Selasa, 1 Ogos 2017 | 1:27pm
NOVEL Hujan Pagi.
NOVEL Hujan Pagi.

Hujan Pagi angkat dilema kewartawanan

KUALA LUMPUR: Novel Hujan Pagi karya Sasterawan Negara (SN), Datuk A Samad Said dianggap karya wajib baca dalam suasana sambutan kemerdekaan ke-60 pada tahun ini.

Pengarang, novelis, cerpenis dan penyair prolifik, Zainal Rashid Ahmad menyarankan novel itu untuk dimasukkan dalam Jejak Novel Merdeka yang disenaraikan oleh Sastera & Budaya BH.

"Saya sarankan Hujan Pagi kerana dilema memahami perubahan zaman dan kompleksiti manusia antara era memperjuangkan kemerdekaan dan era mengisi kemerdekaan.

"Hujan Pagi ialah satu gambaran kompleksiti memahami dan mengisi erti kemerdekaan terutama dalam perjuangan media massa," katanya kepada Sastera & Budaya di sini, hari ini.

Zainal Rashid berkata, Hujan Pagi ialah ekspresi awal wujud kompleksiti dalam penghayatan merdeka.

"Ia menyorot ketidakupayaan bangsa dalam menangani perjuangan masa lalu dan realiti masa kini.

"Hujan Pagi membawa kita melihat rakaman penulis mengenai krisis jiwa merdeka selepas tiga dekad Tanah Melayu bebas daripada cengkaman penjajah.

"Hujan pagi terbit pada 1987, iaitu 30 tahun lepas merdeka. Kini 2017, kita meraikan kemerdekaan 30 tahun selepas Hujan Pagi ditulis pula," katanya yang juga Pengurus Besar Kanan Pemasaran, TV Al-Hijrah.

Hujan Pagi menyorot dan menyelami kekusutan jiwa wartawan generasi sebelum perang, Lokman yang tidak lagi dapat memahami dan menyesuaikan diri dengan perubahan arah serta perkembangan suasana akhbar selepas kemerdekaan.

Perkembangan terbaru dalam akhbarnya, Sinar Pagi menyebabkan Lokman terperangkap dalam dunia halusinasi sehingga masih lagi melalui zaman sebelum kemerdekaan apabila kedudukannya sebagai nasionalis masih memberi kesan besar kepada perjuangan.

Berita Harian X