Sabtu, 1 Ogos 2020 | 9:43am

Kitalah 'Ibrahim' dalam ujian COVID-19

Aidiladha tahun ini pastinya berbeza berbanding hari raya korban diraikan sebelum ini. Kita menyambut Aidiladha dengan kebiasaan baharu di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

Aidiladha sinonim dengan ibadah korban dilaksanakan semasa musim haji bermula terbit matahari 10 Zulhijjah hingga 14 Zulhijjah. Rasulullah SAW memerintahkan untuk melaksanakan korban dengan penuh ihsan, meminimumkan kesakitan pada haiwan dan mengelakkan rasa cemas dan takut pada haiwan.

Korban ialah tanda kesyukuran dan ketaatan kepada Allah SWT begitu juga tanda kebersamaan apabila dagingnya akan dibahagikan kepada fakir miskin dan mereka yang memerlukan.

Semangat kemanusiaan dapat dirasai sepenuhnya pada Aidiladha. Apabila umat Islam meraikannya bersama keluarga, mereka berkongsi kegembiraannya bersama-sama dengan yang lain sebagaimana firman Allah SWT:

"Dengan yang demikian makanlah kamu daripada (daging) binatang korban itu dan berilah makan kepada orang susah, fakir miskin." (Al-Hajj: 28)

Dengan yang sama, daging juga diagihkan kepada fakir miskin dan mereka yang memerlukan.

Asal-usul ibadah ini seperti diketahui umum, bermula perintah Allah SWT kepada Nabi Ibrahim AS untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS.

Bagi orang memahami kisah ini dengan sebaiknya, kita akan dapati ia perjalanan rohani penuh ujian besar buat Nabi Ibrahim AS. Apabila Baginda berhijrah kerana Allah SWT dengan meninggalkan segala yang dimilikinya, Baginda berdoa: "Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung daripada orang soleh! Lalu Allah SWT mengkhabarkan berita gembira bahawa Baginda akan beroleh anak yang penyabar." (As-Saaffaat: 100-101)

Kita boleh bayangkan bagaimana seorang bapa yang amat mengasihi anaknya, membesar di depan matanya, sehingga sampailah usia remaja diperintahkan Allah SWT untuk dikorbankan. Inilah ujian terbesar bagi Nabi Ibrahim AS.

Di sinilah terletaknya keperluan untuk umat Islam atau sesiapa sahaja untuk memahami asas akidah Islam bahawa Allah SWT itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang hingga sama sekali tidak akan berlaku zalim kepada hamba-Nya. Firman Allah SWT: "Dan (ingatlah), Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada sekalian makhluk-Nya." (Ali Imran: 108)

Sedalam mana pun cinta Nabi Ibrahim AS kepada Nabi Ismail AS, cinta Allah SWT kepada kedua-duanya jauh lebih tinggi dan mendalam. Ini sebagaimana sabda Nabi SAW dalam hadis riwayat al-Bukhari bahawa cinta Allah SWT kepada manusia lebih daripada cinta sang ibu kepada anaknya.

Nabi Ibrahim AS mengetahui perintah Allah SWT sama sekali tidak membawa kemudaratan dan sudah pasti di penghujungnya akan ada kebaikan walaupun Baginda sendiri belum mengetahuinya.

Inilah Ibrahim yang sama, dilontar ke dalam api marak oleh kaumnya (Surah Al-Anbiya': 69); Ibrahim yang sama, menyaksikan burung-burung yang sudah dicincang dapat dihidupkan semula (Surah Al-Baqarah: 260) dan Ibrahim yang sama, menyaksikan kebesaran langit dan bumi hingga Baginda menjadi individu beriman dengan sepenuh keyakinan (Surah Al-An'am: 75).

Naratif yang juga menarik dalam kisah ini ialah dialog Nabi Ibrahim AS dengan anaknya. Ujar Nabi Ibrahim, "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?" Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-Allah, ayah akan mendapati aku daripada orang sabar." (Al-Saffat: 102)

Nabi Ismail menerima perintah tersebut dengan penuh ketaatan dan kerelaan tanpa paksaan bapanya. Inilah keindahan kisah seorang bapa dan anaknya yang meletakkan sepenuh keimanan kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT: Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu." Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan." (Al-Saffat: 103-105)

Jelas bahawa ia cuma sekadar satu bentuk ujian sebagaimana dalam ayat seterusnya (Surah Al-Saffat: 106). Nabi Ibrahim AS tidak menyembelih Ismail AS kerana Allah SWT menggantikan dengan seekor kibasy gemuk untuk disembelih.

Merenungi kisah ini dalam perspektif lebih luas, ia menggambarkan penyaksian akan pengabdian dan puncak kerohanian sebenar. Walaupun Allah SWT tidak memerintahkan perkara sama kepada kita, kehidupan kita senantiasa ada cabaran hampir sama dengan situasi Baginda.

Keimanan sejati menyediakan kita untuk berpisah dengan sesiapa jua yang dekat di hati dan mengorbankan apa yang paling kita hargai, apabila kita sedar bahawa ia sebagai tanda kehambaan kepada-Nya. Pengakhirannya, kita semua tahu yang Dia bersama dengan hamba-Nya yang sentiasa berusaha membuat kebaikan.

Mungkin COVID-19 ini cuma secebis ujian jika hendak dibandingkan dengan ujian Nabi Ibrahim. Namun, saya pasti kita memperoleh sesuatu pengajaran dengan memahami makna 'pengorbanan' sebenar. Allah SWT sedang menguji kita kerana Dia mengasihi kita dan ingin kita lebih dekat kepada-Nya.

Penulis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X