Jumaat, 27 Oktober 2017 | 3:39pm
PRESIDEN Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA), Keith Thong

Harap Bajet 2018 pulihkan industri buku

KUALA LUMPUR: Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA) berharap Bajet 2018 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini, akan memulihkan industri perbukuan tanah air.

Presiden Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA), Keith Thong, berkata pengumuman Bajet 2018 perlu mengambil kira masalah pengusaha industri buku yang berdepan kesukaran selepas Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) digantikan dasar Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) pada pembentangan bajet tahun lalu.

Beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan mendengar rintihan pemain industri dan melaksanakan pengkhususan bagi pembelian buku antara RM100 ke RM150 manakala bakinya untuk perkara lain bagi mewujudkan keseimbangan dalam pelaksanaan KADS1M.

Pelajar tidak pilih buku

"Kita tahu jika golongan pelajar dibiarkan membuat pilihan tanpa sebarang pengkhususan bagi pembelian buku, mereka akan lebih cenderung memilih sesuatu yang bersifat lebih mudah dan libur berbanding buku.

"Keadaan ini tentunya akan memberi impak buruk kepada industri perbukuan khususnya buat jangka masa panjang," katanya ketika dihubungi Sastera BH di sini.

Selasa lalu, BH melaporkan permintaan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) supaya kerajaan mengkhususkan pembelian buku dalam KADS1M dan pelepasan cukai gaya hidup.

Pengerusinya, Ishak Hamzah, berkata pengkhususan dicadangkan dibuat dengan kaedah e-wallet, iaitu pemegangnya boleh membeli buku daripada mana-mana penerbit bernaung di bawah enam persatuan berkaitan buku.

Saranan itu turut disokong oleh penerbit dan penerbit kecil seperti Jemari Seni Sdn Berhad, JS Adiwarna Publications & Distributors Sdn Bhd dan Legasi Oakheart.

Thong berkata, apa yang berlaku selepas pelaksanaan KADS1M menyebabkan kemerosotan jualan buku yang banyak dan lebih parah lagi banyak kedai buku terpaksa gulung tikar.

"Pihak industri khususnya penerbit, pekedai dan penjual buku pula terpaksa menyimpan stok yang kurang laku, manakala pulangan pelaburan dalam teknologi baharu termasuk e-buku bagi memajukan industri ini pula sangat perlahan.

"Rancangan mengadakan pesta buku dan aktiviti perbukuan tergendala kerana wang pelajar yang sepatutnya diguna untuk membeli buku melalui KADS1M, disalur kepada benda lain atau masih belum diterima," katanya.

Pelaburan perpustakaan

Pada masa sama, Thong berharap pelaburan untuk perpustakaan menjadi agenda utama Bajet 2018 sesuai kepentingan membina modal insan dan menyediakan pembelajaran seumur hidup bagi generasi muda di negara ini.

"Pengedaran buku teks juga menjadi talian hayat bagi warga industri buku dan MBA berharap, ia akan disalurkan adil bagi mengelakkan pekedai gulung tikar.

"Pemain industri buku sudah melalui keadaan yang sangat sukar selepas BB1M digantikan dengan KADS1M dan kami mahu isu pengedaran buku teks ini diperbaiki.

"Kami amat berharap pengumuman yang akan dilakukan Perdana Menteri dalam Bajet 2018 akan menyelamatkan industri buku kita supaya nadi ilmu pendidikan dapat terus berkumandang dengan kuat di negara ini," katanya.

Berita Harian X