Rabu, 25 Oktober 2017 | 9:17am
ISHAK Hamzah.- Foto Shiraz Yasmine Ali

MABOPA minta kembali baucar buku dalam bajet

KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) meminta kerajaan mengkhususkan pembelian buku dalam Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) dan pelepasan cukai gaya hidup.

Pengerusinya, Ishak Hamzah, berkata permintaan pihak industri buku untuk mengembalikan konsep baucar buku tidaklah besar dan hanya membabitkan tindakan penyelarasan saja.

"Pengkhususan yang dicadangkan dibuat dengan kaedah e-wallet, iaitu pemegangnya boleh membeli buku daripada mana-mana penerbit bernaung di bawah enam persatuan berkaitan buku dalam industri buku negara.

"Sebelum ini baucar buku sudah ada tetapi bagi kad berkenaan, kami minta RM100 daripada jumlah RM250 diperuntukkan, adalah khusus untuk pembelian buku.

"Bakinya pula, RM150 untuk mereka membeli apa-apa yang mereka mahu tetapi mestilah mengikut ketetapan baucar buku," katanya kepada Sastera BH di sini.

Pemberian baucer buku yang diberikan kepada pelajar universiti diganti dengan KADS1M mulai awal tahun ini yang membolehkan pelajar bukan saja membeli buku, bahkan keperluan lain seperti aksesori komunikasi.

Semak pelepasan cukai beli buku

Ishak berharap Bajet 2018 akan menyemak kembali pelepasan cukai terhadap pembelian buku yang pada tahun ini diletakkan dalam kategori gaya hidup.

"Meskipun jumlahnya tinggi RM2,500, rakyat tidak beli buku, sebaliknya mereka memilih gaya hidup lain termasuk menyertai kelab kesihatan yang tidak membantu industri (buku).

"Kami mohon pelepasan cukai untuk bahan bacaan sebanyak RM1,000 dikembalikan seperti tahun-tahun sebelum ini," katanya.

Ishak berkata, kerajaan juga sepatutnya memberi peruntukan sewajarnya kepada institusi yang berkaitan dengan pembelian buku seperti Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan dengan jumlah sekurang-kurangnya RM20 juta.

Peruntukan beli buku

"Begitu juga peruntukan terhadap pusat sumber sekolah menengah dan sekolah rendah di seluruh negara.

"Institusi ini memerlukan lebih peruntukan dengan maksud supaya lebih banyak buku baharu dapat diperoleh.

"Begitu juga peruntukan untuk Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Sebelum ini ada disebut tentang peruntukan RM2 juta tetapi terus senyap saja sedangkan institusi itu memerlukan peruntukan lebih banyak yang mungkin RM20 juta.

"Selain peruntukan yang lebih perlu diberi kepada perpustakaan universiti awam bagi membolehkan buku yang berkualiti dapat dibeli," katanya.

Berita Harian X