Selasa, 15 Ogos 2017 | 4:43pm
NOVEL Bumi Merdeka karya Talib Samat.
NOVEL Bumi Merdeka karya Talib Samat.

'Bumi Merdeka' cerita masa depan FELDA

KUALA LUMPUR: Perjuangan peneroka FELDA mengisi kemerdekaan mewajarkan novel yang mengangkat isu itu dijadikan antara novel wajib baca terutama generasi muda.

Ketua 2 Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Ketua 1 Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Md Ali Hanafiah, berkata karya kemerdekaan bukan bermakna hanya novel yang bercerita tentang kemerdekaan semata-mata, sebaliknya wajar dilihat bagaimana negara mengisi kemerdekaan.

"Perjuangan mengisi kemerdekaan tetap sukar walaupun tanpa titisan darah, malah ia juga seolah-olah hendak mencapai kemerdekaan.

"Oleh itu, novel Bumi Merdeka karya Talib Samat, wajar diletakkan sebagai novel merdeka tanah air kita," katanya kepada BH.

Amiruddin berkata, perjuangan, penderitaan dan pergolakan hidup masyarakat peneroka di Felda Lurah Tebrau dalam novel itu sama juga dengan ciri-ciri menuntut kemerdekaan yang turut diiringi penderitaan.

"Kemelesetan ekonomi dunia yang menyebabkan harga kelapa sawit jatuh adalah gugatan kehidupan peneroka sama seperti penderitaan makan ubi kayu zaman sebelum merdeka.

"Perjuangan peneroka mengisi kemerdekaan ini terhenti kerana ketiadaan generasi kedua yang bersedia untuk menyambung tradisi ibu bapa mereka.

"Apakah FELDA juga akan berkubur kerana ketiadaan penyambung tradisi mengusahakan tanah FELDA?" katanya.

Beliau berkata, novel itu juga mengajar kemerdekaan milik rakyat yang cinta akan keharmonian, manakala gejala luar dalam Bumi Merdeka adalah penggugat perpaduan.

"Novel yang diterbitkan 20 tahun lalu ini amat bermakna untuk generasi FELDA memahami makna perjuangan dan erti kemerdekaan.

Malah novel ini juga untuk rakyat Malaysia yang memiliki semangat patriotisme," katanya.

Berita Harian X