Jumaat, 18 Mei 2018 | 12:08pm
PROF Datuk Dr Awang Sariyan. - Foto Muhd Asyraf Sawal
PROF Datuk Dr Awang Sariyan. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Sarjana, persatuan minta PPSMI tidak dikembalikan

KUALA LUMPUR: Sarjana bahasa dan persatuan penulis meminta dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak dikembalikan.

Ini berikutan ada pihak yang meminta ia dikembalikan selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan beliau akan memegang portfolio Menteri Pelajaran.

Profesor Pengajian Dunia Melayu, Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Awang Sariyan, berkata PPSMI sudah pun berkubur sepenuhnya pada 2012 kerana dibuktikan gagal menerusi kajian peringkat antarabangsa pada 2007.

Awang berkata, keputusan sama turut diperoleh melalui kajian yang dijalankan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 2008.

"Meskipun kerajaan kemudiannya menggantikan PPSMI dengan Program Dwibahasa (DLP) pada 2016, program itu juga masih ditentang dan tidak diterima oleh sebahagian besar masyarakat," katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Awang berkata, kedudukan bahasa Inggeris diakui penting justeru usaha yang sewajarnya dibuat adalah memantapkan subjek itu dengan memperbaiki silibus yang ada selain melatih guru yang mahir dan membekalkan bahan pembelajaran yang berkualiti.

"Mementingkan bahasa Inggeris bukanlah dengan cara mengganggu pembelajaran subjek lain dan menjatuhkan martabat bahasa Melayu.

"PPSMI juga bertentangan dengan dasar pendidikan kebangsaan yang bahasa Melayu adalah bahasa utama seperti yang disebut dalam Penyata Razak 1956 dan Akta Pendidikan 1961 dan 1996," katanya.

Untuk rekod PPSMI diperkenalkan kerajaan pada 2002.

Pejuang bahasa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan bahasa, budaya serta sastera menganggapnya sebagai dasar yang tergesa-gesa dan dibuat tanpa kajian awal malah melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Penentangannya berlanjutan hampir enam tahun sebelum PPSMI diumumkan pemansuhannya secara berperingkat pada 8 Julai 2009 oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum dimansuhkan sepenuhnya pada 2012.

Sementara itu, Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan, berkata pandangan untuk mengembalikan PPSMI mungkin disebabkan ada pihak teruja apabila Dr Mahathir kembali sebagai Menteri Pendidikan.

"Namun mereka lupa PPSMI sudahpun dimansuhkan, manakala dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) sendiri tidak menyentuh tentang PPSMI atau DLP.

"Apa yang ada adalah untuk janji untuk meningkatkan kedudukan sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil," katanya.

Zainal Abidin berkata, hari ini kedaulatan bahasa Melayu dimungkari oleh sebahagian orang Malaysia kerana menganggap hanya bahasa Inggeris sahaja yang boleh menyelesaikan semua masalah.

"Inilah dilema orang Malaysia, merdeka dalam acuan orang lain dan bukan bahasa sendiri. "Ada orang bertanya adakah mereka akan menjadi kurang Melayu kalau menggunakan bahasa Inggeris?

"Jawapannya ya, kerana cara berfikir mereka berubah dan terperangkap dalam ideologi asing kerana tiada jati diri," katanya.

INFO

  • Kajian Trends in Internationnal Mathematics and Science Study (TIMSS) pada 2007 di Amerika Syarikat yang membabitkan 59 negara.
  • Kajian itu mendapati skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains merosot dengan ketara.
  • Skor Matematik 2007 merosot kepada 474 mata berbanding 508 mata pada 2003 dan 519 bagi 1999, iaitu penurunan sebanyak 34 mata.
  • Skor Sains pula merosot kepada 471 mata pada 2007 daripada 510 pada 2003 dan 492 bagi kohort 1999. Ini mencatatkan penurunan 40 mata antara 2007 dan 2003.
  • Kajian Kesan Dasar PPSMI di sekolah rendah dibuat oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 2008 yang diketuai oleh Prof Emeritus Datuk Isahak Haron.
  • Kajian mendapati objektif asal PPSMI tidak tercapai bahkan negatif kerana ia menyusah dan melemahkan lagi pembelajaran Matematik dan Sains pelajar, dan terlalu sedikit meningkatkan pembelajaran Bahasa lnggeris pelajar.
  • Kajian itu turut mengesyorkan kerajaan mengkaji semula dasar PPSMI ini dan mengguna semula Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains sekolah rendah dan menengah.
Berita Harian X