Isnin, 2 Oktober 2017 | 7:46pm
ALIAS Ahmad (kanan) melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2017 di Dewan Bahasa dan Pustaka hari ini. - Foto BERNAMA
ALIAS Ahmad (kanan) melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2017 di Dewan Bahasa dan Pustaka hari ini. - Foto BERNAMA

Bahasa rojak media sosial cabar Bahasa Melayu

KUALA LUMPUR: Penggunaan bahasa rojak dan slanga di media sosial sehingga mempengaruhi cara berbahasa di alam realiti, antara cabaran yang perlu ditangani bagi memartabatkan Bahasa Melayu dalam masyarakat.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pengguna media sosial dilihat menekankan kepantasan mesej yang mahu disampaikan, berbanding penggunaan bahasa dan tatabahasa yang betul.

"Sehubungan itu, golongan masyarakat tanpa mengira umur perlu terus menggunakan bahasa Melayu dengan baik di samping memartabatkan penggunaan bahasa itu tanpa mengira keadaan," katanya semasa melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2017 peringkat kebangsaan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alias Ahmad.

Mahdzir turut menyarankan agar penggunaan bahasa kebangsaan terus diperkasa khususnya dalam sektor kerajaan dan swasta serta di tempat awam.

"Ini penting kerana masyarakat mudah terpengaruh dengan cara dan gaya bahasa yang digunakan di tempat awam termasuklah di papan iklan dan media massa.

"Jika salah penggunaannya, maka masyarakat juga akan membuat kesalahan yang sama," katanya.

Pada majlis sama, tiga pihak menerima anugerah BBK sebagai menghargai penggunaan bahasa Melayu yang meluas dalam bidang masing-masing, iaitu Bank Negara Malaysia (BNM) untuk kategori kerajaan; IKEA Malaysia (kategori swasta) dan Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif (PERSPEKTIF) bagi kategori pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

BBK 2017, kempen kesedaran terhadap kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan disambut sepanjang bulan ini menerusi penganjuran pelbagai program kebahasaan dan kesusasteraan di seluruh negara. - BERNAMA

Berita Harian X