Khamis, 2 November 2017 | 4:04pm

Mekanisme penapisan, e-wallet elak ketirisan baucar buku

KUALA LUMPUR: Ketirisan dalam Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) boleh dielak dengan penambahbaikan mekanismenya termasuk menapis senarai penjual buku dan menggunakan kaedah penebusan e-wallet.

Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Arief Hakim Sani Rahmat, berkata pada program terakhir BB1M 2016, terdapat 1,500 penjual buku yang berdaftar di Bank Simpanan Nasional (BSN).

"Pihak kami memaklumkan pada Kementerian Pendidikan Tinggi berkali-kali mengenai industri buku di bawah naungan Dewan Industri Buku Malaysia hanya ada 600 lebih syarikat saja. Ini pun sudah meliputi penerbit, kedai buku, kontraktor dan pengimport.

"Tiba-tiba ada lagi 900 penjual buku yang kita tidak kenal siapa. Senang cakap, ada banyak syarikat 'hantu' yang digunakan untuk sindiket tunaikan baucar," katanya kepada Sastera & Budaya di sini, semalam.

Arief Hakim yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Media PTS Malaysia berkata, hal itu antara punca berlakunya ketirisan, selain keperluan untuk mengaudit setiap baucer buku yang ditebus sekurang-kurangnya membabitkan 100 penjual buku utama.

Babitkan jabatan audit

"Kita tidak tahu apakah ada audit dibuat. Mungkin dalam hal ini Jabatan Audit Negara perlu terbabit sama untuk audit perbelanjaan baucar buku ini. Kalau ada penipuan, kerajaan perlu menyenaraihitamkan dan membekukan akaunnya," katanya.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Pembaharuan Dasar Buku Negara, Budiman Mohd Zohdi menyarankan KPT bekerjasama dengan MABOPA untuk mengenal pasti senarai penerbit yang layak menerima BB1M bagi mengelak ketirisan BB1M seperti berlaku sebelum ini.

Saranan Budiman itu susulan daripada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2018 yang mengumumkan BB1M kepada 1.2 juta pelajar universiti dan Tingkatan Enam.

Arief Hakim berkata, mekanisme kali ini perlu menukar sistem baucer buku kepada baucer digital dan e-wallet yang akan membolehkan pemantauan penipuan, selain mewujudkan jejak audit digital (digital audit trail).

Pantau transaksi pelik

"Bank atau e-wallet boleh buat 'pemantauan penipuan masa sebenar,' iaitu mana-mana terminal terima baucer yang nampak ada transaksi pelik boleh diaudit contohnya sibuk terima baucar tengah malam atau amaun transaksi terlalu tinggi," katanya.

Pencegahan penipuan ini, tegas Arief Hakim, adalah sama mekanismenya dalam pengendalian kad kredit atau kad debit yang dalam hal itu, pihak bank mempunyai pengalaman luas selain sistem untuk mengesan dan mengelak penipuan sudah lama wujud.

Arief Hakim berkata, satu hal yang perlu diambil kira adalah rungutan daripada pelajar yang menerima baucer buku terlalu lewat misalnya sewaktu semester hampir tamat.

"Pentadbir universiti perlu bijak dalam hal ini, hendak beli buku apa kalau sudah cuti tahunan? Kalau kita hendak bantu kos bahan pembelajaran, baucar mesti diberi pada awal semester.

"Baucar diberikan sebaik-baiknya pada ketika pelajar masuk kuliah. Hal ini supaya duit itu betul-betul boleh dipakai untuk tujuan pengajian," katanya.

Arief Hakim berkata, baucer buku juga membuka peluang baik untuk kedai buku universiti memantapkan kedudukan mereka.

"Ini kerana apa yang kelihatan sekarang, kedai buku di universiti masih ketinggalan walaupun di universiti yang mendapat akreditasi Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX)," katanya.

Berita Harian X