Selasa, 3 Oktober 2017 | 6:12pm
Pengerusi New Straits Times Press Berhad, Tan Sri Ismail Omar (kanan), Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Jalil Hamid menghadiri Pameran Terrain of The Heart: Pengumpulan Koleksi HRH Sultan Selangor, di Galeri Prima Bangsar. - Foto NSTP/Aziah Azmee
Lukisan bertajuk Dalang oleh Datuk Azman Yusof semasa Terrains of The Heart: Pengumpulan Koleksi HRH Sultan Selangor, di Galeri Prima Bangsar. - Foto NSTP/Aziah Azmee

Nikmati kembali lukisan 'warisan' seniman Ibrahim Hussien

 

KUALA LUMPUR: Sesuatu karya seni yang sudah menjadi koleksi peribadi sukar untuk dinikmati lagi.

Nikmat melihat dengan mata sendiri karya, meneliti setiap baris warna yang disapu dan keterujaan meneka atau memahami mesej-falsafah-perasaan yang ada di dalamnya hilang serta-merta.

Namun, jika ada peluang untuk berbuat demikian mengapa perlu dilepaskan. Apatah lagi jika ia menghimpunkan enam catan 'warisan' pelukis tersohor, Datuk Ibrahim Hussien.

Bonus, semua catan itu adalah sebahagian daripada koleksi peribadi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sultan Sharafuddin diketahui mempunyai rasa penghargaan yang tinggi terhadap seni. Baginda sangat menyokong dan percaya dengan kebolehan artis tempatan atas dasar bakat dan sudut pandang seni mereka sama tara dengan pengkarya luar negara.


Pengunjung pameran Terrains of The Heart: Pengumpulan Koleksi HRH Sultan Selangor, di Galeri Prima Bangsar. - Foto NSTP/Aziah Azmee

Justeru, sempena pelancaran Galeri Prima di Balai Berita Bangsar, baginda membuka ruang peribadi apabila bersedia untuk berkongsi sebahagian koleksi seni miliknya menerusi Pameran Terrains of the Heart yang berlangsung sejak 25 September hingga 20 Oktober ini.

Enam catan Ibrahim yang dipamerkan termasuklah Father and Son (2008), Kimono (1996), Mix (1983), sebuah potret Tengku Ampuan Rahimah,Selangor (1985) dan Helmet (2000).

Setiap satunya punya cerita namun setiap satunya juga membentuk Terrains of Heart yang menghimpun 33 catan daripada 14 pelukis.

Selain Ibrahim, pameran itu juga memuatkan catan daripada tiga orang pelukis diraja, Datuk Hoessein Enas, Ahmad Nazri Abdullah dan Datuk Azman Yusof. 


Pengunjung pameran Terrains of The Heart: Pengumpulan Koleksi HRH Sultan Selangor, di Galeri Prima Bangsar. - Foto NSTP/Aziah Azmee

Karya lain termasuklah daripada Chuan Thean Teng, Jaafar Taib, Raja Azhar Idris, Datuk Sharifah Fatimah Syed Zubir dan Datuk Mohd Nor Khalid (Lat) juga turut dipamerkan berserta karya Anisa Abdullah, Haron Mokhtar serta Abdul Fatah Ngah.

Semua himpunan ini dipilih sendiri baginda merangkumi sebahagian himpunan termahal baginda yang mula dikumpul ketika berusia awal 20-an ketika bergelar Raja Muda Selangor.

 

INFO

 

  • Pameran Terrains of the Heart bermula 25 September hingga 20 Oktober ini.
  • Masuk adalah percuma dan dibuka kepada orang awam setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad dari jam 10 pagi hingga 6 petang.
  • Galeri Prima yang bernaung di bawah The New Straits Times Press (NSTP) ialah kesinambungan daripada Galeri Seni NTSP yang ditubuhkan pada 1994.
  • Dijenamakan semula pada 2016 bagi meningkatkan lagi tahap perjalanan artistik dan struktur perniagaan NSTP tanpa mengubah objektif utamanya.
  • Maklumat lanjut sila hubungi Galeri Prima, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur atau 03-27248300.
Berita Harian X