Selasa, 29 Ogos 2017 | 6:58pm
Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia, Mohd Khair Ngadiron. - Foto NSTP/Rohanis Shukri

DiverseCity 2017 Genre Sastera 15 September

KUALA LUMPUR: Festival Seni Antarabangsa Kuala Lumpur (DiverseCity) 2017 yang sangat sinonim dengan September sejak dua tahun lalu, akan kembali menemui penggemar genre sastera di tiga lokasi di sekitar ibu kota, bermula 15 September ini.

Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron, berkata DiverseCity 2017 akan menampilkan Puisi & Syair ASEAN 2017 dan KL LePark, selain turut mengangkat Monodrama 3 Negara daripada tiga negara rumpun, iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam.

"Pertama kali dipersembahkan pada DiverseCity 2017, persembahan Monodrama 3 Negara bermatlamat meningkatkan perkembangan daya kreatif yang secara tidak langsung dapat mencetuskan inspirasi kepada masyarakat terhadap apresiasi seni dan budaya.

"Bagi Monodrama 3 Negara, Malaysia akan diwakili oleh Sani Sudin melalui karyanya, Di Bawah Tiang Lampu yang akan memperlihatkan bagaimana pengalaman dan kebolehan yang dimilikinya sebenarnya adalah terlalu besar.

"Selain Sani Sudin, aktivis teater terkenal Indonesia, Ken Zuraida akan turut mengarahkan naskhah Cemarawungi, manakala Zefri Ariff yang mewakili Brunei Darussalam pula akan menjadi sutradara bagi pementasan Cakra," katanya dalam sidang media DIVERSECITY 2017 di Perbadanan Kota Buku (PKB) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah DiverseCity 2017, Datin Sunita Rajakumar; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran dan Pengurus Kanan Harta Intelek, Inisatif Digital, Penyelidikan dan Konsultansi (HIPP) PKB, Hasri Hasan.

Sementara itu, Abang Sallehuddin berkata, penganjuran acara itu penting bagi mengeratkan kerjasama dengan rakan ASEAN yang mempunyai perjuangan sama dalam bidang sastera.

"Ini juga peluang mengerat kerjasama dan memperkenalkan sastera kita untuk diangkat ke pentas antarabangsa," katanya.

Monodrama 3 Negara akan berlangsung sehingga 17 September ini di Laman Wau, Kompleks Kraf, Jalan Conlay dan tiket boleh didapati dengan mengirim emel kepada [email protected].

Turut menjadi tarikan dalam DiverseCity 2017 ialah penganjuran KL LePark dengan kerjasama PKB yang diadakan sebagai medan pertemuan bagi membolehkan pengkarya dan masyarakat seni untuk sama-sama berinteraksi.

Tidak hanya wacana intelektual, deklamasi puisi, nyanyian lagu puisi dan syair, KL [email protected] yang diadakan di siar kaki Parkson Maju Junction Mall di sini, bermula jam 10 pagi akan diteruskan dengan acara bermalam di PKB melalui [email protected] Buku.

Acara itu buat julung kali diadakan di PKB, akan turut diisi dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk resensi buku seram serta permainan buku.

Puisi & Syair ASEAN 2017 bertemakan Perjuangan Bangsa pula akan berlangsung di Menara DBP di sini, bermula 29 September ini, sekali gus menampilkan 18 pembentang makalah serantau yang akan menyorot puisi moden dan tradisional, iaitu sajak dan syair.

Berita Harian X