Sabtu, 12 Ogos 2017 | 7:58pm

'Pulanglah Perantau' ramal nasib malang bahasa Melayu

KUALA LUMPUR: Novel Pulanglah Perantau karya Aziz Jahpin dapat meramalkan nasib yang menimpa bahasa Melayu kini meskipun diterbitkan pada 1971.

Ketepatan novel itu dalam meramalkan masa depan bahasa Melayu itu mencuri perhatian Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write), Zainal Palit atau lebih dikenali sebagai Zaen Kasturi.

Zaen Kasturi memilih novel Pulanglah Perantau sebagai novel wajib baca untuk Jejak Novel Merdeka sempena sambutan kemerdekaan ke-60.

"Pulanglah Perantau menjadi antara novel yang menarik sensitiviti saya kerana ia semacam sudah dapat membaca dan mengagak tentang masa depan Melayu dengan permasalahan bahasanya.

"Penuturnya gemar sangat untuk berkompromi dan terlalu bertolak ansur," katanya kepada Sastera BH di sini.

Zaen Kasturi berkata, cinta kepada tanah air tidak seiring dengan cinta kepada bangsa dan bahasanya.

"Ini juga berlaku dalam juga adat dan adabnya seperti yang menjadi mesej dalam novel ini.

"Yang merdeka adalah 'Tanah Melayu' tetapi malangnya apa yang tidak merdeka adalah 'bangsa dan bahasa Melayu'," katanya.

Berita Harian X