikan kepada agensi penguatkuasaan yang berjaya mengambil tindakan proaktif mengesan dan menempatkan pendatang tanpa izin di depoh tahanan imgresen dalam tempoh PKP khususnya di sekitar Lembah Klang.

Usaha awal itu jelas menyelamatkan dan mengurangkan risiko jangkitan kepada warga tempatan. Usaha sebegini harus terus dilaksanakan secara menyeluruh.

Satu bentuk sistem pengesanan melalui perisian Sistem Maklumat Geografi berdasarkan pengesanan, termasuk pengaduan awam juga boleh diaktifkan. Penggunaan perisian berkaitan dapat mempermudahkan pengesanan pekerja asing dalam negara.

Sistem dan perisian seumpamanya berupaya memperincikan taburan pekerja asing serta mempermudahkan pengesanan PATI dalam negara berdasarkan data serta input keberadaaan golongan itu.

Di samping itu, kajian hubungan antara PATI yang memenuhi sebahagian industri buruh dan pekerjaan dalam negara juga harus dikaji bagi memutuskan rantaian permintaan terhadap mereka dalam semua sektor.

Pembangunan audit forensik secara fizikal dalam semua sektor dapat mengenal pasti jumlah penyaluran ekonomi dalam bentuk pembayaran gaji dan kos berkaitan dinikmati pekerja asing. Ia termasuk sektor peruncitan dan pembekalan yang didalangi dan disokong oleh pendatang tanpa izin.

Dapatan terbabit dapat membantu merangka pengisian kekosongan pekerja tempatan dan pekerja yang sah sebagai alternatif kepada kadar kebergantungan PATI yang bekerja dan berniaga secara haram.

Kerajaan dicadangkan memperkenalkan rotasi terperinci secara statistical berhubung keberadaan pekerja asing di kawasan umum bagi mengatasi berlaku sebaran COVID-19 dalam jajaran rawak yang boleh mengancam keselamatan rakyat Malaysia.

Rotasi terperinci harus dijalankan dengan cara komputasi berasaskan matrik menyeluruh serta mengambil kira pergerakan komuniti dalam nisbah penduduk di lokaliti tertentu dan keberadaan pekerja asing yang mungkin merangkumi PATI.

Penerapan nilai kerbersamaan menjaga keselamatan negara dan tanggungjawab sosial juga dapat dipupuk melalui penyaluran informasi yang lebih berstruktur serta boleh menyumbang ke arah kejayaan perisikan awam bagi menjamin keselamatan masyarakat dalam konteks membanteras lambakan PATI dan pekerja asing.

Kerajaan melalui badan penguatkuasaan berkaitan harus mewujudkan sistem lebih responsif kepada maklumat disalurkan melalui perisikan awam. Perisikan awam adalah elemen pengawalan keselamatan yang mudah dilaksanakan semua rakyat Malaysia dengan menggalakkan rakyat menjadi penyalur maklumat. Ia memerlukan sedikit penguasaan asas risikan dan aktiviti fizikal minimum.

Pembentukan awal minda keselamatan oleh masyarakat adalah langkah pertama dalam merealisasikan elemen keselamatan berasaskan perisikan awam. Membentuk minda keselamatan dalam apa juga perkara, aktiviti dan persekitaran adalah asas penguasaan minda keselamatan dalam perisikan awam dan ia boleh dipraktiskan bagi membanteras PATI dalam negara secara kolektif bagi kebaikan bersama khususnya dalam era perang asimetri COVID-19.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perangsang Media dan Informasi UiTM.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X