Khamis, 26 Julai 2018 | 10:57am
Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

'Saya bersuara apabila berasa sangat diperlukan'

Sasterawan Negara (SN) Datuk A Samad Said akrab dengan kontroversi, pernah melancarkan mogok seni pada 1990-an, sebelum aktif berpolitik dengan menyertai DAP pada 2015, antara individu utama perhimpunan BERSIH dan lantang menentang dasar kerajaan yang menjejaskan bahasa Melayu. Wartawan BH, Hafizah Iszahanid menemui A Samad atau lebih mesra dipanggil 'bapak' untuk berkongsi pandangannya mengenai pelbagai isu dan kontroversi, termasuk politik.

Soalan (S): Adakah dengan perubahan iklim politik sekarang, sastera Melayu mungkin lebih bebas atau terbuka.

Jawapan (J): Saya tidak fikir kita harus buat keputusan sekarang. Ini (kerajaan) masih baharu, baru dua tiga bulan, tidak akan mereka boleh secara tiba-tiba memunculkan kesusasteraan yang luar biasa, kita perlu beri masa.

S: Ada pandangan menyebut karya sastera yang baik lahir dari zaman yang kucar-kacir, agaknya situasi sekarang memungkinkan hal itu.

J: Ia memang sudah berlaku. Misalnya Faisal Tehrani menulis mengenai sisi bergelora persoalan agama, kita sedang tengok SM Zakir memulakan satu iltizam baharu dalam kesusasteraan, misalnya menerusi (novel) Ikarus.

Itu adalah bayangan bahawasanya pengarang bukan sahaja berpengalaman tetapi juga berpengetahuan. SM Zakir menghantar sesuatu dengan dokongan fakta dan ulasan.

S: Dalam keadaan sekarang, generasi muda tidak ramai mahu membaca buku. Bagaimana bapak merasakan karya yang baik ini akan sampai kepada pembaca.

J: Kita tidak boleh mengharapkan semua orang umum hendak membaca sastera. Buat apa? Cukuplah ia pergi kepada khalayak yang terpilih, iaitu khalayak yang memikirkan masyarakatnya.

Orang membaca kerana mahu mengambil inti daripada apa yang dilalui oleh penulis. Misalnya SM Zakir, kita membaca apa yang dilalui dan apa yang difikirnya. Misalnya, apa pandangan beliau mengenai persekitarannya atau demostrasi yang dilihatnya. Dari situ, kita melihat puncak pemikiran sasterawan baharu.

S: Dalam tuntutan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), ramai tertanya-tanya di mana suara bapak yang dahulu lantang menentang Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

J: Saya akan bersuara apabila dirasakan sangat perlu. Saya tidak boleh (jika) benda-benda yang berkecah saya pun masuk mahu komen semua, buat apa?

S: Bapak ada karya baharu yang sedang diusahakan?

J: Yang itu kamu perlu 'tembak' (di kepala) mungkin baharu keluar. Sekarang ini saya ada 200 rangkap puisi yang akan diterbitkan.

Puisi mengenai BERSIH yang saya fikir sesuai dengan iklim yang saya lalui sekarang. Kalau novel ada, Hujan Pagi yang diterbitkan semula.

Saya fikir kesusasteraan ini, semakin jauh dari zaman ia dicipta, ia semakin relevan. Kalau kita baca buku terjemahan Anak Raja dan Anak Bapa oleh Zaaba misalnya, ia sangat berguna sekarang seperti juga Rimba Harapan oleh Keris Mas atau Tulang Tulang Berserakan tulisan Usman Awang.

S: Bapak ada pesanan kepada penulis muda.

J: Penulisan bermula dengan membaca. Jadi, kita perlu mula dengan memilih buku klasik misalnya Desa Pingitan oleh Ibrahim Omar.

Itu permulaan untuk melihat bagaimana negara terbangun dan kita ulangi semula baca karya Keris Mas dan Usman Awang sampailah membaca buku angkatan penulis sekarang, tetapi angkatan sekarang jauh lebih tidak berjejak di bumi, yang kebanyakan menulis dalam alam pemikiran, yang realiti sudah ditinggalkan sasterawan.

Berita Harian X