Rabu, 19 Julai 2017 | 3:22pm
KALIGRAM singa Ali yang biasanya dikaitkan dengan Saidina Ali Abi Talib bukanlah lambang Syiah, sebaliknya tanda penghormatan kepada keluarga khalifah Islam keempat itu.

Kaligram singa Ali di Kelantan tanda penghormatan keluarga Saidina Ali

BANGI: Kaligram singa Ali yang biasanya dikaitkan dengan Saidina Ali Abi Talib bukanlah lambang Syiah, sebaliknya tanda penghormatan kepada keluarga khalifah Islam keempat itu.

Pembantu Penyelidik Muzium Ashmolen, Universiti Oxford, Dr Farouk Yahya, berkata kaligram yang membentuk imej singa itu banyak ditemui dalam dunia Islam seperti di Turki, India dan Iran.

"Di Asia Tenggara, kaligram singa Ali ini boleh ditemui juga di Ceribon, Indonesia; Pattani dan Kelantan.

"Di Kelantan, kaligram singa Ali ditemui dalam satu manuskrip yang dipercayai bertulis antara 1837 hingga 1838 milik kerabat diraja Kelantan dan bendera Sultan Muhammad IV yang memerintah antara 1899 hingga 1920," katanya dalam Wacana ATMA: Kaligram Singa Ali di Asia Tenggara di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah ATMA UKM, Prof Dr Supyan Hussin.

Farouk berkata, di Asia Tenggara, kaligram berbentuk singa boleh ditemui di pelbagai jenis media seperti manuskrip, ukiran kayu dan tekstil.

"Menariknya di Asia Tenggara, singa bukanlah spesis asal wilayah ini sehingga kaligram itu sering dirujuk sebagai Harimau Ali atau Macan Ali," katanya.

Perubahan itu, tegas Farouk, disebabkan harimau lebih dominan dan dekat dengan penduduk Asia Tenggara berbanding singa.

Kaligram mengikut Istilah Malaysia di laman web Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ialah reka bentuk huruf yang digubah untuk memperlihatkan corak hiasan.

1495 dibaca
Berita Harian X