Ahad, 2 Ogos 2020 | 7:55am
Selain hukuman mati atau penjara seumur hidup, kerajaan boleh mempertimbangkan pendekatan semasa dalam mengawal pemandu mabuk dan menyemai kesedaran dalam kalangan generasi muda.
Selain hukuman mati atau penjara seumur hidup, kerajaan boleh mempertimbangkan pendekatan semasa dalam mengawal pemandu mabuk dan menyemai kesedaran dalam kalangan generasi muda.

Medium santai sampaikan mesej keselamatan jalan raya

Tanpa menafikan merit hukuman mati dalam kes pemandu mabuk yang menyebabkan kematian, kita perlu memberikan perhatian kepada usaha untuk mempertingkat keselamatan jalan raya yang tidak semestinya membabitkan hukuman mati.

Selain hukuman mati atau penjara seumur hidup, kerajaan boleh mempertimbang pendekatan semasa dalam mengawal pemandu mabuk dan menyemai kesedaran generasi muda.

Ini termasuk melalui permainan video dan animasi. Ketika masyarakat berada di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebahagiannya 'melekat' pada kayu ria dan kerusi gamers. Namun, tidak ramai dapat menjangka sifat anti-sosial permainan video berjaya menyemai tabiat kebersihan seperti kerap membasuh tangan dan galakan berada di rumah.

Kejayaan ini menerima pengiktirafan penyokong yang tidak dijangka, iaitu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Permainan video terkenal dunia seperti Candy Crush Saga, DiRT Rally dan Farm Heroes menyulam mesej seperti galakan terus berada di rumah.

Rakyat Malaysia pula boleh mendabik dada apabila animasi kegemaran, Upin Ipin, BoBoiBoy dan Didi & Friends turut memainkan peranan menyebar mesej keselamatan ini kepada penonton di seluruh pelosok negara.

Kajian terhadap kebaikan tersirat permainan video sebagai medium berkesan menyebar mesej sivik semakin bertambah.

Suatu kajian kerjasama Texas A&M University dan University of Connecticut pada 2017 mendapati permainan video memiliki potensi sebagai platform komunikasi kesihatan virtual berkesan terutama kepada golongan muda. Kehadiran mesej anti-memandu di bawah pengaruh alkohol dalam permainan jenis penembak diri-pertama (FPS) dapat mengurang risiko orang awam daripada melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab ini pada masa hadapan.

Kerjasama ini menerima dana kajian AS$387,354 (RM1.6 juta) daripada Institut Kanser Nasional Amerika Syarikat (AS) yang akan memulakan kajian terhadap konsep sama dalam menguatkan ketahanan orang awam melawan kecenderungan merokok dan rokok elektronik ketika krisis kesihatan awam dalam kalangan remaja yang mengakibatkan kerajaan kerugian lebih AS$740 bilion (RM2.22 trilion) saban tahun.

Walaupun industri permainan video di negara ini masih baru, potensi sebagai medium santai menyebar mesej positif perlu diterokai. Sementara itu, kita boleh terus membina kejayaan animasi untuk menyemai kesedaran umum terhadap bahaya dan kesan buruk pemandu mabuk ke atas orang awam. Ia juga boleh menyelitkan apa-apa hukuman berat yang mungkin dicadang kerajaan.

Pendekatan lain mengatasi pemandu mabuk juga boleh menggunakan sistem kekunci enjin yang sudah digunakan sejak sedekad lalu. Ignition interlock, iaitu sejenis alat bersaiz telefon pintar disambung ke sistem enjin kereta memerlukan pemandu untuk menghembus nafas ke dalam pengukur mini kandungan alkohol sebelum enjin dapat dihidupkan

Kesatuan Eropah (EU) juga mewartakan undang-undang baharu mewajibkan pemasangan alat ini pada semua kereta baharu bermula pertengahan 2022. Australia, Kanada, New Zealand dan AS sudah lama mewajibkan pemandu mabuk memasang alat ini. Kerajaan boleh menguatkuasa polisi sama dalam agenda reformasi perundangan.

Langkah awal boleh dimulakan dengan memperkenal peruntukan baharu dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk mewajibkan pemasangan alat ini ke atas pesalah kali pertama sekiranya mereka ingin memandu semula.

Alat ini akan menelan kos tinggi seperti Alcolock Breathalyser Immobiliser System berharga £675 (RM3,700) tidak termasuk kos pemasangan tetapi ia akan ditanggung pesalah terbabit. Ia bukan sahaja berfungsi sebagai kaedah pencegahan lebih efektif berbanding kenaikan denda, malah lambang anjakan paradigma dalam strategi kerajaan membanteras pemandu mabuk.

Model lebih moden memerlukan pemandu memberi sampel nafas selang beberapa waktu yang dikenali sebagai 'rolling retests' untuk memastikan pemandu tidak minum semasa memandu. Kegagalan ujian ini akan menyebabkan kereta 'panik' dengan lampu hadapan akan berkelip dan hon berbunyi hingga enjin kereta dimatikan.

Meskipun selamat, modus operandi ini agak kurang selesa dan boleh membahayakan pengguna jalan raya lain kerana pemandu perlu melepaskan satu tangan daripada stereng untuk mengangkat dan menghembus nafas ke dalamnya.

Sehingga kini, pitam akibat menghembus nafas terlalu kuat, cubaan 'rolling retest' di atas jalan sibuk dan cubaan mencapai alat terjatuh mendatangkan kecederaan serius, malah kematian pada orang awam. Keutamaan perundangan dan teknikal kepada Ahli Parlimen dan pengilang adalah untuk menyelesaikan risiko itu seperti apa yang berlaku dalam gangguan pemanduan seperti menaip mesej atau menjawab panggilan telefon.

Suka atau tidak, cadangan PAS supaya kerajaan menggantung pengeluaran dan jualan minuman beralkohol hingga langkah pencegahan dapat ditetap bersifat nekad tetapi lebih berperikemanusiaan dan terjamin daripada hukuman mati dalam menurunkan kadar kematian disebabkan pemandu mabuk.

Secara realistik, hukuman mati mandatori mungkin tidak akan dilaksana ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kematian kerana ia memerlukan kempen berterusan daripada keluarga mangsa dan sokongan tidak berbelah bahagi Ahli Parlimen – suatu perspektif yang mungkin melangkaui norma sosial dan politik negara kini.

Namun, hukuman mati ialah subjek membabitkan kepentingan negara. Asasnya, wajar untuk kerajaan meninjau pendapat dan kata rakyat yang mungkin dapat menyelesaikan dilema ini.

Penulis adalah Felo Penyelidik, Institut Undang-Undang, South Ural State University, Rusia.

Berita Harian X