Isnin, 30 April 2018 | 5:47am
TENGKU Abdullah berkenan mencemar duli melawat pameran diraja pada Majlis Titah Diraja di DBP,

Martabatkan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa

KUALA LUMPUR: Salah satu perkara penting dalam Wasiat Raja-raja Melayu yang dibuat semasa merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957 ialah menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sekali gus diangkat sebagai bahasa rasmi untuk pendidikan dan mentadbir negara.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, bertitah teras maruah bangsa Malaysia terletak pada bahasa Melayu yang dinobatkan sebagai bahasa rasmi negara untuk memupuk rasa kekitaan dan rupa bangsa yang bersatu.

Namun titah baginda, walaupun pemantapan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berada pada tahap yang baik, penerimaan masyarakat secara keseluruhan belum berada pada tahap sepatutnya.

"Perluasan fungsinya belum terjamin untuk dilestarikan secara tuntas. Keadaan ini disebabkan landasan bahasa Inggeris secara global memberi kesan terhadap bahasa kebangsaan di negara ini," titah baginda pada Majlis Titah Diraja di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Adzis Abas dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Baginda bertitah, persoalan mendaulatkan bahasa Melayu bukan sebab penyatuan, perpaduan atau ketaksuban terhadap kegemilangan masa lampau semata-mata, tetapi pembentukan jati diri sebagai benteng paling ampuh menangani arus deras dunia tanpa sempadan.

Globalisasi yang melanda sejak awal abad ke-16 memberi kesan kepada bahasa Melayu dari segi peristilahan yang diubah, dicorak dan diperkaya tetapi tetap mengekalkan jati asalnya. Ini menunjukkan bahasa Melayu dinamik dan mudah dilentur sesuai peredaran zaman.

Martabat peringkat antarabangsa

Sementara itu, pada masa ini jumlah penutur bahasa Melayu dalam pelbagai dialek di seluruh pelosok dunia mencecah 300 juta orang, menjadikan bahasa Melayu termasuk dalam tujuh bahasa besar di dunia, selain bahasa Russia, Arab, Sepanyol, Hindi, Inggeris dan Mandarin.

Kebanyakan penutur berasal daripada rumpun Melayu, selain terdapat diaspora yang membentuk komuniti Melayu seperti di Afrika Selatan, Sri Lanka, Amerika Syarikat (AS), Australia, United Kingdom (UK) dan Arab Saudi.

Bagaimanapun, penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan rumpun Melayu sahaja tidak mampu mengangkat martabat bahasa itu menjadi bahasa antarabangsa.

Tengku Abdullah bertitah, usaha memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa perlu mengambil kira potensi bangsa lain yang berpeluang menguasai bahasa Melayu.

Baginda menyarankan, Kursi Pengajian Melayu dan Pengajian Bahasa Melayu di beberapa universiti terkemuka dunia seperti Universiti Leiden, Universiti Ohio, Universiti Wellington, Universiti Beijing dan Universiti Hankuk, diperkukuh untuk pengantarabangsaan bahasa Melayu.

"Jumlah pelajar asing di negara kita dianggarkan 60,000 orang. Kehadiran mereka di universiti awam (UA) dan swasta boleh membantu pengembangan bahasa Melayu menerusi dasar kerajaan yang mewajibkan mereka mengambil kursus bahasa Melayu," titah baginda.

Bahasa Melayu, tulisan Jawi

Baginda bertitah, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang memperuntukkan penggunaan bahasa kebangsaan di mahkamah, penggubahan statut undang-undang, memberi pengiktirafan hanya di atas kertas kerana dari segi pelaksanaannya tidak menyeluruh.

Justeru, penegasan dasar bahasa dalam perancangan dan pengurusan pendidikan negara perlu dilaksanakan sejajar pengisytiharan negara bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Tengku Abdullah bertitah, keunikan bahasa Melayu yang memiliki dua jenis tulisan, iaitu Jawi dan rumi juga membentuk jati diri khususnya masyarakat Melayu Islam di negara ini, justeru, tulisan Jawi perlu diperkasakan semula.

Titah baginda, 10,000 naskhah manuskrip Melayu klasik dalam pelbagai bidang termasuk sains, teknologi, perubatan dan maritim yang disimpan dalam dan luar negara yang ditulis dalam tulisan Jawi menolak dakwaan bahasa Melayu tidak sesuai digunakan dalam bidang sains serta matematik.

"Semasa negara kita dijajah, tulisan Jawi masih terus digunakan dalam urusan dengan bangsa asing. Suka atau tidak, mereka terpaksa mempelajari tulisan Jawi.

"Oleh itu, beta menyeru semua rakyat menggunakan tulisan jawi dalam konteks yang lebih luas," titah baginda.

Berita Harian X