Isnin, 21 Ogos 2017 | 1:54pm
GAMBAR hiasan.- Foto NSTP

Syok sendiri, industri buku tercekik

INDUSTRI buku tempatan sedang sakit! Tekanan yang dihadapinya luar biasa berbanding apa yang berlaku pada pertengahan dekad 1990-an dahulu.

Kali ini selain dihimpit keadaan ekonomi, perkembangan teknologi maklumat dan diperitkan pula dengan perubahan sikap masyarakat dengan tabiat dan

budaya membaca.

Simptomnya sudah dilihat, kemerosotan jualan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) termasuk pada tahun ini, selain kadar pulangan novel dari kedai buku kepada penerbit semakin tinggi yang menyaksikan makin ramai penerbit mengecilkan jumlah terbitan sama ada dari segi naskhah, mahupun judul.

Jika hendak dikatakan pembaca dan pembeli sudah beralih ke buku digital, sebenarnya tidak banyak peningkatan dicatat untuk jualan buku digital dan buku elektronik (e-buku) di negara ini kerana ia hanya sekitar dua peratus daripada keseluruhan pasaran buku tanah air.

Ada gurauan dalam perbualan harian, sebenarnya masih ada harapan untuk dunia buku di negara ini. Misalnya setiap pagi, celik mata sahaja sudah ramai yang mencapai telefon terlebih dahulu sebelum apa-apa aktiviti kerana mereka pasti baca buku, tetapi bukan buku biasa, sebaliknya status 'muka buku' atau Facebook!

Bertitik tolak daripada hal ini, pada minggu lalu, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) mempertemukan hampir 80 pemain industri buku pada Sidang Buku di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Bukan sahaja pengarang, penerbit, pengedar dan promoter, bahkan hampir semua yang terbabit dalam dunia buku tanah air berkumpul untuk melontarkan pelbagai pandangan, saranan dan keluhan.

Ada pemain industri yang mengaku baru menyertai industri lima tahun lalu dan sudah menerbitkan empat buku, tetapi rugi kerana katanya penulis syok sendiri dan tidak menulis mengikut kehendak pasaran!

Mungkin kerana mengikut kehendak pasaran itulah lambakan buku entah apa-apa berlaku di kedai buku sehingga tidak hairanlah buku status media sosial Facebook selebriti atau buku tulisan selebriti yang boleh disifatkan sebagai bersifat narsistik lebih banyak dicetak dan dipasarkan.

Sebenarnya, setiap genre penulisan ada pembaca dan pengikutnya tersendiri sehingga tidak timbul soal penulis syok sendiri menjadi punca sekiranya penerbit membuat kajian pasaran terlebih dahulu.

Saya tertarik dengan perkongsian pandangan Pengasas Guru Niaga Akademi, Mohd Noorizan Mohamad Shafiee yang menyebut penulis seharusnya pandai mewujud dan membina kumpulan sasaran terlebih dulu sebelum menjual produk mereka.

Ia cadangan yang sangat baik, datang daripada generasi muda, tetapi saranan Presiden Penjual Buku Malaysia, Keith Thong juga menarik untuk direnungkan apabila beliau melihat keperluan untuk penerbit mencuba pasaran luar negara dengan bantuan dari segi penterjemahan kandungan.

Jujurnya, dalam keadaan industri buku yang sakit, seharusnya semua orang bersatu untuk mencari formula baharu dan memulihkan keadaan. Mungkin hanya 80 saja yang berkesempatan meluangkan masa dalam program itu, namun Sidang Buku seharusnya dihadiri lebih ramai lagi penggiat industri.

Atau boleh sahaja dibuat satu laman web bagi semua pemain industri yang tidak dapat hadir untuk memberikan idea, rumusan dan formula.

Diakui situasi kini sangat mencabar dan seharusnya dalam pada meminta kerajaan mengambil langkah membantu menyelamatkan keadaan, industri buku juga perlu bergerak bersama untuk tidak bergantung pada kerajaan.

Sikap terlalu bergantung pada kerajaan itulah, kita lihat ada agensi kerajaan yang masih gagal memasarkan buku terbitannya dengan baik, meskipun ditubuhkan sebaik sahaja negara merdeka.

Sedangkan generasi muda dengan penerbitan indie yang masih muda dalam sepak terajang industri buku, sudah ada yang mampu membuka cawangan di luar negara dan berjaya menterjemah karya mereka sendiri untuk pasaran luar negara.

Pengarang sastera juga perlu lekas bangkit melihat keliling mereka dan bertanya diri sendiri apakah cukup dengan menyaksikan cerpen, esei atau puisi karya mereka terbit sebulan sekali di majalah dan akhbar?

Tidakkah terfikir khalayak sastera untuk melonjak keluar dari zon sedia ada dan selesa serta turut ikut berjuang dalam dunia buku yang semakin tercekik kini?

Pesan orang tua, bersatu teguh bercerai roboh. Pada masa inilah semua yang bergelar pengarang, penerbit dan mereka yang sewaktu dengannya untuk bersatu dan berjuang atas nama industri buku.

Kita tidak lagi boleh menjadi enau melepaskan pucuk masing-masing.

Berita Harian X