Rabu, 2 Ogos 2017 | 1:37pm
 INTERLOK karya Sasterawan Negara (SN), Datuk Abdullah Hussain
INTERLOK karya Sasterawan Negara (SN), Datuk Abdullah Hussain

Interlok jadi ejen penyatuan, ubati 'retak menanti belah'

KUALA LUMPUR: Interlok karya Sasterawan Negara (SN), Datuk Abdullah Hussain adalah naskhah terpenting dalam hal mengisi kemerdekaan, berikutan persoalan perpaduan kaum kekal relevan sehingga hari ini.

Pengarang kelahiran Negeri Sembilan, Nisah Haron berpendapat tiada novel lain sepenting Interlok dalam memperkatakan kemerdekaan amnya dan perpaduan kaum khususnya.

"Walaupun usia kemerdekaan negara kita mencecah angka 60, keretakan hubungan antara kaum kini seolah-olah retak menanti belah.

"Oleh itu, sasteralah yang mampu menjadi ejen penyatuan kepada perpecahan ini," katanya.

Tegas Nisah, Interlok memperincikan sikap, kekuatan dan kelemahan kaum ditulis dengan jelas dalam naskhah itu.

"Keutuhan sesebuah negara bangsa itu bergantung kepada hubungan kaum yang saling sokong-menyokong dan bukannya saling menjatuhkan.

"Pedulikan insiden mereka yang cetek akal dengan percubaan 'membakar' novel ini demi meraih populariti politik murahan.

"Jujurnya, novel ini boleh membakar semangat patriotik kita semua sebagai warga negara Malaysia," katanya.

Interlok yang diterbitkan pada 1971 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pernah diangkat sebagai teks Komponen Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS) Tingkatan Lima di Zon 2, iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan pada 2011.

Bagaimanapun novel itu terseret dalam kontroversi perkauman dan digantikan dengan sebuah lagi karya Abdullah, Konserto Terakhir.

Berlatar belakangkan Pulau Pinang, Interlok bercerita tentang kegigihan tiga keluarga Melayu, India dan China sebelum merdeka yang ingin mengubah nasib keluarga.

Novel Konserto ini disenaraikan sebagai Jejak Novel Merdeka, iaitu senarai karya yang disarankan sebagai wajib baca sempena sambutan kemerdekaan ke-60 pada tahun ini.

Semalam, novel Hujan Pagi karya SN, Datuk A Samad Said disarankan oleh pengarang prolifik, Zainal Rashid Ahmad.

Berita Harian X