Selasa, 17 Julai 2018 | 8:10pm
PROFESOR Dr Mohamed Hatta Shaharom dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP yang baharu bermula 9 Julai lalu. - Foto Nazran Jamel
PROFESOR Dr Mohamed Hatta Shaharom dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP yang baharu bermula 9 Julai lalu. - Foto Nazran Jamel

Pakar psikiatri dilantik Pengerusi Lembaga Pengelola DBP

KUALA LUMPUR: Pakar perubatan psikiatri, Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang baharu bermula 9 Julai lalu.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Adzis Abas, berkata pelantikan Mohamed Hatta melalui surat pelantikan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dilakukan bersesuaian Seksyen 4(1), Akta Dewan Bahasa Pustaka 1959 (disemak tahun 1978) iaitu Akta 213.

Katanya, DBP yakin Mohamed Hatta dengan semangat jitunya akan berjaya menggerakkan usaha pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukan saja di tanah air malah peringkat serantau dan global melalui pelan Dekad Bahasa Kebangsaan yang mensasarkan tempoh tahun 2020 hingga 2030.

"Seiring dengan pelantikan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP yang baharu ini, pihak DBP juga akan segera merealisasikan dengan giat Kempen Membaca Kebangsaan seperti dihasratkan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam tempoh dua tahun mendatang.

"Kami juga akan menjayakan Dekad Membaca Nasional pada tahun 2020 hingga 2030," katanya dalam kenyataan kepada Sastera & Budaya, di sini.

Mohamed Hatta akan dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP sehingga 30 Jun 2021.

Beliau yang juga seorang ahli akademik sejak tahun 1984, dilatih dalam bidang perubatan prasiswazah di Universiti Kaherah, Mesir.

Beliau terdidik dalam bidang psikiatri di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kemudian turut dilatih dalam bidang psikiatri forensik di Universiti Monash, Australia.

Aktif menulis buku, makalah dan artikel merangkumi bidang psikiatri, perubatan Islam, pengembaraan kemanusiaan dan komentar sosio-politik turut diterbitkan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Beliau sebelum ini menjadi ahli Kluster Perubatan dan Sains Kesihatan, Majlis Profesor Negara Malaysia dan kini menjadi ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

DBP dalam kenyataan sama turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Profesor Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar diatas jasa dan perkhidmatan beliau sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP sepanjang 24 Julai 2012 hingga 30 Jun yang lalu.

Berita Harian X